Rejim Diktator Di Malaysia Jika RUU MKN Dilaksanakan

Staf BeritaBenar
2015.12.02
151202-MY-MKN620 Polis Malaysia sedang berdepan dengan beribu-ribu penunjuk perasaan semasa perhimpunan jalanan di Kuala Lumpur. 9 Julai 2011.
AFP

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu boleh meletakkan Malaysia di bawah pemerintahan diktator, kata Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang paling lama memimpin Malaysia.

Sambil menyuarakan kebimbangannya, bekas perdana menteri itu turut menyelar Rang undang-undang MKN yang dilihat memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri sebagai Pengarah Operasi.

Mahathir juga mempersoalkan mengapa lebih banyak kuasa diperlukan sedangkan cabang eksekutif sedia ada mempunyai dan menggunakan kuasa yang mencukupi.

"Kuasa yang ada kini sudah terlalu banyak. Jika kita menambahnya, kita akan mempunyai pemerintahan diktator," katanya seperti dilaporkan media pada Rabu.

Mahathir yang pernah berkhidmat selama 22 tahun juga tidak menolak kemungkinan Malaysia akan kembali ke zaman penjajah apabila negara itu mempunyai undang-undang sedemikian.

"Tidak ada demokrasi di bawah British ... seolah-olah kita ini diperintah dari London," katanya.

MKN telah ditubuhkan secara rasmi pada 7 Julai 1971, selepas kerajaan yang pada masa itu yang dipimpin oleh Razak Hussein, bapa kepada Najib membubarkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), yang ditubuhkan bagi membantu Perdana Menteri merangkap Pengarah Gerakan Negara mengukuhkan keselamatan negara selepas berlakunya insiden 13 Mei 1969 sehingga membawa kepada pengisythiran darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 15 Mei.

’15 kuasa khas’

Rang Undang-Undang MKN 2015 yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim bagi bacaan pertama di sesi persidangan Dewan Rakyat pada Selasa, akan diikuti dengan bacaan kedua dan ketiga sehingga persidangan itu berakhir pada Khamis.

Ia antara lain memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Rang Undang-undang turut memperuntukkan perdana menteri sebagai pengerusi dalam keanggotaan MKN, manakala timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi diikuti tiga menteri yang akan bertanggungjawab bagi pertahanan, hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai oleh Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

Bidang kuasa khas yang diperuntukkan dalam MKN merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita.

Kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi barang berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

Pengarah Operasi MKN dan pasukan keselamatan lain juga mempunyai kuasa khas lain. Contohnya,  ia boleh mengambil milik tanah secara sementara, bangunan atau harta alih; permintaan bagi sumber; memberi pampasan serta kuasa untuk memerintahkan pemusnahan bangunan tertentu yang tidak dihuni.

Selain itu, penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu; kuasa untuk mengetepikan inkues dan penyerahan orang yang ditangkap dan barang yang disita kepada polis.

Dalam kuasa khas perintah berkurung, Pengarah Operasi boleh memerintahkan semua orang di dalam kawasan keselamatan atau mana-mana bahagian kawasan keselamatan untuk berada di dalam tempat kediaman atau bangunan antara waktu yang ditentukan dalam perintah yang dikeluarkan olehnya.

Mereka yang tidak mematuhi perintah itu atau melakukan suatu kesalahan, boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Rang undang-undang berkenaan juga memperuntukkan kepada anggota pasukan keselamatan, tanpa waran, menangkap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di kawasan keselamatan.

Perdana Menteri juga, atas syor Ketua Setiausaha Negara, akan melantik seorang di kalangan pegawai awam untuk menjadi Ketua Pengarah Keselamatan Negara serta Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara yang boleh mengambil sebagai kakitangan seberapa ramai  pegawai dan perkhidmat lain di kalangan pegawai awam.

Ia juga mencadangkan Perdana Menteri diberi kuasa untuk mengisytiharkan kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan.

Turut diperuntukkan dalam Rang undang-undang berkenaan ialah sebarang arahan, perintah atau keputusan yang dibuat MKN yang sedia ada terus berkuatkuasa selaras dengan akta ini.

Najib semasa menjawab soalan mengenai Rang undang-undang itu pada Oktober lepas, menyifatkan langkah tersebut sebagai  langkah untuk mengkaji semula dan mengubah peranan MKN.

"Ancaman keganasan merupakan ancaman yang nyata dan kerajaan memberi perhatian sewajarnya dalam menangani ancaman tersebut.

"Maka kerajaan kini dalam proses mengukuhkan Majlis Keselamatan Negara sebagai agensi barisan yang lebih efisyen dan berkesan dalam menyelaras dasar serta strategi keselamatan negara," katanya di Parlimen.

Najib berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi MKN juga akan disemak semula bagi memastikan arahan yang dikeluarkan masih relevan untuk menangani cabaran masa kini.

‘Bahayakan kebebasan awam’

Sementara itu, Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berpendapat rang undang-undang tersebut membahayakan kebebasan awam kerana ia memberi kuasa yang berlebihan kepada Perdana Menteri.

"Ia adalah suatu perkara yang patut dibimbangi semua rakyat. Ia memberikan Perdana Menteri, secara peribadi bersama lapan angora MKN, kuasa baru yang meluas dan (boleh disalah gunakan) sewenang-wenangnya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata apa yang lebih luar biasa ialah bagaimana Perdana Menteri boleh diberikan kuasa mutlak untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan apabila ketenteraman awam adalah di bawah Menteri Dalam Negeri.

"Rang undang-undang itu memberi kuasa berlebihan di tangan Perdana Menteri. Ini tidak boleh diterima di bawah sistem demokrasi kita," tegasnya.

Atas dasar kepentingan rakyat dan negara, Surendran menggesa kerajaan menarik balik rang undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengecam rang undang-undang itu yang didakwanya jelas tidak mengikut Perlembagaan, kerana ia dilihat melibatkan penyalahgunaan kuasa serta tidak diperlukan kerana Malaysia berada dalam keadaan aman tanpa ancaman subversif, pemberontakan atau rusuhan awam.

Lebih mengejutkan, katanya, rang undang-undang itu hanya melibatkan masa yang terhad untuk perbahasan yang menyeluruh tanpa rundingan dengan Ahli Parlimen pembangkang serta orang ramai.

"Jika diluluskan, ia adalah serangan yang paling serius terhadap demokrasi di negara ini, kebebasan asasi serta kedaulatan undang-undang kerana melaksanakan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam mengisytiharkan darurat.

"Ini akan membolehkan Perdana Menteri selaku pengerusi MKN menjalankan kuasa darurat yang sama - menggunakan keganasan dan kekerasan, penangkapan, penahanan, penggeledahan dan penyitaan, perintah berkurung, pengawalan pergerakan, pengambilan tanah serta harta, dan lain-lain," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.