Indonesia, Australia Anjur Mesyuarat Keselamatan Fokus Mengenai Marawi
2017.07.27
Jakarta, Indonesia

Indonesia dan Australia akan menjadi tuan rumah kepada Malaysia, Filipina, Brunei dan New Zealand di ibukota Sulawesi Utara, Manado, Sabtu ini, untuk membincangkan usaha menangani anti-keganasan berhubung pertempuran yang sedang berlaku di Marawi.
Peserta dijangka memberi tumpuan terhadap kebimbangan mengenai berkemungkinan militan Negara Islam (IS) menubuhkan kubu kuat di rantau ini berikutan kebangkitan pemberontak yang berkaitan IS di bandaraya selatan Filipina itu yang telah menyaksikan pertempuran sejak 23 Mei lalu.
"Semua negara di Asia Tenggara bersetuju untuk menolak wilayah mereka itu untuk dijadikan pangkalan baru bagi IS," kata Wiranto, Menteri Koordinasi Politik, Perundangan dan Keamanan Indonesia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Wiranto berkata pertemuan di bandar Indonesia yang berhampiran dengan selatan Filipina itu akan memberi fokus mengenai kesan Marawi terhadap negara jirannya dan cara untuk memerangi keganasan.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dijadual membincangkan perkembangan dari pertemuan tiga hala bersama Filipina dan Malaysia pada 22 Jun lepas.
Topik yang akan dibincangkan termasuk menghalang aliran dana keganasan, menguatkan undang-undang untuk mengkriminalkan pelampau dan militan yang pulang ke negara asal mereka termasuk mereka yang memberikan bantuan dan sokongan kepada militan.
Wiranto berkata semua wakil juga akan membincangkan usaha untuk mencegah militan menggunakan teknologi maklumat.
Jeneral tentera yang telah bersara itu berkata Indonesia boleh mengambil tindakan yang berkesan terhadap keganasan menggunakan pendekatan yang lembut melalui pembimbingan dan deradikalisasi termasuk pendekatan garis keras melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat.
Kajian IPAC
Pertempuran yang sedang berlangsung di Marawi, yang mengakibatkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah itu boleh menimbulkan risiko baru di rantau berkenaan, menurut Institut Dasar Analisis Konflik (IPAC).
Dalam satu laporan yang dikeluarkan minggu lalu, IPAC meramalkan ancaman baru di Indonesia dan Malaysia boleh disebabkan oleh militan yang kembali semula kedua-dua negara berkenaan selepas berjuang di Marawi. Kira-kira 20 rakyat Indonesia adalah antara pejuang asing di wilayah Mindanao.
Filipina tetap akan mempunyai sel-sel pengganas yang lebih kecil daripada sebelum pertempuran, tetapi ianya mampu melancarkan keganasan dan mempengaruhi anggotanya. Selain itu, pertempuran itu juga boleh membawa kepada kumpulan militan dari tiga negara untuk menjalani operasi bersama di Indonesia atau di kawasan lain.
Bulan lalu, Ketua Umum Tentera Indonesia (TNI) Gatot Nurmantyo menyatakan sel IS tidak aktif terdapat di semua wilayah di Indonesia, kecuali di Papua. Kembalinya pejuang Indonesia dan asing membawa kebimbangan mengenai kebangkitan sel-sel yang tidak aktif.
Maj Jen Gen Ganip Warsito, seorang komander TNI yang bertanggungjawab ke atas kawasan Utara, Gorontalo dan Sulawesi Tengah, mengatakan tentera telah meningkatkan pengawasan di kepulauan Laut Sulawesi yang digunakan sebagai pintu masuk ke Indonesia.
Keputusan
Ridlwan Habib, seorang penyelidik mengenai isu-isu keganasan daripada Universiti Indonesia berkata, para peserta harus mencapai konsensus mengenai pembiayaan keganasan dan bagaimana Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia dapat memperolehi akses kepada data agensi mitra.
Di samping itu, katanya, peserta perlu menjelaskan mengenai mekanisme yang digunakan untuk bertukar maklumat yang berkaitan dengan pergerakan pengganas dari satu negara ke negara lain.
"Sebagai contoh, jika ada maklumat mengenai rakyat Indonesia yang memasuki Marawi atau sebaliknya, dapatkah ini secara langsung dikongsi antara institusi yang mempunyai kuasa untuk menangani keganasan di setiap negara, atau hanya akan dikongsi berdasarkan kepada permintaan," kata Ridlwan kepada BeritaBenar pada Khamis.
Mengenai penglibatan Australia dan New Zealand, Ridlwan melihat kedua-dua negara berminat untuk melindungi rakyat mereka. " Ini adalah usaha untuk melindungi kawasan mereka daripada pengganas," katanya.