Ketidakstabilan Kerajaan Malaysia Pimpinan Muhyiddin Yassin Akan Berterusan, kata Pakar
2020.12.22
Kuala Lumpur
Ketidakstabilan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin yang mempunyai majoriti nipis di Parlimen akan berterusan dan kerapuhan itu akan sentiasa diuji, dengan Perdana Menteri itu berusaha sebaik mungkin untuk bertahan sehingga tamat mandat parlimen kerana beliau tahu partinya Bersatu berkemungkinan akan lenyap selepas rakyat keluar mengundi, kata pakar-pakar.
Mentadbir Malaysia melalui kerajaan yang tidak dipilih rakyat semasa dunia dilanda pandemik COVID-19 juga memberi masa tambahan kepada Muhyiddin untuk terus berada di Putrajaya, kerana keutamaan adalah untuk menyelamatkan nyawa.
Pakar juga melihat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina atas persepakatan antara Ahli Parlimen serpihan, berbeza parti dan ideologi itu memiliki majoriti yang sangat nipis serta boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Mengulas mengenai masa hadapan Malaysia bagi tahun baru 2021 yang akan menjelang dua minggu lagi, penganalisa politik rata-rata berpendapat masalah politik yang membelenggu negara sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad pada Februari lalu akan terus menjadi isu utama.
“Masalah utama bagi kerajaan ialah majoriti tipis yang dimiliki Muhyiddin menjadikan kerajaan Perikatan Nasional tidak stabil dan akan sering ‘diuji’ oleh pelbagai pihak,” kata Awang Azman Awang Pawi, pakar politik dari Universiti Malaya kepada BeritaBenar.
Menurut beliau, walaupun Muhyiddin berjaya mendapat sokongan Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion, namun kemenangan itu bukanlah satu kayu ukuran keyakinan Ahli Parlimen terhadapnya secara peribadi, sebaliknya terikat dengan titah pesanan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah supaya semua wakil rakyat bekerjasama untuk meluluskan Belanjawan tersebut.
Titah Seri Paduka itu dizahirkan selepas baginda menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara yang dikatakan bagi mengelakkan belanjawan tersebut dibahaskan di Parlimen dengan risikonya akan ditolak oleh Dewan Rakyat, seterusnya mencetuskan konvension perlembagaan di mana Perdana Menteri itu perlu meletakkan jawatan.
“Ketidakstabilan ini akan berterusan memandangkan usaha-usaha lain untuk menguji keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seperti undi tidak percaya di Parlimen akan terus dihalang oleh Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Rakyat,” kata Awang Azman.
Azhar Azizan Harun yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat oleh Muhyiddin pada 13 Julai lalu sehingga kini bertegas untuk tidak membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu untuk pengundian, walaupun telah mendapata kira-kira 25 usul tersebut daripada beberapa Ahli Parlimen yang mendesak supaya Azhar berbuat demikian.
Keadaan melarat
Mengulas perkara yang sama, James Chin dari University of Tasmania menyifatkan peralihan kuasa secara perebutan dalaman pada Februari lalu telah memberi kesan negatif yang besar sepanjang tahun 2020 dan keadaan itu akan melarat sehingga tahun hadapan.
“Peralihan kuasa pada Febuari adalah satu yang sangat buruk bagi negara kerana berlakunya pergolakan dan pertengkaran dalaman dengan kerajaan yang mentadbir sekarang bukan dipilih oleh rakyat secara demokrasi menerusi pilihan raya,” kata Chin.
Akibatnya, kerajaan yang terbentuk daripada peristiwa itu bebas mentadbir negara hampir setengah tahun tanpa pemantauan parlimen dengan negara berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan pandemik COVID-19, sejak 15 Mac lepas.
“Kerajaan berada dalam mod ‘autopilot’ dan tanpa sebarang pengawasan dari parlimen. Pokoknya, demokrasi terhakis di Malaysia sepanjang tahun 2020,” tegas beliau.
Menjelang Jun 2021, negara akan berhadapan pula dengan pilihan raya negeri Sarawak yang dilihat ramai sebagai kayu ukuran sokongan terhadap kerajaan pusat dan juga penentuan bilakah Pilihanraya Umum ke-15 bagi negara bakal dilangsungkan.
“Pada pendapat saya Muhyiddin akan terus berusaha untuk mengelak dari berlakunya pilihan raya umum melihatkan kepada sokongan belanjawan beliau yang kurang dari tiga kerusi dan ini menambahkan risiko beliau untuk kalah dalam Pilihan Raya Umum,” kata Chin kepada Berita Benar.
Tambahnya lagi, jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bersama-sama dalam gagasan Perikatan Nasional Muhyiddin menang dalam pilihanraya negeri tersebut, Muhyiddin cuma perlu menggunakan kemenangan itu sebagai bukti pentadbiran kerajaan beliau masih mendapat sokongan ramai.
“Ia sama seperti mana beliau mengukuhkan kedudukan politiknya selepas Pilihanraya Negeri Sabah dan akan cuba bertahan daripada terpaksa membubarkan parlimen sehingga tamat mandat pada 2023,” kata Chin.
Bersatu lenyap
Mengulas perkara sama, Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Muhyiddin berdepan dengan cabaran getir dalam pilihan raya akan datang kerana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan juga Parti Kebangsaan Bersatu Malaysia (UMNO) turut mengharapkan undi daripada kelompok pengundi yang sama iaitu pengundi Melayu-Islam.
“Bersatu berdepan dengan kemungkinan terhapus dalam pilihanraya umum jika bertelingkah dengan UMNO dan PAS.
“UMNO dan PAS sebagai parti yang lebih lama bertapak besar kemungkinan akan memenangi kebanyakkan kerusi-kerusi parlimen dan negeri,” kata Oh.
Namun begitu, beliau berkata kerusi-kerusi dari kawasan majoriti Melayu-Islam sahaja tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa mendapat sokongan daripada parti-parti yang berbilang kaum.
“Jadi pertelingkahan politik sebagaimana yang berlaku sekarang akan berterusan, maka tiada parti yang akan menang secara mutlak,” tambah beliau.
Peralihan pentadbiran kerajaan pusat yang berlaku pada Mac itu juga memberi kesan yang sama terhadap kerajaan negeri di mana beberapa negeri di Malaysia turut bertukar Menteri Besar dan Ketua Menteri antaranya Johor, Melaka, Kedah dan yang terbaharu ialah Perak.