Malaysia: Negara Lindungi Jho Low Tidak Bekerjasama Untuk Hantar Pulang

Staf BeritaBenar
2019.11.04
Washington
191104-MY-JhoLow-960.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bersama Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin diberi penerangan semasa melawat Kompleks Kastam, Imigresen & Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor, 31 Okt, 2019.
[Ihsan Kementerian Dalam Negeri]

Tanpa menamakan China, Malaysia pada Isnin melahirkan rasa kesal mengenai kekurangan kerjasama dari negara di mana pembiaya kewangan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low bersembunyi.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata tanpa kerjasama adalah menjadi sesuatu yang sukar untuk tindakan diambil terhadap Low, yang merupakan individu penting dalam skandal rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malaysia dan Amerika Syarikat berkata sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diseleweng dari 1MDB oleh pembiaya kewangan itu, pegawai tinggi 1MDB dan rakan sekutu mereka.

“Walaupun ada sikit sebanyak maklumat yang kita dapat tahu di mana Jho Low berada, dan mendapat kerjasama dengan Interpol serta sudah naikkan ‘red flag’ (amaran), tetapi kalau tiada kerjasama negara berkenaan yang mana kita agak Jho Low ada di situ, jadi agak sukar nak ambil tindakan,” kata Muhyiddin seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama.

“Kita masih berusaha, tak boleh putus asa. Apapun kita nak dia dibawa ke Malaysia hadapi mahkamah dan serah kepada mahkamah tentukan,” tambah beliau tanpa mengenal pasti China.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu BeritaBenar dalam satu sesi temubual di New York pada 27 September lalu, bahawa Ketua Polis Malaysia, Abdul Hamid Bador ada menghubungi rakan sejawatannya di China untuk mengesan kedudukan sebenar ahli perniagaan itu yang dikatakan oleh sesetengah pihak sedang menyembunyikan diri di negara itu.

“Saya yakin Ketua Polis Negara akan menghubungi rakan sekerja di China untuk mendapatkan pengakuan, jikalau boleh, dan juga bukti yang beliau [Jho Low] berada di negara China,” kata Mahathir.

Perdana Menteri itu berkata demikian kepada BeritaBenar, sehari selepas Abdul Hamid memberitahu satu forum yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial di Malaysia bahawa pihak berkuasa negara itu telahpun mengenalpasti lokasi Jho Low dan berharap untuk membawa ahli perniagaan tersebut pulang menjelang akhir tahun ini, bagi membantu siasatan ke atas skandal berbilion dolar dana 1MDB.

Abdul Hamid tidak menamakan China. Beliau sebelum ini berkata polis Malaysia sedang bekerjasama dengan sebuah negara asia yang tidak dinamakan untuk menahan dan menghantar pulang Jho Low.

Muhyiddin berkata, Malaysia akan terus berusaha dan tidak boleh putus asa untuk membawa pulang pembiaya kewangan dalam buruan untuk dihadap ke muka pengadilan, menurut Bernama.

Ketua Polis Abdul Hamid, yang bercakap di negeri Sabah di Kepulauan Borneo, berkata negara-negara tertentu yang melindungi Jho Low sebagai "tidak bertanggungjawab".

Mereka juga enggan bekerjasama dengan Malaysia, menjadikannya sukar bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, katanya, menurut Bernama.

“… Beliau [Jho Low] seolah-olah kebal dengan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa negara itu… Pelbagai kaedah kita guna, tetapi pelbagai alasan diberikan sehingga ada menyatakan beliau telah melakukan pembedahan wajah,” katanya

1MDB ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disingkirkan dalam pilihanraya tahun lepas dimana skandal tersebut merupakan tema utama kempen pihak pembangkang. Najib berhadapan dengan 42 pertuduhan jenayah berkaitan kerugian yang dialami oleh 1MDB dan entiti kerajaan lain.

Pihak pendakwaraya menuduh Najib telah mengambil AS$681 juta dari 1MDB dan berkata wang itu telah digunakan untuk membiayai cara kehidupan yang mewah bekas pemimpin itu dan isterinya Rosmah Mansor, yang turut berdepan dengan pertuduhan rasuah. Kedua-dua Najib dan Low menafikan segala pertuduhan jenayah yang dilemparkan ke atas mereka.

Ketua Polis Negara terdahulu Mohamad Fuzi Harun tahun lepas dipetik sebagai berkata, polis Malaysia sudah menghantar satu pasukan ke Hong Kong untuk menjejaki Low tetapi tidak berjaya.

Pada Januari, Fuzi berkata pihak polis telah berjumpa dengan pihak berkuasa di China untuk menjejaki ahli perniagaan berstatus pelarian itu, menurut laporan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.