PM Malaysia Dapat Rating Tinggi, Rakyat Puas Hati Cara Tangani COVID-19
2020.09.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Muhyiddin Yassin menerima dapatan sebanyak 69 peratus dalam kaji selidik pertama oleh sebuah firma bebas, Merdeka Center yang dibuat keatas Perdana Menteri itu, sejak memegang tampuk pemerintahan Putrajaya, enam bulan lepas, dengan rakyat Malaysia berpuas hati terhadap prestasi serta cara pengendalian ekonomi semasa wabak COVID-19, termasuk peningkatan perwakilan etnik Melayu dalam kerajaan.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata kajiselidik melalui responden yang dipilih daripada seramai 3,415 pengundi berdaftar daripada pelbagai latarbelakang, umur, etnik dan negeri itu yang dibuat mulai 15 Julai lepas, menggambarkan kecenderungan dikalangan pengundi Melayu terhadap pemerintahan Muhyiddin.
“Kajian dijalankan Merdeka Center mendapati 69 peratus pengundi Malaysia berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dalam pungutan suara yang tamat pada 10 Ogos, 2020,
“Menurut kajian daripada beberapa perbezaan etnik yang ketara, sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memuji Muhyiddin manakala 65 peratus orang India dan 33 peratus orang Cina turut berpuas hati dengan Muhyiddin,” demikian kata Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan firma tersebut di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata, pesponden daripada 3,415 pengundi berdaftar yang dijalankan melalui panggilan telefon itu memberikan penarafan baik kepada perdana menteri untuk terus berada dalam lingkungan selesa dan positif dengan mengambil kira tempoh memegang jawatan itu sejak Mac 2020.
“Dari pandangan kami, peningkatan sokongan pengundi Melayu adalah disebalik pengurusan positif pandemik COVID-19, respon pantas dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan perniagaan yang terkesan dan juga perasaan puas hati apabila melihat parti-parti politik Melayu bergabung dalam satu pakatan setelah berdekad bertanding antara satu sama lain.
“Hasil kajiselidik juga menunjukkan pengundi Melayu menyokong pakatan politik Melayu. Contohnya sebahagian besar menyokong Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional bercanggah dengan pandangan yang dikemukakan oleh pemimpin dalam parti pembangkang,” menurut Ibrahim lagi.
Selain Muhyiddin secara peribadi, kerajaan persekutuan pimpinannya mendapat penerimaan positif daripada 58 peratus pengundi berbanding 28 peratus yang tidak berpuashati dan marah.
Menurut Merdeka Centre, jurang antara mereka yang setuju dan tidak bersetuju dengan kerajaan persekutuan ini didapati berkait dengan kadar pendapatan responden di mana mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 (AS$482) sebulan lebih cenderung untuk bersikap positif manakala cuma 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan lebih RM7,000 (AS$1,688) sebulan memberi reaksi yang sama.
“Pada masa yang sama, 51 peratus dari responden merasakan bahawa negara berada di atas landasan yang betul. Jumlah ini rendah sedikit berbanding Mei tahun ini tetapi lebih tinggi berbanding enam bulan terdahulu.
“Di antara Julai 2019 dan Feb. 2020, hanya suku rakyat Malaysia yang berpendapat negara berada di atas landasan yang betul,” kata Ibrahim.
Malaysia mengalami perubahan tampuk pimpinan berikutan krisis politik yang terjadi akibat perletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang berusia 22 bulan pada akhir Februari.
Atas sokongan parti dua parti Melayu Islam terbesar negara- Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama-sama parti dari Sabah dan Sarawak, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Mahathir dengan mendapat persetujuan Yang Di-Pertuan Agong pada 1 Mac.
Melayu gembira
Mengulas penemuan laporan tersebut, pakar politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata reaksi responden Cina terhadap Muhyiddin tidak mengejutkan jika diambilkira episod kejatuhan kerajaan PH pada penghujung Februari lalu dan pembentukkan Perikatan Nasional (PN).
“Sebaik mana pun prestasi kerajaan PN, mereka dibelenggu ideologi politik mereka dengan kejatuhan kerajaan PH masih dalam ingatan oleh responden yang melihat kerajaan Muhyiddin adalah kerajaan ‘pintu belakang’,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Sebaliknya Azmi terkejut dengan laporan bahawa 90 peratus responden Melayu menerima baik pentadbiran Perdana Menteri dan menyifatkan jumlah itu sangat tinggi.
“Mengambilkira kerjasama Perdana Menteri dengan PAS dan UMNO, jelas kenapa kita mendapati jumlah tersebut,” tambah beliau.
Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs juga berpendapat ramai pengundi Melayu benar-benar gembira dengan persepsi bahawa ‘kuasa’ kini kembali ke tangan mereka setelah terbentuknya kerajaan PN.
“Majoriti orang Melayu tidak mengundi Pakatan Harapan pada pilihanraya umum lepas dan Mahathir gagal menarik majoriti mereka untuk bersama-sama,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Beliau turut berkata bahawa dengan kejayaan Muhyiddin menangani wabak COVID-19 dengan membiarkan ia dilakukan oleh gologan pakar juga antara faktor lain yang membantu.
“Tindakan Muhyiddin melepaskan tugas-tugas melawan wabak kepada golongan teknokrat juga jelas berkesan di mana mereka tidak dilihat melakukan kesilapan berbanding ahli politik yang tidak pakar dalam perkara tersebut,” jelas Oh.
Sebanyak 93 peratus daripada 3,415 responden yang terlibat dalam kajiselidik menyatakan kepuasanhati dengan cara kerajaan menangani penyebaran pandemik COVID-19.
“Selain itu, 68 dan 61 peratus responden masing-masing bersetuju kerajaan telah membantu mereka yang memerlukan dan menguruskan ekonomi dengan baik,” kata Ibrahim.
Walau bagaimanapun, persepsi prestasi kerajaan dalam melawan korupsi jatuh 5 peratus dalam tempoh tiga bulan dari 43 ke 38 peratus.
Selain itu, kajiselidik juga mendapati kos sara hidup kekal menjadi isu utama dalam minda rakyat dengan 60 peratus responden melaporkan kegusaran mengenai ekonomi, diikuti kerisauan tentang pandemik COVID-19 oleh 10.1 peratus responden.
“Masing-masing cuma 3.5 dan 2.6 peratus merasakan perhubungan antara kaum dan isu politik menjadi masalah utama negara,” tambah beliau.