Kerajaan Muhyiddin Ambil Langkah Kurangkan Kesan Ekonomi Susulan Penularan COVID-19

Nisha David
2020.03.03
Putrajaya, Malaysia
200303-MY-Muhyiddin-Office03-1000 (1).jpg Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan para pegawai kewangan dan hal ehwal ekonomi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia, 3 Mac 2020.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri baharu Malaysia Muhyiddin Yassin pada Selasa mengarahkan perbendaharaan dan pihak berkuasa hal ehwal ekonomi mempercepat pengeluaran pakej rangsangan ekonomi sebanyak $4.7 bilion manakala bank pusat negara itu memotong kadar faedah utamanya dalam langkah berganda bagi mengurangkan kesan penularan koronavirus.

Muhyiddin mengeluarkan arahan itu pada hari kedua beliau menyandang jawatan apabila pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa 36 kes COVID-19, nama rasmi virus tersebut, telah dicatat di Malaysia tanpa sebarang kematian yang dikaitkan dengan penyakit seperti selesema dan telah meragut lebih 3,100 nyawa di seluruh dunia.

“Perdana menteri telah mengarahkan jentera kerajaan agar memberikan perhatian serius dengan melaksanakan dan mempercepatkan pelaksanaan Bajet 2020 dan pakej rangsangan ekonomi,” menurut pejabat Muhyiddin dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat yang memfokus kepada “aktiviti-aktiviti memperkukuh ekonomi domestik.”

Malaysia, ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara, berkembang lebih pesat daripada jangkaan dalam suku pertama 2019, namun bank negaranya pada Selasa berkata bahawa pertumbuhan itu “akan terjejas” akibat penularan virus tersebut, kebanyakannya dadlam sektor pelancongan dan pembuatan.

Pengumuman Bank Negara Malaysia bahawa ia telah mengurangkan kadar faedah utamanya sebanyak 0.25 peratus mata kepada 2.5 peratus – tahap lebih sejak 2010 – berlaku selepas China dan Australia mengambil langkah serupa.

Kenyataan bank pusat itu menyebut bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut, yang diumumkan bekas perdana menteri Mahathir Mohammad minggu lepas, akan membantu meringankan kesan penularan virus itu yang mula-mula muncul di bandar Wuhan, China pada Disember.

Pada Selasa, para pegawai kesihatan global mengumumkan bahawa penularan koronavirus telah merebak dengan lebih meluas melangkaui Asia, yang menyaksikan peningkatan kluster penyakit itu di Iran, Itali dan Korea Selatan dengan jumlah kes melebihi 90,000 di 70 negara. Sejumlah 90,893 kes COVID-19 telah dilaporkan di seluruh dunia dengan 3,110 kematian, atau kira-kira 3.4 peratus, menurut WHO.

Malaysia menentang trend kemerosotan global dan mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus tahun lepas, namun Mahathir telah mengumumkan pakej rangsangan itu sebelum peletakan jawatannya ketika para pegawai bertungkus-lumus menangani kesan penularan virus itu terhadap ekonomi negara. Pakej itu termasuk langkah-langkah kewangan seperti bantuan tunai dan pengecualian cukai bagi membantu perniagaan kecil.

Muhyiddin, 72, telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Ahad selepas bertitah bahawa beliau adalah calon paling berkemungkinan meraih sokongan majoriti di parlimen susulan peletakan jawatan Mahathir. Bagaimanapun Mahathir telah mempertikaikan keputusan baginda dan mendakwa bahawa beliau telah memperoleh sokongan 114 wakil rakyat dalam parlimen yang mempunyai 222 ahli itu.

Perdana menteri baharu itu belum mendedahkan kepada umum jumlah ahli parlimen yang menyokong beliau, namun pada masa yang sama, menolak kritikan bahawa beliau telah mengkhianati negara apabila bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diselubungi skandal dan bekas pemimpinnya Najib Razak berdepan pelbagai pertuduhan jenayah berhubung penyelewengan puluhan juta dolar dana negara 1MDB.

Hari kedua Muhyiddin memegang jawatan menggambarkan keadaan normal selepas beberapa hari kemelut politik dan rundingan pintu belakang selepas kerajaan berorientasikan pembaharuan Mahathir tumbang minggu lepas.

Bagaimanapun polis pada Selasa mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat aktivis hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir, anak perempuan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, kerana disyaki terlibat dalam satu demonstrasi pro-demokrasi pada Ahad.

Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memaklumkan BeritaBenar bahawa pihak berkuasa telah memanggil beberapa individu untuk disoal siasat. Beliau berkata beliau tidak tahu jumlah yang telah disoal siasat namun mengenal pasti Marina sebagai antara mereka yang disiasat.

“Saya tidak dapat mengesahkan jumlah yang tepat namun beberapa orang seperti Marina Mahathir akan datang esok,” katanya.

Para pegawai dari kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata sejumlah 19 orang telah bersetuju memberikan kenyataan mereka berhubung beberapa siri protes minggu lepas, yang tidak mendapat kebenaran polis.

“Ya, senarai itu betul. Kami sedang menyediakan peguam,” kata Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif Suaram, kepada BeritaBenar, merujuk kepada senarai 19 orang itu, yang telah dikongs secara meluas di media sosial. Pihak berkuasa berkata lima daripada 19 orang itu disiasat kerana disyaki melakukan hasutan.

Kira-kira 200 orang menghadiri beberapa perhimpunan awam di Kuala Lumpur sepanjang minggu lepas bagi membantah kemelut politik yang melanda negara.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata siasatan polis boleh dianggap sebagai gangguan.

“Siasatan polis terhadap kebebasan menyuarakan pendapat berbeza mungkin terjumlah kepada satu bentuk gangguan, dan jika dibiarkan mungkin menimbulkan kesan mengerikan yang menyaksikan rakyat menapis diri sendiri atau menahan diri daripada sepenuhnya mengamalkan hak mereka kepada kebebasan bersuara kerana bimbang dengan ancaman sekatan undang-undang,” menurut Suhakam dalam satu kenyataan.


Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.