Indonesia, Malaysia Gesa Diadakan Mesyuarat Khas ASEAN Mengenai Rampasan Kuasa Di Myanmar

Perbezaan politik di negara itu perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang, kata Jakarta dan Kuala Lumpur.
Tia Asmara
Jakarta
2021-02-05
Share
Indonesia, Malaysia Gesa Diadakan Mesyuarat Khas ASEAN Mengenai Rampasan Kuasa Di Myanmar Presiden Indonesia Joko Widodo (dua dari kiri) dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan kehormatan di Istana Presiden di Jakarta, 5 Februari 2021.
[Edaran Istana Presiden Indonesia / AFP]

Pemimpin Indonesia dan Malaysia pada Jumaat menggesa supaya diadakan mesyuarat khas negara-negara Asia Tenggara untuk membincangkan mengenai rampasan kuasa tentera di Myanmar minggu ini, dengan kedua-duanya berpendapat bahawa ia adalah masalah yang membimbangkan rantau itu.

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata mereka telah mengarahkan menteri luar masing-masing untuk berbincang dengan pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya diadakan mesyuarat diplomat tertinggi blok itu. Kenyataan bersama mereka adalah yang paling lantang daripada pemimpin kerajaan ASEAN setakat ini mengenai situasi yang berlaku di Myanmar.

"Kami bimbang dengan perkembangan politik di Myanmar dan kami berharap perbezaan politik dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang yang ada," kata kedua-dua pemimpin itu selepas mereka mengadakan pertemuan di Jakarta, di mana Muhyiddin melakukan lawatan pertamanya ke negara jiran itu sebagai perdana menteri sejak kerajaan pimpinannya, yang bukan dipilih menerusi pilihan raya, menerajui pemerintahan hampir setahun yang lalu.

"Kami telah meminta Menteri Luar kami untuk berbincang dengan Pengerusi ASEAN mengenai kemungkinan mengadakan mesyuarat khas menteri luar ASEAN mengenai perkembangan yang berlaku di Myanmar."

Brunei merupakan pengerusi blok serantau itu yang dianggotai oleh 10 negara ASEAN termasuk Myanmar.

Muhyiddin berkata keadaan yang berlaku di Myanmar memerlukan mesyuarat khas ASEAN itu diadakan.

"Sehubungan dengan itu, saya amat bersetuju dengan cadangan agar kedua-dua Menteri Luar kami diberi mandat untuk mencari kesepakatan supaya mesyuarat khusus ASEAN dapat diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam," kata perdana menteri Malaysia itu dalam sidang berita bersama Jokowi selepas pertemuan mereka.

Pada 1 Februari, panglima tentera Myanmar merampas kuasa kerajaan yang dipilih rakyat dengan menangkap pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi serta pemimpin lain. Tentera kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun bagi menangani dakwaan berlakunya penipuan undi yang berkaitan dengan pilihan raya umum yang dimenangi oleh parti Suu Kyi pada November.

Gesaan supaya diadakan mesyuarat khas ASEAN adalah luar biasa kerana satu daripada prinsip asas ASEAN adalah tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara anggota blok itu.

Namun, Muhyiddin, yang mengadakan kunjungan 24 jam ke Indonesia, dengan jelas menyatakan pada Jumaat bahawa proses demokrasi di Myanmar telah merosot dan ini boleh menjejaskan seluruh Asia Tenggara.

Kerajaannya menerajui Malaysia yang diisytiharkan darurat pada bulan lalu berikutan pandemik COVID-19.

"Seperti Indonesia, Malaysia juga memandang serius situasi politik semasa Myanmar, yang merupakan satu langkah ke belakang dalam proses demokrasi di negara itu," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan yang dibacanya pada sidang media bersama tersebut.

"Adalah dikhuatiri pergolakan politik di Myanmar boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini."

Muhyiddin tidak menjelaskan bagaimana situasi Myanmar boleh menjejaskan Asia Tenggara tetapi penganalisis politik dan sebuah persatuan Ahli Parlimen ASEAN menyatakan awal minggu ini bahawa rampasan kuasa itu boleh menyebabkan kebanjiran pelarian dari Myanmar, yang menindas masyarakat Rohingya di negaranya.

Pertikaian politik di sesebuah negara perlulah diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan bukannya secara paksaan, kata Jokowi.

"Adalah penting bagi kita untuk menghormati prinsip-prinsip yang termaktub dalam piagam ASEAN termasuk kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, demokrasi dan hak asasi manusia serta kerajaan berperlembagaan," kata Jokowi.

Malaysia, Indonesia 'mempunyai kedudukan berpengaruh' di ASEAN

Penganalisis politik di rantau ini menyambut baik usaha bersama Malaysia dan Indonesia berhubung situasi di Myanmar.

Cecep Hidayat, pakar mengenai Malaysia di Universitas Indonesia, berkata Jakarta dan Kuala Lumpur dapat memainkan peranan aktif sebagai pemimpin rantau ini berhubung masalah itu.

"Jika masalah Myanmar tidak ditangani dengan betul, ia akan memberi kesan besar kepada rantau ini," kata Cecep kepada BeritaBenar.

"Tidak melakukan apa-apa boleh menjejaskan keyakinan antarabangsa terhadap ASEAN akibat daripada ketidakmampuan mewujudkan keamanan serantau."

Adalah amat penting bagi Malaysia dan Indonesia untuk mengambil tindakan kerana beberapa negara anggota ASEAN menggambarkan rampasan kuasa di Myanmar sebagai "masalah dalaman," kata Azmi Hassan, seorang penganalisis politik di Malaysia.

Beliau berkata negara-negara yang tidak mahu mengulas mengenai situasi Myanmar bimbang kemungkinan hubungan mereka terjejas dengan Beijing.

"Masalahnya ialah apa yang terjadi sejak beberapa hari lalu adalah sebilangan anggota ASEAN sependapat dengan China dalam menyatakan bahawa ia adalah masalah dalaman negara itu," kata Azmi kepada BeritaBenar.

"Oleh itu, saya berpendapat adalah amat penting bagi Malaysia dan Indonesia, yang mempunyai kedudukan yang sangat berpengaruh di ASEAN, untuk menggerakkan atau bagi saya memaksa Brunei sebagai pengerusi untuk mengadakan mesyuarat khas mengenai Myanmar."

Kemboja, Thailand dan, pada awalnya, Filipina - ketiga-tiganya mempunyai sejarah rampasan kuasa – memilih untuk menganggap perkara itu sebagai "masalah dalaman".

Indonesia, Malaysia dan Singapura menyuarakan rasa amat bimbang dengan situasi di Myanmar dan kesultanan Brunei mendesak supaya dikembalikan keadaan normal yang "bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan" rakyat Myanmar.

Manila kemudian merubah nada dan menyuarakan kebimbangannya mengenai rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Azmi juga berkata bahawa nasib etnik minoriti Rohingya Myanmar di negeri Rakhine perlu menjadi pendorong dalam menangani kemerosotan demokrasi di Myanmar.

"Malaysia dan Indonesia adalah destinasi sasaran [bagi etnik Rohingya] jika keadaan semakin buruk di Rakhine, yang [mereka] mungkin lakukan, kerana komunikasi dengan dunia luar dari Myanmar adalah pada tahap yang amat minimum," katanya.

'Amat bimbang'

Sementara itu, perwakilan Singapura dan Thailand dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menyertai rakan sejawatan mereka di Malaysia dan Indonesia pada Jumaat dalam menyelar rampasan kuasa tentera di Myanmar sebagai "pemindahan kuasa kepada tentera."

"Kami mengikuti peristiwa yang berlaku di Myanmar yang membawa kepada pengisytiharan darurat dan pemindahan kuasa kepada tentera selepas pilihan raya umum pada 8 November 2020," kata empat perwakilan negara AICHR itu dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menyuarakan rasa "amat bimbang" dan mendesak Myanmar supaya menyelesaikan semua pertikaian politik di negara itu mengikut undang-undang.

"Kami berharap ia akan membawa hasil yang demokratik dan aman sejajar dengan kehendak dan kepentingan rakyat di Myanmar," menurut kenyataan mereka.

‘Diskriminasi’ minyak sawit

Selain Myanmar, Jokowi dan Muhyiddin juga membincangkan beberapa perkara yang mempunyai kepentingan dua hala.

Mereka sepakat bahawa negara-negara mereka akan bersama-sama memerangi apa yang disebut sebagai "kempen negatif" terhadap minyak sawit di Eropah dan negara-negara lain.

Indonesia dan Malaysia membekalkan kira-kira 85 peratus minyak sawit dunia, dan ladang-ladang di kedua-dua negara itu menghadapi kecaman kerana didakwa melanggar peraturan buruh.

Muhyiddin berkata negara-negara Kesatuan Eropah, Australia dan Oceania melakukan "diskriminasi" terhadap minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia.

"Kempen anti kelapa sawit ini adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan kelestarian industri sawit dunia selain bertentangan dengan komitmen EU terhadap WTO mengenai amalan perdagangan bebas," katanya yang merujuk kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia berhubung isu ini dan akan memperkasakan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit, kata pemimpin Malaysia itu.

"Ini untuk memastikan kita dapat melindungi industri sawit, terutamanya bagi menyelamatkan pekebun-pekebun kecil yang bergantung hidup sepenuhnya kepada industri sawit di Malaysia dan Indonesia," kata Muhyiddin.

Jokowi berkata kempen bersama-sama dengan Malaysia akan lebih berkesan dalam menangani masalah itu.

"Indonesia akan terus memerangi diskriminasi terhadap minyak sawit dan usaha ini akan memberikan hasil yang lebih baik jika dilakukan bersama-sama."

Persatuan Minyak Sawit Malaysia sering menyalahkan pesaing minyak sawit seperti pengeluar canola dan rapeseed serta "kekuatan kewangan" mereka dalam melakukan "serangan berterusan terhadap industri itu walaupun pada hakikatnya ladang kelapa sawit dikendalikan dengan lebih lestari pada masa ini."

Jokowi juga berkata bahawa beliau berharap adanya satu perjanjian baru yang dapat melindungi pekerja Indonesia di Malaysia.

Ratusan ribu rakyat Indonesia bekerja di Malaysia dengan kebanyakan daripada mereka memasuki negara jiran itu secara haram dan bekerja sebagai buruh.

"Kedua-dua negara juga perlu membangunkan sistem satu saluran bagi membolehkan pengambilan pekerja dapat dilakukan dengan lebih baik untuk mencegah pekerja menjadi mangsa pemerdagangan manusia," kata Jokowi.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh