Follow us

Peluru Berpandu Dibawa Dari Rusia Tembak Jatuh Pesawat Malaysia, Rumus Siasatan Jenayah

Khas Untuk BeritaBenar
Washington
2016-09-28
E-mel
Komen
Share
Ahli-ahli pasukan siasatan bersama di Nieuwegein, Belanda mengumumkan bahawa peluru berpandu Rusia yang dilancarkan dari Ukraine pada Julai 2014 telah menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17, 28 Sept, 2016.
Ahli-ahli pasukan siasatan bersama di Nieuwegein, Belanda mengumumkan bahawa peluru berpandu Rusia yang dilancarkan dari Ukraine pada Julai 2014 telah menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17, 28 Sept, 2016.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menggesa supaya keadilan dilaksanakan selepas pasukan siasatan jenayah antarabangsa merumuskan pada Rabu bahawa peluru berpandu pemusnah pesawat yang dibawa dari Rusia telah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17 di timur Ukraine dua tahun lalu.

Ketua pendakwa raya Belanda Fred Westerbeke, yang mengetuai pasukan siasatan bersama (JIT) berkata, siasatan itu mengetepikan semua kemungkinan penjelasan lain bagi nahas MH17, lapor entiti BeritaBenar, Radio Free Europe/Radio Liberty (RFE/RL).

Pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, di ruang udara Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang menaikinya.

"Berdasarkan hasil siasatan ini, Malaysia mahu tindakan tegas diambil. Kami telah berjanji bahawa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu akan dibawa ke muka pengadilan," kata Najib kepada media Malaysia, lapor agensi berita negara, Bernama di Jerman.

"Ini janji kami kepada keluarga. Keluarga mahukan keadilan. Oleh itu, kami akan usahakannya," kata Najib yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Malaysia akan mengadakan mesyuarat dengan negara-negara lain yang turut kehilangan warganegara mereka, iaitu Belanda dan Australia, kata perdana menteri itu.

Saudara-mara mangsa Malaysia yang terbabit dalam nahas itu turut menyambut baik laporan siasatan itu.

Sejak lebih dua tahun lalu, ahli-ahli keluarga mangsa sentiasa tertanya-tanya siapakah yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Boeing 777, kata Noorlin Mohd Noor, kakak kepada penumpang pesawat itu, Norahimah Mohd Noor.

"Jika benar seperti yang diumumkan, misteri lain kini perlu dirungkai - mengapa MH17 ditembak jatuh," kata Noorlin kepada BeritaBenar.

Perkembangan terbaru itu memberi harapan kepada saudara-mara mangsa MH17 yang mahukan keadilan dilaksanakan, kata Munirah Mustafa,  kakak kepada Mastura, yang merupakan seorang daripada penumpang dalam penerbangan malang itu. "Akhirnya, kami menerima jawapan yang telah sekian lama kami nantikan,” katanya kepada BeritaBenar. "Saya harap mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan kerajaan Malaysia tidak melupakan nasib ahli keluarga mangsa."

Siasatan jenayah diteruskan

Bercakap pada sidang berita di Nieuwegein, Belanda, Westerbeke berkata, JIT tidak dapat mendedahkan kesemua hasil penemuannya kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan jenayahnya.

Beliau berkata, siasatan itu telah mengenal pasti kira-kira 100 orang yang kini masih diteliti lagi. Westerbeke menekankan bahawa “tanggapan yang jelas tentang rantaian perintah itu" perlu dihasilkan sebelum ia dapat menentukan sama ada mereka bersalah, lapor Voice of America (VOA), satu lagi entiti BeritaBenar.

Para penyiasat menetapkan bahawa peluru berpandu Buk darat ke udara Rusia telah dibawa masuk ke Ukraine tidak lama sebelum berlakunya tragedi itu, dan kemudian diseludup kembali ke Rusia sejurus  selepas itu.

160928-MY-investigators-300.jpg


Penolong Pesuruhjaya Polis Australia Ian McCartney (dari kiri), Pendakwa Raya Malaysia Mohamad Hanafia Zakaria, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar dan Ketua Pendakwa Raya Belanda Fred Westerbeke ketika mengumumkan hasil awal siasatan mengenai MH17. [AFP]

JIT menunjukkan animasi berdurasi 10 minit berselang seli dengan gambar dan video yang diambil pada Julai 2014, yang menunjukkan sistem Buk dibawa ke dalam Ukraine dan tiba berhampiran bandar Snizhne, lapor RFE / RL. Ia turut menampilkan bukti audio dan fotografi bahawa satu peluru berpandu telah dilancarkan dan unit Buk yang sama, dengan hanya tiga peluru berpandu, telah dikesan bergerak pada waktu malam melalui bandar Luhansk di Ukraine dan memasuki Rusia.

JIT dianggotai wakil-wakil daripada negara-negara yang paling terjejas dalam tragedi itu - Malaysia, Belanda, Australia dan Belgium yang bekerjasama dengan Ukraine untuk mengumpul bukti yang boleh digunakan dalam pendakwaan jenayah terhadap mana-mana negara berkenaan.

Polis Belanda berkata, hasil penemuan terkini itu bersama-sama dengan hasil daripada penyiasatan awal mungkin sudah cukup kukuh untuk digunakan dalam satu perbicaraan jenayah, lapor VOA. Pendakwa tidak boleh memfailkan pertuduhan pada masa ini kerana penyiasat antarabangsa belum bersetuju di mahkamah mana perbicaraan itu patut diadakan.

Sebelum ini, Lembaga Keselamatan Belanda membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di Ukraine.

Rusia: Tiada data radar

Dalam reaksinya kepada laporan interim JIT, pegawai-pegawai Rusia pada Rabu berkata data radar membuktikan bahawa tiada roket yang dilancarkan dari dalam wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia di Ukraine, lapor VOA.

Pada sidang panggilan dengan wartawan, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, radar Rusia telah mengenal pasti semua objek terbang di atas wilayah pemberontak itu.

"Data itu memang jelas ... tidak ada roket," katanya. "Jika ada roket, ia mungkin dilancarkan dari tempat lain."

Pada Julai 2015, Rusia menggunakan veto Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat resolusi yang bertujuan mewujudkan tribunal antarabangsa MH17, dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian adalah "tidak produktif."

Seorang pegawai JIT berkata, Rusia tidak memberikan data radarnya kepada penyiasat dan ia tidak pun diteliti. Westerbeke berkata, JIT telah membuat beberapa permintaan bagi mendapatkan maklumat daripada kerajaan Rusia semasa siasatan dua tahun itu dijalankan dan hanya  menerima "sebahagian jawapan sahaja daripadanya.”

JIT telah bekerjasama dengan Bellingcat, kumpulan penyelidikan sumber terbuka yang berpejabat di Britain, yang telah menggunakan catatan dalam media sosial untuk mengesan pergerakan unit peluru berpandu Buk dari hamper bandar  Kursk di Rusia ke kampung Snizhne di Ukraine beberapa hari sebelum nahas MH17 dan untuk mengesan unit yang sama kembali ke Rusia dengan segera sejurus selepas itu.

"Jelas sekali, Rusia sedang melakukan semua yang  boleh untuk menjejaskan sidang berita ini," kata pengasas dan pengarah Bellingcat, Eliot Higgins, kepada RFE / RL pada Rabu. "Mereka yang mengeluarkan data radar ini. Anda tahu, ia  tidak masuk akal langsung kerana mereka telah membuktikan bahawa sidang berita mereka sebelum ini adalah satu pembohongan.

"Dalam sidang berita pertama, [Rusia] berkata, terdapat sebuah jet antara tiga hingga lima kilometer (1.8-3.1 batu) jauhnya, dan dalam sidang berita baru-baru ini mereka berkata, tiada apa pun yang berdekatan dengannya. Jadi, anda tahu, Rusia akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengaku bertanggungjawab terhadap perkara ini. "

 

A. Ariffin di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh