Kebebasan media Malaysia menjunam 34 tangga
2024.05.03
Kuala Lumpur
Indeks kebebasan media di Malaysia merudum dengan signifikan tahun ini, jatuh 34 anak tangga ekoran tindakan kerajaan terhadap banyak pihak atas ucapan atau penulisan yang didakwa menghina monarki dan perbincangan mengenai agama dan kaum.
Dalam penilaian pertama kali di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim oleh Reporters Without Borders (RSF), perdana menteri reformis itu dilihat melanggar janji-janji pilihan raya untuk menyemak atau membatalkan undang-undang berkait dengan kebebasan bersuara selain mengancam suara yang tidak bersetuju dengan kerajaan.
“Malaysia berada pada kedudukan ke-107 berbanding ke-73 tahun lepas,” demikian menurut RSF yang menerbitkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 pada Jumaat, dengan Malaysia juga turun dari tangga teratas bagi negara ASEAN buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun.
Thailand kini berada di tangga tertinggi dalam kalangan negara serantau itu dengan kedudukan ke-87 berbanding sebelum ini di tempat ke-106.
Indeks terbaru itu juga memberikan Malaysia skor 52.07 berbanding 62.83 tahun lalu, berdasarkan penilaian landskap media pada 2023 yang menyaksikan beberapa laman media yang kritikal terhadap kerajaan disekat.
"Kerajaan memberikan tekanan politik untuk menghalang media daripada melaporkan subjek-subjek sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.
“Pihak berkuasa menganggu wartawan penyiasatan dan monarki menjadi subjek yang sangat sensitif seperti mana perbincangan mengenai agama dan bangsa.
“Sebarang bentuk komentar atau pelaporan yang dianggap kritikal kepada monarki boleh mengakibatkan pendakwaan, membawa kepada tapisan kendiri mengenai isu-isu tersebut
“Wartawan Malaysia jarang menjadi sasaran serangan fizikal, tetapi ada yang mengalami gangguan kehakiman atau kempen fitnah.
“Ancaman baru-baru ini terhadap kewartawanan termasuk pendakwaan yang melibatkan perbelanjaan besar, pencarian polis di ibu pejabat media, mengabaikan kerahsiaan sumber, dan pengusiran wartawan atau pemberi maklumat asing,” kata RSF yang berpangkalan di Perancis dalam laporannya itu.
Pengkritik pada Jumaat turut merujuk kepada tindakan seperti menyekat laman web berita dan membatalkan akreditasi media sebagai bukti persekitaran media yang semakin buruk dalam penilaian pertama kebebasan akhbar di bawah pentabdiran Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, kerajaan pada minggu lalu menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan ia kekal komited dengan kebebasan bersuara tetapi tidak bertolak ansur dengan fitnah, satu pendirian yang diulang semula daripada janji-janji pilihan raya umum pada 2022.
Sebagai contoh, pada Jun tahun lepas, laman berita dalam talian MalaysiaNow disekat tanpa sebarang notis. Laman web TV Pertiwi dan Utusan TV juga disekat termasuk blog yang diuruskan oleh bekas Ahli Parlimen Wee Choo Keong.
Contoh lain termasuk penarikan semula kad akreditasi media Harakah dan Harakah Daily, lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ekoran artikel yang mempersoal sokongan Anwar kepada Palestin dan menyiarkan gambar Perdana Menteri bersebelahan bendera Israel pada November lepas.
Selain itu, wartawan di Malaysia juga tidak dibenarkan memasuki premis-premis kerajaan, balai polis atau sidang akhbar rasmi tanpa pas media yang diiktiraf.
Seorang kakitangan kerajaan meneliti buku Kod Etika Kewartawanan sewaktu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Kewartawanan di Putrajaya, 20 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Lawan fitnah
Dalam maklum balas kepada indeks yang dikeluarkan oleh RSF itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Jumaat berkata dia menerima laporan itu dengan hati terbuka.
"Banyak yang perlu dimuhasabah, dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa yang sama melawan fitnah serta sebaran maklumat palsu.
"Insya-Allah saya dan pasukan akan menghadam laporan ini dan merangka usaha-usaha yang lebih mapan ke depan," katanya di laman sosial.
Sebelum ini, kementeriannya melancarkan kod etika kewartawan yang diolah semula bertujuan melawan berita palsu dan mempromosikan integriti dalam kalangan wartawan dalam negara itu.
Panduan yang diperkenalkan semula oleh Kementerian Komunikasi sejak pengenalannya 35 tahun lalu, menggariskan lapan prinsip etika teras termasuklah ketelusan, keseimbangan dan ketepatan dalam laporan berita.
Dalam pada itu, pemerhati media, Center For Independent Journalism (CIJ) berkata Malaysia masih berdepan cabaran dan menunjukkan bukan sahaja kelesuan dalam kebebasan media bahkan kemunduran.
"CIJ mendapati kerajaan telah mungkir janji dan tidak banyak mencapai kemajuan dalam memansuh dan menggubal undang-undang kebebasan walaupun janji-janji yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen pilihan raya.
"Kerajaan terus menekan wartawan daripada menghasilkan laporan yang kritikal dan seimbang ketika nilai-nilai lapuk masih diamalkan dalam institusi politik," menurut CIJ dalam satu kenyataan merujuk kepada kerajaan campuran Anwar.
Tambahnya, penapisan internet terus menjadi amalan di negara itu termasuk terhadap platform online, sekali gus mengekalkan 'taboo' yang menjadi kelaziman dalam isu 3R (Agama, Kaum dan Raja) serta keupayaan wartawan untuk mengutarakan pandangan terhadap isu-isu berkaitan kepentingan awam.
Awal tahun ini, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia meminta platform seperti TikTok untuk memadam sesetengah kandungannya. Ia selepas penyokong pembangkang didakwa menggunakan TikTok untuk menyebarkan kandungan mereka.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan platform seperti X, Youtube dan Facebook telah menolak untuk memadam kandungan mereka, merujuk kepada polisi kebebasan bersuara syarikat-syarikat itu.
Media perlu kebebasan
Sementara itu, pensyarah kanan dan wartawan-wartawan veteran turut menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan indeks kebebasan media dan menggesa tindakan kerajaan untuk menyokong kebebasan bersuara di Malaysia.
"Ini sesuatu yang kita tidak perlu terkejut apabila banyak laporan yang menunjukkan pengguna media sosial ditahan dan dihadapkan ke mahkamah," kata Aziz Azizam, pensyarah kanan komunikasi liberal di Universiti Teknologi MARA kepada BenarNews.
"Ia berpunca daripada kurangnya pemahaman oleh kerajaan... Indeks ini perlu dilihat oleh kerajaan sebagai indikator jelas untuk menyiasat perkara-perkara yang diperkatakan, selain perlu menghormati media, memandangkan mereka sudah mempunyai etika sendiri dan turut wajar menghormati etika yang telah dipegang lama oleh pihak media."
Bagi wartawan veteran G. Manimaran, penurunan yang mengejutkan dalam tempoh setahun itu menunjukkan persepsi yang meluas bahawa kebebasan media dihalang, dikawal dan dimanipulasi.
"Sementara pengamal media perlu ada kebertanggungjawab, pihak berkuasa perlu bersikap terbuka dalam memelihara kebebasan media. Kawalan keterlaluan didakwa wujud akan menghakis persepsi mengenai kebebasan media dan kawalan ke atas media.
"Kerajaan perlu melaksanakan janji-janji kebebasan media dengan segera, walaupun tidak kesemuanya tetapi sebahagian sebagai peringkat awal. Ia boleh dilakukan dengan menubuhkan Majlis Media Malaysia dengan segera. Kita harap ia akan menjadi realiti pertengahan tahun ini tanpa sebarang kelewatan," katanya.
Jelas Manimaran, majlis itu perlu diterajui pengamal media dan bukannya kerajaan.
Jurugambar, juruvideo dan wartawan Malaysia semasa membuat liputan berita di Putrajaya, 24 Mac 2020. [S. Mahfuz/BenarNews]
Seorang lagi wartawan veteran, Zin Mahmud berkata walaupun kebebasan media penting, kerajaan perlu menguruskan keburukan maklumat media sosial untuk menghalang berita palsu dalam masyarakat.
"Pandangan saya, dalam demokrasi kita mesti ada kebebasan media. Itu prinsip asas. Bagaimanapun, prinsip keduanya ialah kita mesti mengawal diri kita untuk tidak membahayakan masyarakat dan negara.
"Kawalan kendiri mudah untuk organisasi media dengan adanya pengarang dan ketua pengarang, tetapi tidak dalam hantaran-hantaran media sosial," kata bekas wartawan dengan 30 tahun pengalaman itu kepada BenarNews.
"Dalam kebebasan, mesti ada tanggungjawab. Bagaimanapun, di mana masyarakat dan media sosial letakkan tanggungjawab itu?"
Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 2022, pentadbiran Anwar berdepan pelbagai tekanan untuk memansuhkan undang-undang drakonian yang menghalang kebebasan bersuara dan media selaras dengan piawaian hak asasi antarabangsa.
Seruan reformasi media termasuklah penghapusan Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Semasa era bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 1998, Akta Hasutan telah digunakan secara ketara semasa "Ops Lalang," iaitu tindakan keras terhadap pihak lawan termasuk media.
Namun tahun lalu menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi pembangkang seperti Presiden PAS Hadi Awang disiasat di bawah Akta Hasutan manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa di bawah akta yang sama pada Julai kerana kenyataan berbaur hasutan.
Negara Asia Tenggara itu juga baru-baru ini mempergiatkan usahanya, melalui agensi kawalan komunikasinya untuk membanteras kenyataan dan tingkah laku membabitkan 3R yang disiarkan dalam talian.