Bekas PM Muhyiddin Yassin bebas semua pertuduhan salahguna kuasa
2023.08.15
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Selasa telah melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dari beberapa pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan program bantuan COVID-19 ketika pandemik itu melanda dunia, semasa beliau menjawat jawatan tersebut.
Muhyiddin, yang pernah menerajui tampok kepimpinan kerajaan bermula Mac 2020 sehingga Ogos 2021, telah didakwa lima bulan lalu dengan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan bernilai RM232.5 juta (AS$50.5 juta).
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu adalah cacat, kabur serta tidak mencukupi bagi membolehkan Muhyiddin menyediakan pembelaan.
“Untuk mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah dan salah laksana keadilan, saya membenarkan permohonan yang dibuat pemohon (untuk empat pertuduhan tersebut) dibatalkan.
“Pemohon dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya
Bercakap di luar mahkamah selepas prosiding, Muhyiddin berkata pembatalan tersebut membuktikan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah bermotifkan politik selain daripada usaha mencemarkan reputasinya.
"Saya sebenarnya dari awal lagi telah merasakan pertuduhan itu bermotif politik. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun dari sudut undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ataupun undang-undang lain,” katanya.
Peguamnya Teh Poh Teik berkata ianya jelas bahawa proses tersebut telah dicabuli oleh pihak pendakwaan susulan tindakan yang terburu-buru.
“Keputusan tersebut adalah adil dan saksama kerana butiran pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin adalah sangat cacat dan samar-samar,” katanya.
Jabatan Peguam Negara bagaimanapun telah memfailkan rayuan terhadap keseluruhan keputusan pada petang Selasa.
Sementara itu, Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Bersatu dan pengerusi blok pembangkang Perikatan Nasional, masih berhadapan dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta (AS$42.3 juta) yang dikaitkan dengan program bantuan yang sama.
Kes pengubahan wang haram tersebut dijangka akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September, namun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan akan memohon penangguhan sehingga kes rayuan selesai.
Kesalahan pengubahan wang haram memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta (AS$1.08 juta), yang mana yang lebih tinggi.
Kes Jana Wibawa yang dikaitkan dengan tuduhan salahguna kuasa tersebut merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bagi membantu rakyat Malaysia yang majoritinya kaum Melayu untuk merangsang ekonomi negara akibat impak pandemik yang melanda negara itu.
Program tersebut bertujuan bagi mengukuhkan keupayaan kumpulan kontraktor Bumiputera atau Melayu dalam sektor pembinaan, menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dalam situasi semasa.
Walaubagaimanapun, tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya projek kerajaan bernilai berbilion ringgit yang diluluskan oleh Muhyiddin disemak semula termasuk program bantuan COVID-19. Beliau mendakwa bahawa Muhyiddin telah membelakangkan prosedur yang sepatutnya.
Susulan dari itu, sebuah kertas siasatan dibuka oleh SPRM bagi menyiasat dakwaan tersebut yang kemudiannya membawa kepada pertuduhan dan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu di mahkamah.
Muhyiddin adalah bekas perdana menteri Malaysia yang kedua didakwa atas pertuduhan bersabit kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun ini.
Pada Ogos tahun lepas, bekas Perdana Menteri Najib Razak telah dikenakan hukuman penjara 12 tahun berikutan skandal kewangan 1MDB, yang menumbangkan kerajaan pimpinannya empat tahun lalu.
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.