Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia Mahu Penindasan Terhadap Transgender Dihentikan

Ali Nufael
2018.08.10
Kuala Lumpur, Malaysia
180810-Muhajid-Nisha-1000.jpg Nisha Ayub transgender pertama yang menerima Anugerah International Women of Courage Award 2016, satu anugerah berprestij daripada kerajaan Amerika Syarikat semasa ditemui di Kuala Lumpur, 12 Mei 2016.
AFP

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mahu segala bentuk penindasan dan stereotaip keatas golongan minoriti Transgender  dihentikan kerana mereka juga berhak mendapat layanan sama rata seperti warganegara yang lain.

Mujahid Yusof Rawa berkata keengganan memberi layanan saksama hanya akan menyebabkan golongan itu tidak boleh berdikari maka ia sekaligus akan membawa kepada terjerumus ke lembah pelacuran.

“Golongan transgender tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja dan sebagainya. Diskriminasi tidak membantu mereka berdikari. Saya menggesa masyarakat untuk beri mereka peluang.

Mereka juga mahu menyumbang dan mendapatkan hak mereka,” katanya selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan aktivis transgender Nisha Ayub di Putrajaya pada lewat petang Jumaat.

Semasa pertemuan dengan Nisha itu,  Menteri berkenaan berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai diskriminasi yang dihadapi golongan transgender terutamanya ketika di kawasan awam dan tempat kerja.

“Mereka hanya tidak mahu disakiti dan kita tidak mahu rakyat terus mengecam. Ada antara golongan transgender tidak diterima di tempat kerja dan diberi layanan buruk sewaktu mendapatkan rawatan kesihatan. Ini sebenarnya salah,” katanya.

Mujahid berkata pertemuan itu lebih tertumpu kepada golongan transgender dan tidak berbincang mengenai lesbian, gay dan biseksual.

“Saya sedia untuk bertemu dengan komuniti lain. Namun setakat ini hanya Nisha sahaja yang menghubungi saya untuk membincangkan isu komunitinya,” tambah Menteri tersebut.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) dan meninggalkan Parti Islam PAS yang konservatif  berjanji akan bertemu dengan agensi kerajaan yang lain bagi memberikan penerangan dan kesedaran kepada institusi lain berkenaan komuniti LGBT.

Mujahid mempertahankan golongan terbabit dengan berkata bahawa komuniti ini sudah pun wujud dan tidak boleh diketepikan oleh masyarakat.

"Kita tidak boleh menghapuskan mereka. Mereka adalah realiti dan kita perlu memberi keadilan kepada mereka. Mereka tidak meminta perkahwinan sama taraf tetapi hanya dihormati dan dilayan secara adil," ujar Mujahid lagi.

Pembelaan Mujahid datang selepas beberapa hari lalu beliau meminta pihak penganjur Festival Seni George Town supaya menurunkan wajah Nisha bersama seorang lagi aktivis LGBT Pang Khee Teik dari pameran tersebut.

Langkah Mujahid dibuat ekoran kecaman orang awam terhadap perkara terbabit yang dilihat mempromosikan gaya hidup bebas LGBT.

Mujahid turut ditempelak oleh aktivis hak asasi manusia lain yang berkata bahawa langkah menurunkan gambar Nisha dan Pang sebagai satu bentuk diskriminasi.

Akan tetapi selepas pertemuan hari ini, Mujahid mempertahankan kenyataan beliau dan berkata ianya dibuat bagi menghalang daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam masa yang sama, Mujahid turut mengakui bahawa golongan LGBT di Malaysia merupakan golongan yang tertindas termasuk dihalang daripada memasuki masjid.

Pertemuan pertama bersama menteri


Sementara itu, Nisha gembira pertemuan itu  dapat diadakan kerana ia membincangkan masalah komuniti berkenaan sambil berkata “Terima kasih kerana berikan kami ruang dan ini kali pertama menteri setuju untuk bertemu dengan kami.”

"Saya setuju dengan Mujahid bahawa kami tidak meminta lebih. Kami faham budaya di Malaysia, jadi tolonglah masyarakat hentikan stereotaip golongan transgender. Kami ada keluarga dan kita hanya mahu akses yang sama,” katanya.

Nisha juga mengakui yang beliau menerima pelbagai tomahan termasuk ugutan bunuh berhubung penggunaan gambarnya di festival seni itu.

Walaubagaimanapun, Nisha memberitahu BeritaBenar bahawa beliau tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memberi perhatian kepada 'key-board warriors'.

"Saya menerima pelbagai bentuk cacian termasuk ugutan. Saya tidak ambil peduli. Mereka semua hanya berani di alam siber.  Saya tidak mahu memberikan perhatian kepada mereka," kata Nisha dengan mempunyai kekhuatiran akan nasib golongan transgender yang lain.

Dalam pada itu, penurunan gambar Nisha telah mendapat perhatian Amerika Syarikat melalui kedutaannya di Kuala Lumpur.

Pihak Kedutaan Amerika berkata bahawa mereka turut bersolidariti bersama Nisha yang juga penerima anugerah International Women of Courage Award 2016 atas usaha beliau yang ingin memartabatkan status golongan transgender di Malaysia.

Nisha adalah transgender pertama yang menerima anugerah berprestij itu daripada kerajaan Amerika Syarikat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.