Pengeluaran Hasil Makanan Malaysia Terjejas Akibat Cuaca Panas

Haireez Azeem Azizi
2016.04.06
Kuala Lumpur
160406-my-sayur620 Seorang pekerja sedang melakukan kerja-kerja menaman sayur di sebuah ladang sayur-sayuran di Bukit Tinggi, di luar Kuala Lumpur, 25 Januari 2016.
AFP

Cuaca panas dan gelombang haba yang sedang melanda Malaysia telah memberi impak yang drastik terhadap jumlah serta kualiti pengeluaran makanan di negara itu, kata pengusaha dan penjual kepada BeritaBenar.

Penternak udang kara (lobster) air tawar, Zul Azrin Zulkifli melahirkan rasa bimbang dengan fenomena cuaca panas yang telah menjejaskan ternakan udang dalam kolamnya kerana air  cepat menjadi kering dan hujan yang menjadi punca air tidak turun sejak sekian lama.

"Lobster tidak memerlukan penjagaan rapi tetapi saya bimbang cuaca panas ini akan mengganggu ternakan udang. Air cepat kering dan udang ini makan rumpai laut jadi saya khuatir cuaca yang sangat panas akan mengganggu punca pemakanan dan seterusnya mati begitu sahaja," kata Zul yang ditemui Berita Benar pada Rabu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia Chay Ee Mong berkata kepada BeritaBenar, pengusaha ladang sayur-sayuran seluruh Malaysia menghadapi kerugian sebanyak 20 peratus akibat cuaca panas yang sedang dihadapi negara itu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kerugian yang melibatkan 20 peratus itu.

‘Tanpa hujan’

Malaysia sedang mengalami cuaca panas dengan kekurangan atau tanpa hujan di beberapa lokasi sehingga melebihi 30 hari.

Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata, sehingga hujung Mac, lokasi yang mengalami bilangan hari tanpa hujan melebihi 30 hari di dapati meningkat dan kawasan yang terjejas teruk ialah Langkawi (45 hari), Arau (40 hari) dan Seberang Prai Tengah (31 hari),

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 16 daerah lagi di seluruh negara itu, tidak mengalami hujan selama dua minggu manakala Perlis dan Kedah masih dilanda gelombang haba dengan suhu tertinggi iaitu 38.6 celcius dicatatkan di Chuping, dan 37.9 celcius di Alor Star.

Malaysia juga sebelum ini, telah menutup sekolah di beberapa buah negeri berikutan keadaan cuaca yang sangat panas dan melebihi 37 darjah celcius.

Ee Mong berkata, beberapa pengusaha ladang sayur di Johor terpaksa menghentikan kerja menaman kerana kekurangan sumber air sehingga menyebabkan kualiti pengeluaran sayur terjejas.

"Sumber air di Johor amat terhad dengan banyak sungai yang menjadi sumber air mengalami kekeringan…kami tidak boleh berbuat apa-apa selain menghentikan tanaman buat sementara. Jika diteruskan tanaman akan menjadi rosak, mutu hasil pengeluaran juga menurun dan ini menambahkan lagi kerugian yang dialami,

"Di Cameron Highlands misalnya suhu di kawasan bukit itu adalah antara 20 hingga 24 darjah celcius tetapi suhu kini, cuaca disana telah mencecah sehingga 28 dan 30 darjah celcius… Suhu sebegini amat tidak sesuai untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya ketika ditemui Berita Benar pada Rabu.

Beliau berkata, persatuan itu sedang berusaha untuk terus mencari sumber air bagi mengairi tanaman di ladang-ladang dengan di Perak, sistem menarik air dari sungai telah dibuat dan akan kaedah itu akan diwujudkan di negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, seorang penjual sayuran di sebuah pasar basah di ibu kota Kuala Lumpur, Ghani Rahmat, 45, berkata bekalan sayur kian merosot dan secara tidak langsung telah menyebabkan harga meningkat.

"Kebanyakan daripada kami (penjual sayuran) mendapat bekalan sayuran dari Cameron Highlands dan kami terpaksa untuk menaikkan harga sayuran demi untuk menampung kerugian kerana pembekal tidak dapat menghantar pesanan mengikut permintaan, selain ramai yang mengadu mutu sayuran dan buah-buahan tidak sebaik dahulu," katanya kepada Berita Benar.

Saerah Matzuki, seorang surirumah berkata sesetengah sayuran dan buah-buahan, terutama sekali buah limau bali dan buah betik kini bersaiz lebih kecil dan tidak semanis dahulu.

"Sesetengah sayurannya amat kering, tetapi terpaksa juga membelinya…Apa boleh buat?" keluh beliau kepada Berita Benar.

Semalam media tempatan melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia (MFFAM), Mohamed Razali Mohamed sebagai berkata penternak ikan bakal menghadapi risiko gulung tikar memandangkan industri ternakan ikan laut Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM20 juta berikutan suhu semakin meningkat.

“Kerapu dan siakap mati di dalam sangkar disebabkan oleh air pasang merah atau pertumbuhan alga, yang turut mendapatkan sumber oksigen selain ikan.

“Sebanyak 100 tan ikan bernilai RM4 juta untuk pasaran dalam dan luar negara, mati di dalam sangkar ternakan ikan di Pulau Kukup, Johor pada bulan lalu," katanya seperti dilaporkan.

Manakala Pengerusi Gabungan Persatuan Penternak Ruminan Malaysia, Samad Kassim dalam laporan itu juga menyebut cuaca kering menyebabkan pengeringan rumput yang akan mengakibatkan kepada pengeluaran susu dan daging yang rendah.

Katanya dalam laporan itu, pengeluaran susu menyusut 20 hingga 30 peratus dan penternak terpaksa berbelanja lebih dari segi makanan tambahan dan vitamin untuk ternakan mereka.

“Penternak perlu menyerap kerugian ini. Saya sendiri terpaksa berbelanja antara RM5,000 atau RM6,000 lagi sebulan untuk makanan tambahan bagi lembu-lembu ternakan saya," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.