PM Malaysia Puji Hubungan Dengan China, Tegur Barat
2016.11.02
Washington DC
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Rabu memuji perkembangan hubungan strategik negaranya dengan China tetapi memberi isyarat tentang rasa jengkelnya terhadap Barat, dalam satu artikel ditulisnya, dengan memberi amaran kepada ‘bekas kuasa penjajah’ supaya melayani negara-negara kecil ‘dengan adil’ dan bukan ‘berleter’ mengenai ‘urusan dalam negara’ mereka.
Sehari selepas mempengerusikan majlis menandatangani satu perjanjian di Beijing untuk membeli empat kapal perang dari China - pembelian pertama kapal tentera China oleh Malaysia - Najib menghuraikan lanjut dalam artikel pendapatnya yang disiarkan dalam akhbar China Daily mengenai pengukuhan kerjasama dua hala berkaitan hubungan perdagangan, pelaburan dan pertahanan.
"Kini, hubungan antara negara kita sedang menuju ke aras lebih tinggi," kata Najib dalam artikel itu.
Sejak tiba di China pada Selasa untuk lawatan enam hari, Najib menyaksikan majlis menandatangani 14 memorandum persefahaman bernilai RM144 bilion ($34.4 bilion), yang termasuk perjanjian dengan China untuk membina landasan kereta api di Malaysia, lapor Agence France-Presse.
Lawatan itu dibuat ketika beberapa negara sedang menyiasat dakwaan salah guna dana daripada firma pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad.
Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat telah memfailkan saman undang-undang pada Julai bagi mendapatkan kembali lebih daripada $1 bilion dalam aset yang didakwa dibayar dengan wang yang dicuri daripada 1MDB. Anak tiri dan sekutu Najib telah dinamakan sebagai sasaran dalam saman undang-undang AS itu.
Seorang pegawai kehakiman AS yang rapat dengan pasukan siasatan memberitahu Wall Street Journal bahawa Najib, yang dibelenggui dengan dakwaan rasuah berkaitan 1MDB, adalah orang yang dikenal pasti lebih 30 kali dalam saman itu sebagai "Pegawai Malaysia 1." Perdana Menteri telah menafikan sebarang salah laku jenayah berkaitan dengan skandal tersebut.
‘Mereka tidak sepatutnya mengajar…’
Najib, yang tidak menyebut tentang 1MDB dalam artikel itu, menulis bahawa adalah " adalah wajar bagi negara lebih besar untuk melayan negara lebih kecil secara adil.
“Dan ini termasuklah bekas kuasa penjajah. Mereka tidak sepatutnya mengajar negara yang pernah mereka jajah tentang cara untuk menangani hal ehwal dalaman masing-masing yang wujud hari ini,” kata Najib sambil menambah kata, “Malaysia dan China sependapat tentang perlunya mempertahankan kedaulatan negara dan percaya bahawa sejarah, nilai dan sistem tadbir urus sesebuah negara, perlu dihormati.”
Lawatan Najib ke China menyusuli kunjungan Rodrigo Duterte, Presiden Filipina yang baru, ke negara itu baru-baru ini di mana Duterte bercakap secara provokatif tentang membina hubungan lebih rapat di antara Manila dan Beijing selain mengancam untuk beralih daripada pakatan lama negaranya dengan Amerika Syarikat, negara yang pernah menjajah Filipina.
Filipina dan Malaysia juga adalah antara negara di Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian dengan China berhubung tuntutan wilayah masing-masing di Laut China Selatan. Sementara itu, pegawai-pegawai Indonesia dan Australia berkata baru-baru ini bahawa negara mereka sedang mengkaji kemungkinan mengadakan rondaan tentera laut bersama di perairan strategik.
Dalam artikel beliau, Najib turut menyentuh mengenai usaha di antara Beijing dan Kuala Lumpur untuk meredakan ketegangan di Laut China Selatan.
“Hubungan di antara China dan Malaysia adalah berasaskan sikap saling mempercayai dan menghormati. Pada masa sama, kami sedar bahawa walaupun menjadi rakan rapat, pasti ada isu yang kami mungkin berbeza pendapat.
“Apabila ia berkaitan Laut China Selatan, kami yakin penuh bahawa pertikaian bertindih mengenai wilayah dan maritime itu perlu ditangani secara tenang dan rasional serta melalui dialog, sejajar dengan kedaulatan undang-undang dan rundingan secara aman.”
'Kondusif kepada keamanan dan pembangunan serantau'
Baru-baru ini, penganalisis keselamatan mengulas bahawa pengaruh China yang semakin berkembang di Asia Tenggara boleh menyebabkan negara-negara, termasuk Malaysia dan Filipina, menjauhkan diri daripada Amerika Syarikat.
Di Beijing pada Rabu, seorang jurucakap Kementerian Luar China telah ditanya mengenai sama ada perjanjian dua hala yang ditandatangani dengan Malaysia merupakan satu lagi usaha China untuk mengatasi pengaruh Amerika Syarikat di Asia Timur.
"Peningkatan kerjasama yang saling menguntungkan di antara China dan Malaysia adalah selaras dengan kepentingan kedua-dua negara dan sesuai untuk keamanan dan pembangunan serantau," kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, dalam satu sidang media, menurut satu transkrip.
“Perkembangan hubungan diplomatik biasa China dengan negara-negara lain tidak pernah menyasarkan mana-mana pihak ketiga."