Malaysia Umum Pakej ‘Prihatin’ RM250 bilion Bantu Rakyat Hadapi Impak COVID-19

Hadi Azmi & Nisha David
2020.03.27
Kuala Lumpur, Malaysia
200327-MY-PKP-Pasar1000.jpg Seorang anggota polis dengan menggunakan pembesar suara mengarahkan orang ramai supaya mengikut peraturan menjarak diri masing-masing sejauh semeter, serta memakai topeng muka sebelum memasuki Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur, 27 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat mengumumkan pakej stimulus ekonomi kedua yang berorientasikan kebajikan rakyat yang keseluruhannya bernilai RM250 bilion(AS$57.5 bilion) bagi membantu mengurangkan impak COVID-19 ketika negara itu berada pada minggu kedua dari empat minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanankan Putrajaya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tampil sekali lagi menerusi siaran secara langsung di stesen-stesen televisyen dan media sosial memaklumkan rakyat mengenai pakej stimulus membantu rakyat, usahawan kecil dan sederhana serta perniagaan yang kini sedang berdepan dengan wabak COVID-19 bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia.

“Seperti  yang saya janjikan, hari ini saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion (AS$29.6 bilion) yang akan memberi manfaat kepada anda semua.

“Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion (AS$23.1 bilion) untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Manakala sebanyak RM20 bilion (AS$460 juta) telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini,

“Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua…...  Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej  rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini, kata Muhyiddin sambil memberi jamian ‘tiada golongan yang akan tercicir. ‘No one will be left behind’,

Walaupun pengumuman mengenai pakej itu disifatkan sebagai satu pakej baharu, ia sebenarnya adalah kesinambungan dan kumulatif dari dua pengumuman yang dibuat Muhyiddin pada 16 dan 23 Mac lalu.

Selain itu, ia juga termasuk dengan pengumuman yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Februari lepas, yang berjumlah RM20 bilion di mana jangkitan kes COVID-19 pada waktu itu sangat rendah dan tiada kematian yang laporkan.

Putrajaya telah melaksanakan PKP pada 18 Mac lepas untuk tempoh dua minggu dan berakhir pada 31 Mac, tetapi melanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 14 April disebabkan masih ramai yang tidak mengikut arahan kerajaan itu.

Selain polis, angkatan tentera turut terlibat dalam penguatkuasaan perintah berkenaan dan sehingga Jumaat seramai 133 orang di seluruh negara telah ditahan kerana melanggari PKP.

"Keadaan yang kita hadapi sekarang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, dan kerajaan ini bukanlah kerajaan yang anda pilih. Tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini mengambil berat tentang anda. Saya menerima hakikat bahawa saya dilantik sebagai Perdana Menteri anda bukan pada masa yang terbaik. Saya menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan pada masa yang sama, " kata Muhyiddin, merujuk kepada krisis politik yang membawanya ke tampuk pemerintahan negara hanya sebulan lalu ketika wabak COVID-19 melanda Malaysia.

Penyelesaian jangka pendek

Ahli ekonomi bagaimanapun menerangkan pakej bantuan tunai dan beberapa insentif lain yang diperkenalkan kerajaan adala sebagai penyelesaian jangka pendek kerana Putrajaya berada dalam tekanan luar biasa untuk membantu rakyat dan syarikat yang dalam kesulitan semasa krisis tersebut.

Ahli Ekonomi Bank Negara, Ikmal Nordin berkata bahawa contoh yang diberikan oleh Perdana Menteri masih gagal menerangkan isi rumah seluruh negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada kes khusus.

"Apa yang kita bimbangkan adalah orang yang paling lemah, sebagai contoh, suami kehilangan pekerjaan mereka, tidak berada dalam ekonomi stabil, dan suami dan isteri bekerja sendiri dengan tidak melabur di mana-mana skim," kata Ikmal kepada BeritaBenar.

Beliau menambah bahawa kebimbangan ini akan lebih mendesak jika kesan COVID-19 terus berlanjutan melepasi Mei, atau ekonomi meleset.

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Nazari Ismail pula berkata bahawa kerajaan berada dalam keadaan tertekan kerana lanjutan PKP.

"Jika kerajaan tidak menyediakan skim yang dapat membantu rakyat, mereka pasti akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Kerajaan juga sudah berhutang lebih RM1 trilion (AS$230 bilion), dan adalah menjadi satu cabaran dalam penghasilan pakej tersebut,” kata Nazari.

Yang utama, kata Nazari, pelan yang diumumkan oleh kerajaan tidak akan mengurangkan jumlah hutang negara membuatkan pembentangan bajet tahun hadapan akan menjadi sangat menarik.

“Ini kerana perbelanjaan adalah sama manakala pendapatan negara dijangka menurun. Jadi semestinya akan menjadi bajet defisit sekali lagi, maknanya akan berlaku penambahan hutang negara. Bagi mengurangkan defisit, antara langkah yang boleh diambil kerajaan ialah menaikkan kadar cukai pendapatan,” katanya kepada BeritaBenar.

Tiga kematian

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata 130 kes terbaharu jangkitan COVID-19 direkodkan pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,162 kes dengan penambahan tiga kematian, sekaligus mencatatkan 26 kes kematian akibat wabak itu di Malaysia.

Beliau juga memberitahu yang Malaysia adalah antara negara yang dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan penyelidikan penggunaan ubat Remdesivir bagi pesakit COVID-19.

"Antara sebab yang kita dipilih adalah kerana kita telah dikenal pasti sebagai negara yang mempunyai sistem kesihatan penyelidikan yang baik dan WHO memilih KKM untuk melaksanakan penyelidikan secara bersama.

"Penyelidikan ini akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital-hospital yang mengendalikan pesakit COVID-19, yang KKM akan memberi rawatan kepada pesakit menggunakan ubat yang terbaru (Remdesivir) dengan  KKM akan memantau kesan sampingan, kemujaraban ubat ini dan sebagainya," tambahnya lagi.

Pada Jumaat juga, pihak berkuasa kesihatan Thailand memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 49 tahun dari Narathiwat yang menyertaikan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, di Kuala Lumpur pada hujung Februari lalu telah meninggal dunia di hospital Sungai Kolok, di wilayah itu akibat jangkitan wabak tersebut.

Goseng Awaekeuji, dari  Sungai Kolok, adalah antara 132 jemaah tabligh dari Thailand yang pertama meninggal dunia selepas menghadiri perhimpunan yang dihadiri lebih 16,000 peserta di Kuala Lumpur itu.

Menurut pihak berkuasa Thailand, Goseng kembali ke Narathiwat pada 2 Mac, dan mula mengalami selesema beberapa hari kemudiaan yang seterusnya membawa beliau untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Sungai Kolok dan ditahan di hospital tersebut tiga hari kemudian.

"Berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan Awam bahawa perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, pasukan kesihatan membawa Goseng semula ke hospital dan pemeriksaan yang dijalankan mendapat lelaki tersebut positif koronavirus. Beberapa hari berada di hospital, beliau mula memberi reaksi semakin tenat pada 23 Mac dan  meninggal dunia hari ini," kata seorang doktor dari hospital itu pada satu sidang media.

Dalam pada itui, Kumpulan pemberontak utama selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) pada Jumaat turut memuatnaik rakaman video di laman media sosial Youtube yang antara lain mengajak serta menyeru seluruh bangsa Patani menjaga kebersihan dan kesihatan serta bekerjasama menghindari sebab yang boleh merebaknya jangkitan wabak COVID-19.

“Dan kami BRN mengimbau kepada seluruh rakyat Patani bermuafakatlah demi nasib kita masing-masing di setiap kampung atau mukim dalam mengaturcara bersama pemimpin ulama dan pakar kesihatan yang ada.

“Jangan menunggu-nunggu kebijaksanaan daripada kerajaan atau mana-mana pihak kerana semakin hari jumlah jangkitan wabak merebak luas,”

Video BRN itu menampilkan seorang jurucakap yang menyampaikan pesanan itu dalam Bahasa Melayu. Lelaki yang sama juga pernah memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Karim Khalib dalam video-video yang dikeluarkan oleh kumpulan itu sejak 2013.

Noah Lee di Kuala Lumpur dan Matahari Ismail di Narathiwat turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.