Parlimen Malaysia Lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara

Hata Wahari
2015.12.03
151203-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Najib Razak tiba di Sidang Kemuncak G20 di Belek, Turki. 15 November 2015.
AFP

Dewan Rakyat pada Khamis telah meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa sebarang pindaan selepas dua hari ianya dibentangkan, dengan ramai ahli Parlimen pembangkang mahu ianya ditarik balik.

Rang Udang-Undang yang dibahasakan selama enam setengah jam itu, memberi 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Sebelum diluluskan pada peringkat dasar, ia dibahas dengan panjang lebar oleh lebih 20 ahli Parlimen dan melalui undi belah bahagian seramai 107 ahli parlimen menyokong manakala 74 lagi menentang.

Pada Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim telah membentangkan Rang Undang-Undang itu di Dewan Rakyat iaitu dua hari sebelum berakhirnya sesi persidangan dewan itu bagi tahun ini.   

MKN telah ditubuhkan secara rasmi pada 1971 selepas pembubaran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), dengan mempunyai kuasa pentadbiran dan mengeluarkan 24 arahan perkhidmatan bagi menangani pelbagai ancaman keselamatan semasa seperti pengurusan krisis dan bencana.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Malaysia(PKR), Wan Azizah Wan Ismail berkata, Rang Undang-Undang itu dilihat merbahaya jika dibandingkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan kerajaan beberapa tahun lepas.

“Ini [RUU MKN] lagi teruk daripada ISA, ia tidak dipertanggunjawab kepada mana-mana mahkamah, jawatankuasa, undang-undang dan majlis raja-raja….

"Rang Undang-undang ini tidak perlu masuk ke parlimen,” katanya di Lobi Parlimen pada Khamis.

‘Kerajaan gopoh’

Ahli Parlimen Pokok Sena dari Parti Islam Se-Malaysia Mahfuz Omar berkata, adalah tidak wajar bagi kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang dalam tempoh yang singkat, tanpa memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengkajinya terlebih dahulu.

“Kerajaan begitu gopoh dalam meluluskan RUU MKN di Parlimen hari ini,” katanya kepada Berita Benar semasa dihubungi dari Washington.

Ahli Parlimen Puchong dari Parti Tindakan Demokratik, Gobind Singh pula menyifatkan tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-undang dalam tempoh singkat dan memohon perbahasan dibuat pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat adalah sesuatu yang tidak adil.

“Ia perlu disemak dengan teliti dan diterangkan secara jelas, untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa… Mengapa perlu tergesa-gesa sekarang, sedangkan boleh dibentangkan pada sidang parlimen akan datang,” kata beliau di lobi parlimen.

Timbalan Pengarah Hak Asasi Manusia Asia, Phil Robertson berkata, Rang Undang-Undang yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia itu adalah jelas merupakan satu alat penindasan, walaupun ianya disebut sebagai undang-undang untuk melindungi keselamatan negara, undang-undang baru itu memperuntukkan kuasa yang luas, yang pada asasnya boleh mengancam hak asasi manusia dan pemerintahan demokrasi.

Sementara itu, Shahidan semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara itu, menolak semua dakwaan pembangkang mengenainya dan menafikan terlalu banyak kuasa mutlak diberikan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, Malaysia kini berdepan pelbagai ancaman termasuk siber, maritim, keganasan dan jenayah rentas sempadan, yang memerlukan usaha untuk memperkukuh mekanisme dan sistem dalam pengubalan dasar keselamatan.
Katanya, RUU MKN perlu bagi memudahkan serta penyelarasan perkongsian risikan secara bersepadu oleh pasukan keselamatan negara terhadap sesuatu ancaman.

"RUU ini memberi kuasa kepada MKN dan menubuhkannya secara rasmi. Putrajaya telahpun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara sebelum membentangkannya dan dimaklumkan ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.