Program Bawa Balik Kampung, 14 Zon Selamat Tiada Kaitan Rundingan Damai, MARA Patani

Hata Wahari
2018.03.23
Kuala Lumpur
deepsouth.jpeg Panglima Tentera Darat Thailand Jeneral Chalermchai Sithisart bercakap dengan seorang peserta program 'Bawa Balik Kampong' di Pattani, Selatan Thailand, 2 Februari 2018.
[Araya Poejar/BeritaBenar]

MARA Patani, menafikan program “Bawa Balik Kampung” dan 14 daerah zon selamat, adalah antara program yang terkandung di dalam rundingan proses damai di antara kedua belah pihak, kata ketua perunding panel tersebut pada Jumaat.

MARA Patani, panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak Selatan Thailand terlibat dalam dialog damai dengan kerajaan Thailand, yang diusahakan oleh Malaysia sebagai fasilitator, kini sudah memasuki tahun keempat mengadakan rundingan.

Ketua Panel Perunding MARA Patani Shukri Hari menegaskan kedua-dua perkara tersebut tidak terdapat di dalam senarai persetujuan rundingan antara panel berkenaan dengan kerajaan Thailand.

“Untuk mengelak kekeliruan dan salah faham yang mungkin berlaku, yang boleh menjejaskan proses damai, kedua-dua perkara tersebut, iaitu ‘Program Bawa Balik Kampung’ dan 14 daerah sebagai zon selamat, sebenarnya tidak ada kaitan dengan proses rundingan damai di antara MARA Patani dengan kerajaan Thailand,” katanya di sidang media di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Beliau menegaskan, kedua-dua perkara yang tidak mempunyai kaitan itu merupakan kenyataan yang diumumkan oleh Panglima Tentera Wilayah Ke-Empat, Selatan Thailand,  Lt Jeneral Piyawat Nakwanich dan bukannya persetujuan yang dicapai hasil rundingan damai diantara MARA Patani dan kerajaan Thailand.

Shukri memberitahu, panel berkenaan komited dan mahu menyelesaikan masalah di selatan Thailand melalui proses rundingan dialog antara MARA Patani dengan Jeneral Aksara Kerdpol, ketua perunding kerajaan Thailand yang berpangkalan di Bangkok.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mara Patani hari ini adalah untuk mengelakkan kekeliruaan dan salah faham. Amat jelas bahawa rundingan damai di antara MARA Patani dan kerajaan Thailand kini berada diperingkat teknikal dan belum ada pengesahan dan persetujuan ataupun sebarang keputusan, kata Shukri yang membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh panel tersebut.

Turut hadir pada sidang media itu ialah seorang lagi anggota panel rundingan,  Ahmad Chuwo serta jurucakap MARA Patani, Abu Hafez Al-Hakim.

Piyawat pada awal Februari lalu mengumumkan bahawa kira-kira 2,000 anggota pemberontak selatan Thailand menyertai program ‘Bawa Balik Kampung’ di mana beliau berkata kumpulan itu merupakan pemberontak yang melarikan diri dan menetap di Malaysia dan Eropah.

Shukri menambah, MARA Patani amat yakin dengan pasukan perunding kerajaan Thailand yang telah diberi mandat oleh Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-Cha sambil menegaskan keyakinan beliau terhadap proses rundingan damai itu merupakan agenda rasmi kerajaan junta tentera itu.

Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama, panel berkenaan berasa amat dukacita dengan tindakan yang dilakukan oleh Piyawat yang dilihat menentang proses damai dengan mengaitkan dua program itu.

“MARA Patani ada peluang menjayakan cita-cita rakyat selatan Thailand dalam menentukan nasib mereka sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Abu Hafez berkata projek yang diumumkan Piyawat itu tidak pernah dibincangkan di meja rundingan.

“Sepatutnya setiap yang dilakukan perlu selaras dengan apa yang dibincangkan di meja rundingan. Malangnya Piyawat mengeluarkan kenyataan yang berlawanan dengan apa yang kita bincangkan di meja rundingan.

“Contohnya beliau mendakwa telah berjaya membawa orang pulang, beribu-ribu orang telah menyerah diri, dan mengatakan beliau telah membuka 14 kawasan Zon Keselamatan, (sedangkan) kerajaan Thailand dengan kami baru mahu memulakan satu kawasan,” tambah Abu Hafez.

Sementara itu, seorang pemimpin kumpulan pemisah Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO] telah menafikan bahawa pejuangnya telah belot, dan mahu menyertai program "Bawa Balik Kampung" itu.

Kasturi Mahkota pemimpin PULO semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu, dakwaan pejuang PULO yang telah berpaling tadah dan berpihak kepada pihak musuh adalah satu pembohongan dan sandiwara politik murahan.

"Saya tidak kenal mereka, tidak ramai anggota PULO di Malaysia jadi mustahil ramai yang berpaling tadah, dan anggota PULO masih setia dalam perjuangan," kata Kasturi.

Pemimpin pemisah itu turut menafikan laporan yang disiarkan oleh media tempatan Thailand pada 2 Feb lepas yang menyatakan bahawa 2,000 bekas pejuang PULO dan Barisan Revolusi Nasional [BRN] ingin menyertai program itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada anggota yang kini meneruskan perjuangan di Malaysia atau di negara Eropah, yang menyertai program `Bawa Balik Kampung’," tegas Kasturi.

Tiada konflik

Sementara itu, Ketua pasukan dialog damai bagi kerajaan Thailand Jeneral Aksara Kerdphol yang mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Shukri pada Jumat memberi jaminan yang tiada konflik berhubung dengan proses runding damai yang berjalan antara kedua-dua belah pihak.

Thai PBS yang memetik Aksara sebagai berkata, MARA Patani, organisasi payung kumpulan separatis selatan Thailand, bimbang dengan kenyataan serta tindakan yang dilakukan oleh Pemerintah Hadapan bagi Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Komander Tentera Darat Ke-4, Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich mengenai program ‘Bawa Balik Kampung’ dan 14 daerah zon selamat.

Laporan itu juga menyebut Jeneral Thailand itu sebagai berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh MARA Patani mungkin bertujuan untuk berkomunikasi dengan media untuk menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pihak media. Aksara juga enggan memberi komen beliau sama ada kenyataan itu ada kaitan dengan kedudukan Piyawat yang akan bersara pada akhir September ini.

Aksara turut mengulangi bahawa kedua-dua pihak yang berunding dan mengadakan dialog damai itu memahami bahawa proses rundingan telah diteruskan secara berhati-hati.

Sejak 2004, hampir 7,000 orang terbunuh dan lebih 13,000 cedera dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu di wilayah yang dikawal ketat oleh tentera, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di wilayah Pattani.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.