Program B4G Beri Peluang Pendatang Tanpa Izin Pulang Secara Sukarela

Radzi Razak & Ali Nufael
2019.07.18
Putrajaya, Malaysia
190718-MY-Muhyiddin-PATI1000.JPG Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semasa sidang media memperkenalkan program pengampunan B4G bagi pendatang asing tanpa izin di Putrajaya, 19 Julai, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia melancarkan program B4G [Back for Good] yang memberi peluang kepada pendatang asing yang melanggar Akta Imigresen untuk pulang ke negara asal secara sukarela, dengan amaran jika ingkar akan diburu melalui operasi penguatkuasan khas sebaik sahaja tamat tempoh 'pengampunan' selama empat bulan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, program yang akan bermula pada 1 Ogos dan berakhir pada 31 Disember itu melibatkan pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) seperti tinggal lebih masa, masuk secara haram dan merupakan program pengampunan terakhir yang dibuat oleh kerajaan.

“Program ini mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara… dan tujuan utama dibuat adalah untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin yang ramai bilangannya di Malaysia. Saya sendiri tidak tahu bilangan sebenar dan sebab itu kita buat operasi bersepadu khas pada masa lalu,” kata Muhyiddin di Putrajaya pada Khamis.

Program yang dilancarkan oleh Putrajaya itu hadir beberapa hari selepas seorang pelajar Nigeria yang sedang mengikuti pengajian doktor falsafah [PhD] di Universiti Lim Kok Wing meninggal dunia dalam tahanan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil, selepas ditangkap dalam satu serbuan di Kepong, berdekatan Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu.

Laporan menyatakan Thomas ditahan kerana didakwa berkelakuan mencurigakan, dan pelajar yang mati selepas terkena sawan itu mempunyai pas pelajar yang sah dan dibawa bersama beliau.

Susulan daripada itu, Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud tampil menyangkal dakwaan berlakunya salah laku di pusat tahanan imigresen tersebut sehingga menyebabkan kematian pelajar Nigeria itu.

Mengulas lanjut mengenai program B4G, Menteri itu berkata, ia hanya tertakluk kepada Semenanjung Malaysia dan tidak melibatkan pihak ketiga sama ada vendor atau ejen.

“Saya menyeru kepada semua warga asing supaya mengambil kesempatan program ini untuk balik ke negara asal atau mereka boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang jika masih berdegil.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan secara agresif bagi memburu pendatang asing tanpa izin atau mana-mana yang bersekongkol,” tegas beliau.

Menteri berkenaan juga memberitahu mereka yang mahu menyertai program B4G, akan dikenakan bayaran kompaun sebanyak RM700 (AS$170) setiap seorang dengan perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah (pasport dan sijil perjalanan kecemasan), tiket untuk pulang ke negara asal untuk tempoh laku bagi tujuh hari.

Pendatang asing tanpa izin yang berdegil dan berjaya ditangkap akan dikenakan denda tidak kurang dari RM5,000 (AS$1,215) dan tidak melebihi RM10,000(AS$2,431) serta boleh di penjara tidak melebihi 12 bulan jika disabitkan kesalahan, menurut beliau.

Sehubungan itu, tambah beliau, Jabatan Imigresen akan membuka sebanyak 80 kaunter seluruh semenanjung bagi mereka yang mahu mengikut program tersebut membayar kompaun.

Satu sesi taklimat kepada Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi asing telah diadakan minggu lalu, dalam usaha memastikan pihak berkenaan dapat mengeluarkan dokumen perjalanan kepada rakyat negara mereka yang mahu mengambil peluang program pengampunan tersebut.

“Pihak Kedutaan asing di Malaysia diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing,” tambah Muhyiddin.

Beliau berkata warga asing yang menyertai program itu perlu meninggalkan negara dalam tempoh tujuh hari selepas diberikan kelulusan oleh pihak Imigresen untuk berbuat demikian.

"Selepas sahaja tempoh tamat (31 Disember 2019) dan sebaik sahaja memasuki tahun 2020, Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi secara besar-besaran bagi membenteras pendatang tanpa izin,” kata beliau.

Beliau turut memberikan amaran kepada majikan atau mereka yang melindungi pendatang tanpa izin bahawa kerajaan tidak akan lagi berlembut dalam perkara ini.

"Saya juga ingin ingatkan sekiranya lepas sahaja tempoh itu (31 Disember 2019) masih ada majikan yang melindungi dan mengambil pekerja asing, maka tindakan tegas akan turut dibuat terhadap mereka kerana melanggar undang-undang.

"Ini kerana, kerajaan tidak akan berkompromi dan bukti ketegasan kerajaan dalam mengatasi kemasukan pendatang asing secara haram di negara ini," tegasnya lagi.

Mengenai jumlah anggaran jumlah pendatang yang akan menyertai program B4G itu, Muhyiddin tidak dapat memberikan satu angka yang tetap sambil berkata "Kita tidak pasti jumlah sebenar PATI yang ada di negara ini tetapi kita harap 300,000 hingga 400,000 daripada mereka akan mengambil peluang daripada kesempatan yang diberikan ini,"

Beliau turut berkata warga asing yang menyertai program ini akan turut disenarai hitam bagi mengelak mereka daripada masuk semula ke dalam negara.

Sementara itu, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi daripada Rohingya European Council memberitahu BeritaBenar bahawa kemasukan dan penghantaran pulang pekerja asing tanpa izin tidak akan selesai selagi sindiket pemerdagangan manusia masih lagi bebas.

"Kemasukkan warga asing ini adalah satu bentuk pusingan. Kali ini mereka masuk lain kali mereka keluar dan akan masuk semula kerana ada sindiket yang ‘memangsakan’ mereka ini,” kata Tengku Emma.

Sejak program pengampunan dimulakan pada tahun 2014 sehingga Ogos 2018, seramai  840,000 pendatang asing tanpa izin telah dihantar pulang dengan kerajaan berjaya memperolehi kira-kira RM400 juta (AS$97.2 juta) dari hasil kompaun sebanyak RM300 (AS$72.94) dan RM100(AS$24.31) untuk pas pulang ke negara asal berjaya dikutip terhadap setiap mereka.

Sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen Malaysia telah menghantar seramai 46,000 pendatang asing pulang ke negara asal, ikuti enam bulan pertama tahun ini seramai 26,116 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.