Malaysia: Migran Indonesia harap keadaan kerja akan bertambah baik

Jika eksploitasi dan penderaan berterusan, hubungan dua hala boleh terjejas, kata Duta Indonesia ke Malaysia.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.23
Kuala Lumpur
Malaysia: Migran Indonesia harap keadaan kerja akan bertambah baik Seorang pekerja domestik Indonesia sedang mengemas katil bilik tidur di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor, 20 Feb. 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebagai anak sulung dalam keluarganya, Rizky Ramadan, seorang rakyat Indonesia dari Medan, percaya ia adalah tanggungjawabnya untuk membantu menyara keluarga. Atas rasa tanggungjawab itulah beliau membuat keputusan untuk meninggalkan kampung halaman bagi mencari rezeki di negara jiran Malaysia.

Bagaimanapun, bahagia yang dicari tidak kesampaian. Tidak lama selepas tiba di Malaysia, Rizky mendapati hidupnya terperangkap dalam apa yang disifatkan anak muda itu sebagai "mimpi ngeri".

Sebaik sahaja memulakan kerja sebagai seorang tukang kebun di negara yang asing baginya itu, majikan baharu beliau merampas pasport bagi menghalang Rizky bergerak bebas.

Majikannya juga turut mengambil separuh daripada wang gajinya yang berjumlah RM1,200 (AS $260) setiap bulan, dengan alasan perlu membayar ejen imigresen yang menguruskan kemasukan beliau untuk bekerja di Malaysia.

Rizky, 24, berkata beliau "tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri".

"Saya masih mentah ketika itu dan tidak mengetahui hak-hak sebagai seorang pekerja migran," katanya kepada BenarNews ketika ditemui baru-baru ini Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

"Bukan semua majikan itu jahat, tetapi malangnya ada segelintir yang sebegitu - dan pengalaman saya ini adalah antara satu contoh."

Indonesia merupakan negara sumber terbesar bagi pekerja migran, dengan kira-kira 9 juta rakyatnya dianggarkan bekerja di luar negara pada 2017, menurut Bank Dunia.

Hanya kira-kira 4.7 juta daripada mereka berdaftar secara rasmi dengan agensi perlindungan buruh, sementara selebihnya terdedah kepada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Ramai daripada mereka yang bekerja di Malaysia, di mana kes-kes buruh paksa, pemerdagangan manusia dan penderaan pekerja migran bukan sesuatu yang asing.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa baru-baru ini mendapati hampir satu-pertiga pekerja migran yang diupah sebagai pembantu domestik di Malaysia bekerja di bawah syarat-syarat yang mengeksploitasi mereka, termasuk diasingkan daripada dunia luar serta pergerakan mereka dikawal ketat oleh majikan.

"Berlaku penderaan secara berleluasa terhadap pekerja migran warga Indonesia yang dijual sebagai barang komoditi dan ini memerlukan perhatian serius pihak berkuasa, namun tidak ada satu pun kementerian yang nampaknya benar-benar berminat untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan," kata Alex Ong, seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai koordinator bagi Migrant Care, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak pekerja yang berpusat di Jakarta.

Kata Ong, secara purata Migrant Care merekodkan empat kes buruh paksa setiap bulan sejak tahun lalu, dan menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk kerjasama lebih erat dengan agensi-agensi penguatkuasa.

230623-MY-ID-Migran2.jpg

Pekerja migran melalui laluan pejalan kaki di Kelana Jaya, Selangor, 30 Mac 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Dua minggu lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah menyatakan komitmen mereka dalam memperkukuhkan perlindungan untuk pekerja migran di Malaysia.

Pada April tahun lepas, dua negara berjiran tersebut telah mewujudkan satu sistem untuk melindungi hak pekerja warga Indonesia dengan lebih baik melalui perlindungan gaji dan mekanisme aduan, terutama bagi mereka yang bekerja dalam sektor domestik.

Sekadar kertas

Uli Rini, seorang pembantu domestik yang telah berada di Malaysia sejak 13 tahun lalu berkata, bagaimanapun, masih ramai warga Indonesia berasa skeptikal dengan perjanjian berkenaan atau apa impaknya kepada kehidupan mereka.

"Pekerja migran, terutama sekali pekerja domestik, tidak begitu tahu mengenai terma dan syarat dalam perjanjian berkenaan," kata Uli, yang juga merupakan presiden kumpulan advokasi Persatuan Pembantu Rumah Migran Indonesia.

"Mereka patut tahu bahawa mereka ada hak untuk mendapatkan cuti serta hak untuk memiliki telefon untuk berkomunikasi dengan keluarga. Tetapi masih ramai yang tidak dibenarkan memiliki telefon, tidak dibenarkan mengambil cuti, malah ada yang tidak diberikan tempat tidur yang sewajarnya."

Tambah beliau lagi, walaupun terdapat perjanjian-perjanjian itu, masih tidak ada sebarang perubahan ketara pada situasi pekerja migran Indonesia di Malaysia.

"Ia hanyalah sekadar kertas yang mereka tandatangani," kata beliau. "Kami mahu hak kami sebagai pekerja diiktiraf. Kami tidak mahu lagi dipanggil sebagai orang gaji atau pembantu rumah."

Ilham Farizal Manurum, seorang pekerja migran Indonesia di Kuala Lumpur, berkata dia sudah putus asa dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan.

"Bekerja di Malaysia adalah mudah, kecuali jika kamu mendapat majikan yang jahat," kata Ilham, yang telah berada di Malaysia selama 10 tahun. "Mereka tipu duit kami, dan tidak banyak yang mampu kami lakukan apabila perkara sedemikian berlaku."

Menteri Sumber Manusia Malaysia tidak memberikan jawapan balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen beliau pada minggu ini.

Jejas hubungan dua hala

Indonesia pada Julai tahun lalu telah mengambil tindakan menghentikan penghantaran pekerja mereka ke Malaysia buat sementara waktu, di mana negara itu mendakwa Kuala Lumpur telah melanggar perjanjian mengenai isu pekerjaan dan meletakkan warga Indonesia dalam risiko dijadikan buruh paksa. Indonesia kemudiannya membatalkan larangan itu pada Ogos.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, pada minggu ini berkata isu pekerja migran boleh menjejaskan hubungan dua hala melainkan Malaysia memberikan lebih fokus untuk melindungi golongan tersebut.

"Rakyat Indonesia berasakan bahawa sesetengah orang Malaysia memandang rendah kepada negara kami, seolah-olah kami boleh dilayan sesuka hati," kata beliau kepada sekumpulan pelajar jurusan perhubungan antarabangsa di Universiti Malaya pada Selasa.

"Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa kes gaji tidak dibayar, penderaan, atau penyeksaan ini hanyalah kes terpencil, laporan yang diterima kami menunjukkan sebaliknya," tambah beliau.

Kira-kira 1.7 juta rakyat Indonesia bekerja di Malaysia pada hari ini dengan kebanyakan daripada mereka dalam sektor perladangan dan pembinaan, Hermono memberitahu BenarNews pada awal bulan ini.

Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk memperbaiki tahap perlindungan bagi pekerja migran dan baru-baru ini negara itu telah dinaiktaraf ke Tahap 2 Senarai Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2023 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Laporan berkenaan menilai usaha dijalankan negara-negara di seluruh dunia bagi menangani masalah pemerdagangan orang.

Akan tetapi, laporan itu mengkritik Malaysia atas kegagalannya untuk mengambil langkah proaktif bagi mengenalpasti mangsa, termasuk mereka yang menjadi mangsa buruh paksa, ketika operasi penguatkuasaan.

Perkara itu telah menyebabkan mangsa pemerdagangan turut ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

"Kelewatan dalam tindakan pendakwaan, kekurangan koordinasi antara agensi, dan kekurangan perkhidmatan untuk mangsa telah menyebabkan mangsa tawar hati untuk terus tinggal di Malaysia bagi mengambil bahagian dalam perbicaraan jenayah, dan perkara ini terus menjadi penghalang terhadap usaha penguatkuasaan undang-undang anti-pemerdagangan orang daripada mencapai kejayaan," kata laporan yang diterbitkan pada minggu lalu itu.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.