Enam Rakyat Malaysia Cedera Dalam Kejadian Kren Tumbang Di Makkah
2015.09.11
Sekurang-kurangnya 65 jemaah maut manakala 154 orang lagi termasuk enam rakyat Malaysia cedera apabila sebuah kren tumbang di dalam kawasan Masjidil Haram di Makkah pada petang Jumaat,
Kejadian itu berlaku semasa hujan lebat kira-kira 5.10 petang waktu tempatan (10.10 malam waktu Malaysia) selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar.
Saudi Gazette dalam catatan Twitternya melaporkan susulan insiden maut itu, Amir Makkah, Putera Khaled al-Faisal mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat tragedi itu dengan segera.
Dalam pada itu, jemaah yang sedang menunaikan ibadah, meneruskan tawaf mengelilingi Kaabah semasa pihak berkuasa Masjidil Haram melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.
Pada masa ini, pihak berkuasa Arab Saudi sedang giat melakukan kerja-kerja pembesaran di Masjidil Haram.
Kerja-kerja pembesaran itu dilaksanakan sejak 2013 dalam usaha Arab Saudi menyediakan kawasan yang mencukupi untuk memuatkan kira-kira 5 juta jemaah dari seluruh dunia yang berhimpun setiap tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sementara itu, Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kira-kira enam jemaah Malaysia – empat lelaki dan dua wanita - turut cedera dalam kejadian itu.
Perkara itu disahkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), agensi yang bertanggungjawab menguruskan jemaah haji dari Malaysia, menerusi Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada sidang media di Makkah.
Beliau berkata, daripada enam jemaah itu, seorang daripadanya iaitu jemaah lelaki patah kaki manakala lima lagi cedera ringan.
"Jemaah yang patah kaki kini dirawat di Pusat Perubatan Tabung Haji Syisya," katanya.
Pemeriksaan bilik
Syed Saleh berkata berikutan kejadian itu, TH akan membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi memastikan bilangan jemaah haji Malaysia yang terbabit dalam insiden maut itu.
Menurutnya pemeriksaan itu akan dilakukan bermula 11 malam ini (Sabtu 4 pagi waktu Malaysia).
Keluarga dan waris jemaah haji terbabit di tanah air juga telah telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas waktu Asar itu, kren itu dipercayai menghempap kawasan saie, dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf,” jelasnya.
Semua pasukan TH yang terdiri daripada pasukan perubatan, kebajikan dan unit peronda sedang berada di kawasan Masjidil Haram bagi menyelia keadaan jemaah Malaysia.
Syed Saleh berkata ketika ini, kawasan kejadian dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Menurutnya TH telah menasihatkan semua jemaah Malaysia supaya berada di hotel penginapan sekiranya hujan atau berlaku ribut pasir.
Dalam tempoh sebulan sehingga hari ini, hujan melanda Makkah sebanyak empat kali dengan hujan pada hari ini dilaporkan adalah yang paling lebat dan berlarutan kira-kira setengah jam.
Seorang jurucakap Pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah semasa dihubungi BeritaBenar berkata, seorang jemaah yang cedera telah dibenarkan pulang ke bilik penginapan manakala yang lain masih dirawat.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata, kerajaannya sedang mendapatkan pengesahan mengenai jemaah Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu.
"Saya dimaklumkan mengenai kejadian di Makkah yang mana ada kren jatuh di kawasan Masjidil Haram. Kerajaan sedang mengesahkan jika ada jemaah Malaysia yang terbabit," kata beliau menerusi laman Twitternya awal pagi Sabtu.