Bot Rohingya Tiba Awal April Berlayar Dari Cox Bazar Hampir Dua Bulan, kata NGO

Noah Lee & Nisha David
2020.04.20
Kuala Lumpur, Malaysia
200420-MY-APMM-Rohingya960.jpg Agensi Penguatkuatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] menahan sebuah bot yang membawa sekumpulan pelarian etnik Rohingya di perairan Pantai Teluk Nibong, Langkawi, Kedah, 5 April, 2020.
[Ihsan APMM]

Sekumpulan warga Rohingya yang tiba pada awal April di perairan Langkawi dibawa oleh sindiket secara haram dari penempatan pelarian di Cox Bazar, Bangladesh, dan berada dalam keadaan kelaparan hampir dua bulan di laut terbuka, menurut pertubuhan bantuan kemanusiaan Malaysian Relief Agency (MRA).

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman berkata pemeriksaan yang dijalankan agensi itu mendapati 202 pelarian Rohingya yang mendarat di kawasan berdekatan Pantai Teluk Nibong di Langkawi pada 4 April lepas juga mengalami masalah kesihatan akibat berlayar tanpa bekalan makanan yang mencukupi.

“Pelarian Rohingya yang ditahan ini terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita dan 4 orang kanak-kanak dan telah ditahan menaiki bot hanyut sewaktu memasuki perairan Lagkawi, setelah menempuh perjalanan panjang selama hampir dua bulan daripada kem pelarian Cox Bazar di Bangladesh, dan mereka kini ditahan bagi tujuan kuarantin.

“Doktor dan paramedik MRA telah dihantar ke pusat tahanan sementara bagi menyalurkan  bantuan rawatan perubatan kecemasan, memandangkan sebahagian besar daripada mereka mengalami masalah kesihatan, malnutrisi dan dehidrasi teruk akibat berlayar tanpa bekalan air, makanan dan perubatan yang mencukupi,” kata Mohd Daud dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Selain itu, beliau juga memberitahu yang MRA dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia telah menyampaikan bantuan makanan asas dan juga set bantuan pakaian lengkap beserta selimut, tuala dan pakaian dalam kepada semua tahanan bernilai RM70,000 (AS$16,000) kepada warga Rohingya tersebut.

Tambah beliau, hasil kerjasama dengan badan dunia itu juga berjaya menyediakan kit diagnostik bagi ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas kesemua mereka yang baru tiba itu yang kini berada di dalam kuarantin di pusat tahanan sementara bagi memastikan kesemuanya bebas dari virus tersebut.

Selain MRA dan UNHCR, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (Medecins Sans Frontieres) turut membantu dengan menyalurkan bekalan ubat, kit kebersihan dan makanan asas ke pada mereka.

Pada 5 April lalu, sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya ditahan Agensi Penguatkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas cuba mendarat di perairan berhampiran sebuah pusat peranginan di Teluk Nibung, Langkawi apabila orang awam melaporkan kejadian tersebut melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin memaklumkan bahawa kesemua pelarian berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia, dan kini di tempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Kedah buat sementara waktu negara masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kami sudah serahkan kepada Jabatan Imigresen," kata beliau.

Menurut sumber yang tidak boleh dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media berkata, kesemua 202 warga Rohingya itu, bebas dari COVID-19.

“Mereka sudah disaring. Keputusan ujian adalah negatif,” kata sumber tersebut kepada BeritaBenar.

Halang bot pelarian

Sementara itu, sekumpulan 200 lagi warga Rohingya dalam sebuah bot yang cuba memasuki perairan Malaysia pada 16 April lalu telah dikesan oleh sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan halang oleh Tentera Luat Diraja Malaysia (TLDM) daripada berbuat demikian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Affendi Buang, bot berkenaan dikesan oleh pesawat C-130H TUDM kira-kira 60 batu nautika di barat Pulau Langkawi sebelum dua buah kapal TLDM dikerahkan ke lokasi untuk mengiringi bot berkenaan keluar daripada perairan negara.

"Di dapati kira-kira 200 orang pendatang asing tanpa izin Rohingya berada di dalam bot tersebut yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak," kata Affendi dalam kenyataan media yang diedarkan pada 17 April.

Tambah beliau, kawalan persempadanan diperketatkan dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk APMM dan polis dalam usaha untuk menghalang penularan kluster baru jangkitan wabak COVID-19 yang mungkin akan dibawa masuk oleh kumpulan pendatang asing tanpa izin.

Tindakan ATM itu bagaimanapun telah mengundang kecaman dari pelbagai badan bukan hak asasi manusia yang menggelarkan tindakan itu sebagai membahayakan nyawa para pelarian di tengah lautan.

Amnesty International dalam kenyataan pada hari yang sama menggesa kerajaan di rantau Asiaa supaya membenarkan pelarian mendarat dengan selamat dan mengambil tindakan segera bagi menghalang satu lagi krisis kemanusiaan.

"Usaha melawan COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan-kerajaan di rantau ini menjadikan perairan mereka sebagai kuburan bagi orang Rohingya yang sedang dalam keadaan terdesak," kata Clare Algar, pengarah kanan kajian, advokasi dan polisi Amnesty International.

Tambah beliau, tanpa kerjasama segera, negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) akan menghadapi satu lagi krisis kemanusiaan dan pada masa sama melawan pandemik tersebut.

Dalam kenyataannya, badan kemanusiaan itu mendakwa bahawa Malaysia telah menolak keluar sebuah lagi bot yang sarat dengan 396 pelarian Rohingya yang kemudiannya telah diselamatkan Pengawal Pantai Bangladesh pada 15 April.

Amnesty International berkata bahawa bot berkenaan telah berada di laut selama dua bulan sebelum diselamatkan Bangladesh, dan mendakwa bahawa 32 orang daripada pelarian di dalamnya telah mati sewaktu di laut.

"Tetapi jumlah kematian itu dipercayai hampir dua kali ganda kini. UNHCR menyatakan bahawa mereka yang terselamat mengalami isu kekurangan zat dan kekurangan air yang amat teruk."

Human Rights Watch (HRW) memberikan respon yang hampir serupa, menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia menghalau pelarian dari memasuki perairan negara sebagai satu perbuatan yang membahayakan nyawa manusia.

Ia turut menyentuh mengenai bot yang diselamatkan Pengawal Pantai Bangladesh itu dan mendakwa bahawa keterangan dari pelarian yang selamat menunjukkan bahawa mereka berada di lautan selama dua bulan selepas dihalau oleh Malaysia.

Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Asia, berkata pandemik COVID-19 bukan justifikasi untuk mendedahkan nyawa "pelarian dalam bot-bot yang sesak" kepada risiko.

"Pandemik COVID-19 hanya menambah lagi kesengsaraan etnik Rohingya….Kerajaan Malaysia boleh membendung penularan wabak dan pada masa sama memastikan mereka yang menggadai nyawa di lautan diselamatkan dan diberi peluang untuk mendapatkan suaka," katanya dalam kenyataan.

Akan tetapi, pertubuhan kebajikan warga asing Tenaganita pula berpendapat bahawa langkah penyelesaian yang perlu dicapai segera bukanlah dengan menerima semua orang Rohingya yang lari dari Myanmar, tetapi adalah dengan memastikan supaya mereka dapat kembali ke negara itu dan mendapat perlindungan sewajarnya.

Tidak cukup makanan

Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez berkata pelarian yang datang ke Malaysia juga kini dalam keadaan sengsara akibat wabak COVID-19 yang telah menyebabkan ramai hilang pekerjaan serta banyak keluarga tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

"Berapa banyak lagi bot yang kita hendak benarkan mendarat di Malaysia? 10 bot dengan 500 pelarian setiap satu? 30 bot dengan 300 pelarian setiap satu? Atau 100 bot dengan 100 pelarian?

"Malaysia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. Begitu ramai yang tiada makanan, terutama sekali kanak-kanak.

“Pekerja telah kehilangan mata pencarian, manakala perniagaan banyak ditutup. Tambahan lagi, pelarian yang berada di sini juga sedang hidup susah setiap hari.

"Malaysia dan negara-negara ASEAN hendaklah mengadakan perbincangan serius dengan segera bersama PBB dan Bangladesh, bagi membolehkan pelarian-pelarian ini kembali ke Myanmar dengan perlindungan sepenuhnya untuk mereka," kata Fernandez.

Warga asing di Malaysia termasuk golongan pelarian dan pemohon suaka dalam kumpulan yang berisiko turut dimasukkan dalam aktiviti pemantuan dan pemerhatian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui saringan yang dibuat ke atas mereka.

Menurut UNHCR, Malaysia menempatkan sekitar 101,010 pelarian Rohingya yang berdaftar dengan pertubuhan dunia itu, sekaligus menjadikan mereka kumpulan pelarian terbesar di negara berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.