Malaysia-Filipina Bincang Undang-undang Berkaitan Rondaan Laut

Desmond Davidson
2017.01.27
Kuching, Sarawak
170127-my-filipina-620.jpg Seorang kanak-kanak pendatang Filipina menggunakan tangki air plastik sebagai rakit, di perairan bersempadanan dengan Filipina di Pulau Gaya, Sabah, 13 April 2008.
AFP

Malaysia dan Filipina pada dasarnya telah bersetuju mengenai beberapa mekanisme perundangan berkaitan dengan rondaan kawalan keselamatan di perairan Laut Sulu, terutamanya semasa memburu penjenayah, kata Persuruhjaya Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Sabah kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau berkata, pertemuan dua hala antara PDRM dan Polis Nasional Filipina [PNP] yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, selama tiga hari dan berakhir pada Khamis, membincangkan beberapa aspek perundangan terutamanya, semasa pasukan keselamatan Malaysia memburu penjenayah sehingga ke perairan Filipina.

"Mesyuarat itu diadakan untuk menyelaraskan segala-galanya, operasi dan penyelarasan antara PDRM dan PNP, terutamanya perkara berkaitan undang-undang di laut,” kata Ramli Din kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Beliau berkata, antara isu lain yang turut dibincangkan ialah penyelarasan rondaan dan operasi; persefahaman dan kerjasama antara kedua-dua pasukan polis; mengenal pasti kawasan operasi dan pelan komunikasi bersama termasuk perkongsian risikan.

"Kami mahu mengelakkan sebarang masalah undang-undang (yang mungkin timbul) pada masa depan, jadi pada pertemuan dua hala itu, pakar undang-undang dari kedua-dua negara duduk dan mengupas isu melibatkan perundangan dalam menyelesaikan sebarang isu yang bakal timbul apabila kawalan rondaan keselamatan bermula," katanya.

Selain itu, tambah beliau mesyuarat berkenaan juga membincangkan usaha untuk meningkatkan masa tindak balas kecemasan, membantu pelaut dan kapal serta menubuhkan satu kumpulan kerja penguatkuasaan bersama.

Ramli berkata, isu undang-undang di laut yang mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNCLOS) juga diberikan penekanan semasa pertemuan itu, kerana ia melibatkan perairan wilayah, zon ekonomi eksklusif, alam sekitar dan sumber asli seperti yang dikuatkuasakan sejak 1994 di mana Malaysia dan Filipina adalah anggota UNCLOS.

Perairan yang memisahkan selatan Filipina dan Malaysia di sekitar Sabah telah dibelenggu oleh kes penculikan pelaut Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang belayar di sekitar kawasan perairan itu, sejak tahun lepas.

Sebuah badan pemantau pelanunan antarabangsa Biro Maritim Antarabangsa (IMB) dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini berkata penculikan maritim di seluruh dunia mencatatkan rekod 10 tahun pada 2016 dengan peningkatan yang membimbangkan bagi kes penculikan kapal Indonesia dan Malaysia di perairan antara Borneo dan selatan Filipina.

Sebanyak 28 kes penculikan berlaku di Laut Sulu dan perairan lain di sekitar Borneo, menurut IMB yang berpejabat di Kuala Lumpur.

"Penculikan di Laut Sulu antara Malaysia Timur dan Filipina berada pada tahap yang membimbangkan," kata Pengarah IMB Pottengal Mukundan, organisasi yang telah memantau kegiatan lanun di dunia sejak 1991.

Sepuluh rakyat Malaysia diculik setakat 2016, dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) masih menahan enam daripada mereka, kerana dilaporkan mahu menuntut wang tebusan bagi pembebasan mangsa culik itu.

Susulan lawatan

Ramli berkata mesyuarat itu merupakan kesinambungan daripada lawatan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, November lepas yang bersetuju membenarkan pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia untuk terus mengejar militan Abu Sayyaf yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan walaupun mereka telah menyeberangi sempadan laut di Laut Sulu.

Najib, yang menjadi hos kepada Presiden baru Filipina semasa lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia pada 10 November lepas berkata, Duterte telah memberi kebenaran bagi kapal penguatkuasaan Malaysia untuk memasuki perairan negara itu ketika bertindak untuk menghalang penculikan.

"Saya gembira mengumumkan pertukaran nota antara kerajaan Malaysia dan Filipina yang telah ditandatangani dalam mewujudkan Rangka Kerjasama bagi menangani isu keselamatan, penculikan, pembayaran wang tebusan, serta isu-isu berkaitan yang berlaku di sepanjang perairan kedua-dua buah negara," kata Najib dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden negara itu.

Wakil-wakil dari Malaysia, Indonesia dan Filipina bertemu beberapa kali pada tahun lepas dalam usaha mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama keselamatan maritim termasuk rondaan bersama di perairan yang dikongsi bersama berikutan penculikan yang melibatkan Abu Sayyaf, yang juga bersekutu dengan IS.

Walaupun beberapa mesyuarat telah diadakan tetapi rondaan bersama masih belum bermula.

Kurang koordinasi

Penganalisa keselamatan Ahmad El-Muhammady berkata, berdasarkan kepada perkembangan baru yang muncul - ia kelihatan seperti terdapat kekurangan koordinasi antara agensi keselamatan kedua-dua negara.

"Penyelarasan adalah kejayaan utama dalam memerangi keganasan. Kegagalan utama 9/11 adalah disebabkan oleh kekurangan penyelarasan dan perkongsian maklumat antara agensi maklumat, "katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam menangani ancaman serantau yang ditimbulkan oleh militan Negara Islam, selepas laporan menyatakan bahawa pantai timur Sabah menjadi hab kepada aktiviti IS.

"Kami akan bekerjasama untuk memburu pengganas dan menghentikan ideologi IS di rantau ini," kata Zahid, menurut laporan akhbar The New Straits Times. "Dari segi operasi penguatkuasaan, kita tidak lagi akan bekerja secara individu, tetapi akan bekerjasama untuk tujuan itu."

Anis Natasha turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.