Maria Chin Terima Penghormatan Antarabangsa Sempena Hari Wanita

Hata Wahari
2017.03.08
Kuala Lumpur
151103-MY-MARIACHIN620.jpg Maria Chin Abdullah, pengerusi Bersih - gabungan NGO dan kumpulan aktivis Malaysia - semasa bercakap pada wartawan selepas memberi kenyataan mengenai BERSIH 4.0 yang diadakan pada 29 Ogos, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, 2 September 2015.
AFP

Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih 2.0 bersama lima lagi wanita di Asia Tenggara pada Rabu telah diberi pengiktirafan oleh Amnesty International [AI] atas semangat keperwiraan dalam memberi inspirasi kepada masyarakat dan memperjuangkan hak asasi manusia sempena sambutan Hari Wanita peringkat antarabangsa.

AI, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di London, dalam satu kenyataan menyenaraikan nama lima lagi yang turut diberi pengiktirafan peringkat antarabangsa itu yang terdiri daripada Sirikan Charoensiri dari Thailand,  Tep Vanny [Kemboja];  Leila de Lima[Filipina];  Trần Thị Nga [Vietnam] dan  Wai Wai Nu [Myanmar].

Pengarah AI bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Champa Patel berkata, AI mengiktiraf usaha kesemua enam aktivis wanita tersebut yang berjuang untuk mempertahankan hak asasi manusia, walaupun berdepan dengan ugutan, hukuman penjara, dan keganasan di negara masing-masing.

"Di Asia Tenggara, terdapat beberapa kerajaan yang boleh berbangga dengan rekod hak asasi manusia mereka tetapi terdapat ramai wanita di rantau ini yang berhadapan dengan dugaan besar apabila berjuang untuk menentang ketidakadilan,” kata Champa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Wanita peringkat Antarabangsa itu.

Katanya, AI mahu mengiktiraf kesemua wanita tersebut yang telah memberi inspirasi kepada ramai golongan masyarakat di rantau ini dengan sumbangan mereka yang sememangnya perlu dipuji dan bukannya dihukum.

Maria semasa dihubungi oleh BeritaBenar memberitahu pengiktirafan yang diberikan oleh AI adalah satu penghormatan tetapi ianya bukan hanya untuk beliau tetapi untuk rakyat Malaysia yang berani menentang kezaliman.

"Apabila saya ditahan, ramai lagi orang yang berani keluar untuk membantah undang-undang yang zalim serta penahanan haram,'' katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau menegaskan pengiktirafan AI itu juga sekaligus dilihat sebagai memberi penghormatan kepada wanita yang berani tampil ke hadapan untuk menyuarakan impian mereka serta negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perihal hak asasi manusia Paul Low gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

AI dalam pengiktarafan itu memberitahu, pada November lalu, Maria Chin  ditahan tanpa perbicaraan dan dikurung selama 11 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747).

“Ia adalah undang-undang zalim yang membenarkan penahanan untuk tempoh yang panjang tanpa perbicaraan di lokasi rahsia. Jenayah beliau hanyalah mengetuai protes perhimpunan Bersih, di mana beribu-ribu orang turun ke jalanan untuk protes aman bagi menuntut pembaharuan dalam pilihanraya dan tadbir urus yang lebih telus,” kata kenyataan itu.

Beliau  merupakan antara  15 aktivis masyarakat sivil yang ditahan di bawah pelbagai kesalahan kerana mengadakan perhimpunan Bersih. Maria juga telah berulang kali disiasat dan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi organisasi dan penyertaan dalam perhimpunan aman yang lain.

Dalam penahanan itu, Maria telah ditangkap pada malam sebelum perhimpunan bantahan besar-besaran yang beliau dan aktivis Bersih lain anjurkan di Kuala Lumpur pada 19 Nov tahun lepas bagi mengetengahkan dakwaan penglibatan Perdana Menteri  Najib Razak dalam skandal rasuah. Najib menafikan dakwaan itu.

Maria dibebaskan pada malam sebelum satu perbicaraan yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mempertimbangkan writ Habeas Corpus yang difailkan para peguam Maria bagi memohon pembebasannya.

Maria juga menerima ugutan bunuh beserta sampul surat mengandungi sebutir peluru hidup berukuran 0.45mm yang diletakkan di atas meja di pejabatnya di Petaling Jaya pada ketika itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.