Menteri UMNO Nyata Persetujuan Kekal Dalam Kerajaan, kata Perdana Menteri

Muhyiddin Yassin juga mendapat jaminan kerjasama hadapi pilihan raya umum dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Ray Sherman & S. Adie Zul
2021.03.31
Kuala Lumpur
Menteri UMNO Nyata Persetujuan Kekal Dalam Kerajaan, kata Perdana Menteri Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, Malaysia, 31 Mac 2021.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri kini boleh menarik nafas lega selepas menteri-menteri daripada UMNO, parti gabungan utama dalam kerajaan Perikatan Nasional menyatakan persetujuan tidak keluar dari Kabinet dengan sebuah lagi parti, PAS telah memberi jamiman untuk terus bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin dan partinya menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri pada Rabu dalam satu kenyataan media telah memberitahu yang kesemua sembilan menteri dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), telah menyatakan persetujuan untuk kekal dalam Kabinet sehingga isu pandemik COVID-19 reda.

Pengumunan itu hadir selepas Perdana Menteri mengadakan pertempuan dengan kesemua Ahli Parlimen UMNO pada Isnin, sehari selepas pemimpin-pemimpin kanan parti terbesar dalam blok perikatan pemerintah mengumumkan mahu menarik diri daripada kerajaan sebelum pilihan raya umum diadakan.

"Para menteri dari UMNO telah bertemu dengan saya pada Isnin dan meminta pandangan saya mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet susulan yang diambil pada Perhimpunan Agung UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15.

"Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. Pada masa ini tumpuan kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan kepada pihak media pada Rabu.

"Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal di dalam kabinet," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan Putrajaya pada Rabu.

Beliau berkata beberapa orang menteri dari UMNO memegang potfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa kini, justeru ujarnya perletakan jawatan mereka dari kabinet menjejaskan semua perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Muhyiddin, yang tidak dilantik menerusi proses pilihan raya, memberi jaminan yang kabinetnya akan terus berfungsi seperti biasa dan semua inisiatif kerajaan akan dilaksanakan seperti dirancang.

Bagaimanapun sehingga lewat Rabu, pemimpin kanan UMNO tidak memberi sebarang reaksi kepada kenyataan Muhyiddin itu.

Menteri Kesihatan Adham Baba seorang Ahli Parlimen UMNO semasa ditanya oleh media berkata kebanyakkan mereka (menteri UMNO) hanya mahu memberi fokus kepada tanggungjawab yang diamanahkan sebagai menteri.

Beliau turut memberi contoh seperti Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang telah diberikan tanggungjawab menguruskan isu berkaitan keselamatan dan kawalan sempadan semasa pandemik.

"Kita masih bersama (dalam kabinet) untuk menggalas tanggungjawab khususnya menguruskan isu-isu keselamatan macam saya sebagai Menteri Kesihatan menguruskan kes-kes menangani COVID-19 dan juga pengurusan kesihatan.

“Demikian juga dengan Khairy Jamaluddin yang dipertanggungjawabkan menguruskan program vaksinasi, dan menteri-menteri lain dalam kabinet. Kami mahu memberi tumpuan kepada menjalankan amanah yang diberikan kepada kami," katanya menjawab soalan media selepas satu majlis rasmi di Putrajaya pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata tidak timbul isu meletakkan jawatan kerana resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO ke-75 baru-baru ini tidak menyebut tentang menteri-menteri daripada parti itu perlu meletak jawatan dengan serta-merta.

"Pertama sekali saya ingin menjelaskan apa yang telah berlaku. Dalam usul yang telah diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO, tidak disebut sama sekali mengenai menteri-menteri perlu melepaskan jawatan serta-merta. Kedua, menteri-menteri komited dengan tugasan
masing-masing dan terlibat dalam banyak program untuk rakyat.

"Kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada soal kebajikan dan keperluan rakyat, jadi jika kami mengabaikan tanggungjawab kami, ia akan memberi imej yang buruk kepada parti.

“Rakyat akan berkata menteri-menteri daripada UMNO tidak menjalankan tanggungjawab mereka dan ini adalah salah satu cara bagi memastikan tidak wujud persepsi negatif terhadap parti. Jadi, tidak timbul isu mengenai melepaskan jawatan," ujarnya.

Pertemuan menteri-menteri daripada UMNO dengan Muhyiddin menyusul selepas Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan memaklumkan perhimpunan agung parti hujung minggu lalu bahawa UMNO akan menarik diri daripada Perikatan menjelang bulan Ogos apabila tempoh darurat bagi menangani pandemik COVID-19 dijadualkan berakhir.

Ini adalah bertentangan dengan pendirian awal para pemimpin UMNO yang berikrar memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin sehingga pilihan raya umum akan datang - yang tarikhnya belum diputuskan.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli-ahli akar umbi parti telah bersetuju dengan usul untuk keluar daripada Perikatan Nasional, mengikut masa yang difikirkan sesuai oleh pimpinan parti.

Ahmad Zahid berkata para pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan melepaskan jawatan apabila parti membuat keputusan.

Beliau mengingatkan ahli UMNO yang memegang jawatan dalam pentadbiran Muhyiddin bahawa mereka mendapat jawatan dan manfaat hasil daripada platform parti itu.

UMNO sebelum ini tidak berpuashati kerana tidak mendapat pulangan yang setimpal walaupun menjadi parti yang terbesar dengan jumlah Ahli Parlimen teramai dalam kerajaan yang memerintah pimpinan Muhyiddin.

Tiada kerjasama dengan pihak pembangkang

Sementara itu, Bersatu dan PAS telah memberi jaminan akan bekerjasama dengan erat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini diumumkan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan rakannya dari parti PAS, Takiyuddin Hassan.

Menurut mereka, susulan perkembangan terbaharu politik dalam negara, Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan pada Selasa bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam Perikatan Nasional.

"Bersatu dan PAS akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15.

"Bersatu dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Perikatan Nasional, akan menubuhkan satu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi," menurut kenyataan berkenaan.

Tambah mereka lagi, segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen.

Menurut kenyataan itu lagi, Bersatu dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk "penjajaran baharu" untuk membentuk kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.

Kedua-dua parti itu juga menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan perpaduan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk

'A marriage of convenience'

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Tunku Mohar Mokhtar menyifatkan hubungan antara UMNO dan Bersatu ketika ini tidak lain seperti "marriage of convenience", di mana satu pihak mahu kekal relevan dan satu pihak lagi mahu kekal berkuasa.

Ujarnya, perbalahan di antara kedua-dua parti itu telah lama berlaku.

"Setakat ini, tidak ada satu pun yang berlaku dianggap sebagai bertentangan dengan resolusi yang telah diputuskan dalam perhimpunan agung. Menteri-menteri UMNO boleh melepaskan jawatan menjelang Ogos, atau mereka boleh memilih untuk kekal sehingga tarikh pilihan raya umum diadakan pada tempoh waktu yang dianggap sebagai munasabah oleh UMNO.

"Muhyiddin perlukan sokongan dan beliau telah mendapatnya. Beliau juga mendapat sokongan daripada PAS. Tetapi UMNO telah memberi isyarat yang jelas bahawa ia bakal bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di atas lambang BN (Barisan Nasional), walaupun komponen-komponen BN telah melahirkan kebimbangan mereka terhadap keputusan unilateral tersebut," katanya kepada BeritaBenar.

Menurut Tunku Mohar lagi, UMNO mahu menjarakkan dirinya daripada PN kerana ia secara tidak langsung menerima tempias akibat "polisi tidak popular" perikatan berkenaan.

Ditanya sama ada perbalahan di antara Bersatu dan UMNO akan reda menjelang pilihan raya umum akan datang atau krisis lebih besar akan berlaku dalam masa terdekat, beliau berkata ia bergantung kepada bila tarikh PRU15 akan dilangsungkan.

"UMNO mahu supaya pilihan raya umum dijalankan secepat yang mungkin apabila tempoh darurat berakhir pada Ogos (jika perintah darurat ditamatkan) atau pada tarikh yang dapat diterima oleh parti itu.

"Sekiranya tempoh darurat ditamatkan pada Ogos tetapi masih belum ada tarikh ditetapkan untuk pilihan raya umum, dan apabila menteri-menteri UMNO meletakkan jawatan seperti mana yang diputuskan pada perhimpunan agung parti itu, maka kerajaan PN akan tumbang.

"Tetapi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dalam politik Malaysia. Tidak mustahil jika berlaku pemberontakan di dalam UMNO," ujarnya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.