Sektor Perniagaan Malaysia Dibuka Mulai 4 Mei, kata Perdana Menteri

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.05.01
Kuala Lumpur, Malaysia
200501-MY-TSMY-Business1000.jpg Pegawai kesihatan Malaysia berpakaian khas dibawah teriknya matahari memulakan ujian saringan COVID-19 dari rumah ke rumah berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur, 29 April, 2020.
(S. Mahfuz/BeritBenar)

Malaysia akan membuka semula hampir semua sektor perniagaan mulai minggu depan walaupun masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada Jumaat, antara usaha negara itu untuk bangkit semula selepas kehilangan hampir AS$15 bilion akibat daripada pandemik koronavirus.

Dalam ucapannya kepada negara sempena sambutan Hari Pekerja, Muhyiddin tidak mengatakan sama ada telah menamatkan PKP yang akan berakhir pada 12 Mei tetapi memberitahu yang sekolah tetap ditutup, perhimpunan besar-besaran termasuk acara keagamaan dan sukan tidak dibenarkan termasuk perjalanan antara negeri semasa Aidilfitri masih lagi tidak dibenarkan di seluruh negara.

“Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19,” kata perdana menteri itu.

“Kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan  Prosidur Operasi Standard (SOP) kesihatan yang ketat,” kata Muhyiddin yang memetik nasihat dari Kementerian Kesihatan berdasarkan data dan amalan terbaik yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. “Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.”

Pada Jumaat, Malaysia melaporkan 69 kes baru positif COVID-19 dengan satu kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,071 kes dan 103 kematian.

Di seluruh dunia, lebih daripada 3.2 juta telah dijangkiti oleh COVID-19 dan hampir 234,000 telah meninggal dunia, menurut data yang dikumpulkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Muhyiddin berkata, Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion (AS$558 juta) setiap hari semasa MCO, sambil menambah bahawa kerugian terkumpul sudah berjumlah sekitar RM63 bilion (AS$14.6 bilion) sejak PKP diperkenalkan pada 18 Mac lepas.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan berdepan dengan kerugian tambahan sebanyak RM35 bilion (AS$8.1 bilion) menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion (AS$22.8 bilion),” kata beliau sebelum ini.

Pada akhir Mac, Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia dari 4.5 peratus menjadi -0.1 peratus, berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada 2019. Kali terakhir ekonomi Malaysia menguncup adalah pada tahun 2009.

Pada 23 April pula,  Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia melaporkan bahawa kehilangan pekerjaan boleh mencecah sehingga 2.4 juta, di mana dua pertiga atau 1.6 juta adalah pekerja tidak mahir.

Pengumuman Muhyiddin mendorong bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mempersoalkan adakah terlalu awal untuk membuka negara. Baru minggu lalu, Muhyiddin telah memanjangkan  PKP hingga 12 Mei dan memberi bayangan yang perintah itu akan dilanjutkan sehingga selepas perayaan Aidilfitri, yang ditetapkan pada 24 Mei.

“Kami tertanya, apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa ke-empat PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?” persoal Najib di status laman media sosial Facebooknya.

“Slow and steady… Sektor demi sektor… Secara beransur ansur. Tak perlu gelojoh sangat. Janganlah sekaligus… Nanti susah nak kawal,” kata Najib yang kini sedang berdepan dengan perbicaraan kes rasuah skandal kewangan berkaitkan dana negara 1MDB yang sekarang ini ditangguhkan disebabkan PKP.

‘Kita akan melihat’

Seorang doktor perubatan mengatakan bahawa beliau menyokong pengumuman Muhyiddin, kerana perancangan kerajaan untuk memula kembali aktiviti perniagaan mempunyai perlindungan kesihatan awam seperti jarak sosial, memakai topeng dan mencuci tangan.

"Selalunya ada kemungkinan - seperti susulan setelah berlakunya gempa bumi besar - tetapi saya rasa jika kita benar-benar mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kita bersedia sebenarnya untuk menangani lonjakan [coronavirus] berikutnya," Daud Sulaiman, seorang pakar kardiologi di Hospital KPJ Damansara, memberitahu BeritaBenar.

"Kita tetap harus waspada dan berdaya tahan kerana perang belum berakhir, tetapi hidup kita perlu diteruskan."

Razak Kechik, bekas pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur, juga memberi reaksi positif terhadap pengumuman itu.

"Itu ada kemungkinan, tetapi jarak sosial harus diperhatikan, perhimpunan besar-besaran perlu  dihindari dan pemakaian topeng muka wajib dilakukan," katanya kepada BeritaBenar.

Dari segi ekonomi, seorang pakar ekonomi Nazari Ismail dari Universiti Malaya mengatakan bahawa kerajaan telah mempertimbangkan kos ekonomi perintah berkurung dalam mengambil risiko untuk membuka semula perniagaan.

"Saya rasa kerajaan menyedari kos ekonomi terlalu tinggi. Banyak hotel ditutup misalnya, dan sementara data lengkap belum tersedia, kemungkinan besar banyak yang berdepan dengan muflis,” katanya kepada BeritaBenar.

"Oleh itu pengangguran akan meningkat, mungkin dalam jutaan dan cukai pendapatan cukai bagi kerajaan juga akan menurun. Syarikat yang mengalami kerugian tidak akan membayar cukai dan pendapatan dari cukai jualan akan turun kerana orang akan berhati-hati dengan perbelanjaan. "

Sementara itu, beberapa orang rakyat tempatan tidak bersetuju dengan pelonggaran larangan, mulai  Isnin.

Yoges Raman, 47, mengatakan bahawa beliau bergantung kepada perkhidmatan kereta api untuk pergi bekerja di Kuala Lumpur.

"Jelas bahawa menteri kerajaan tidak tahu bagaimana rasanya untuk pergi bekerja dengan menaiki keretapi, ia selalunya penuh sesak. Sekiranya mereka mengurangkan perkhidmatan  kereta api, maka kami memerlukan waktu berjam-jam untuk membolehkan kami menaikinya dan pergi bekerja. Saya tidak akan bekerja, ” kata Yoges kepada BeritaBenar.

Seorang kerani kedai Pomela Lian, 30, mengatakan bahawa beliau menandakan tarikh 18 Mei di kalendarnya untuk melihat berapa banyak kes positif  COVID-19 yang akan direkodkan pada masa itu.

"18 Mei adalah 14 hari selepas 4 Mei. Mereka mengatakan virus memerlukan masa yang lama untuk diinkubasi, jadi kita akan melihatnya," kata Lian.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Bonnie
Dec 08, 2020 10:23 AM

baik