Singapura Tahan Lapan Rakyat Bangladesh Terlibat IS

Hata Wahari & Kamran Reza Chowdhury
2016.05.03
Kuala Lumpur & Dhaka
160503-my-sg-bangladeshi620 Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura mengeluarkan foto lapan radikal Muslim warga Bangladesh yang kini sedang ditahan di negara itu, 3 Mei 2016.
Ihsan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura

Singapura menahan lapan lelaki radikal Bangladesh dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan terlibat merancang untuk melakukan serangan keganasan di Bangladesh, kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kelapan-lapan lelaki itu, yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Islamic State in Bangladesh’ (ISB) bernama, A. Rahman Mizanur, 31, Mamun Leakot Ali,  29, Sohag Ibrahim, 27, Miah Rubel, 26,  Zzaman Daulat, 34, Islam Shariful,  27, Md Jabath Kysar Haje Norul Islam Sowdagar, 30 dan Sohel Hawlader Ismail Hawlader, 29, semua bekerja di dalam industri binaan dan marin di Singapura, dan ditahan pada April lalu.

Kenyataan MHA berkata, ISB telah dibentuk pada Mac lepas oleh Rahman Mizanur yang merupakan pemegang Pas Khas (S-Pass), manakala tujuh yang lain adalah pemegang permit kerja biasa.

“Siasatan mendapati kumpulan ISB telah mengenal pasti beberapa serangan yang dirancang akan dilancarkan di Bangladesh. (Pihak berkuasa)  telah menemui satu dokumen bertajuk ‘Kita Perlu Untuk Perang Berjihad’ yang menyasarkan 13 sasaran - antaranya menteri, anggota parlimen, pegawai kerajaan, tentera, polis, media dan orang kafir yang tidak berkongsi kepercayaan agama Islam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Rahman turut memiliki dokumen mengenai senjata dan cara membuat bom, serta pelbagai bahan radikal dari IS dan Al-Qaeda yang digunakan untuk merekrut ahli ISB di Singapura.

Tambah kenyataan itu, ISB tidak mempunyai rancangan khusus untuk menyasarkan Singapura tetapi memetik Rahman sebagai berkata beliau akan melancarkan serangan dimana sahaja jika diarahkan oleh IS untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota ISB berhasrat untuk menyertai IS di Syria dan Iraq sebagai pejuang asing tetapi mengalihkan fokus rancangan mereka ke arah Bangladesh dan mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi melalui kekerasan serta menubuhkan kerajaan IS yang akan diletakkan di bawah pentadbiran khalifah IS.

‘Rekrut di Singapura’

“Siasatan turut mendapati kumpulan ini juga bercadang untuk merekrut warga Bangladesh di Singapura menjadi anggota IS. Mereka mengumpulkan wang untuk membeli senjata api untuk melaksanakan rancangan mereka menyerang Bangladesh. Wang tersebut bagaimanapun, telah dirampas,” kata kenyataan itu yang tidak menyebut jumlahnya.

Siasatan menyeluruh terhadap ISB juga membolehkan pihak berkuasa negara itu menahan lima lagi pekerja Bangladesh yang telah disiasat di bawah (ISA) dan telah dihantar pulang.

"Siasatan menunjukkan bahawa mereka tidak terlibat dalam ISB namun memiliki dan/atau menyimpan pelbagai bahan jihad yang berkaitan, atau menyokong penggunaan keganasan bersenjata dalam mengejar matlamat mereka," kata kementerian itu.

Pengumuman penangkapan lapan lelaki itu dibuat tiga bulan selepas Singapura menahan 27 warga Bangladesh kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan IS, akhir tahun lepas, dengan 26 telah dihantar pulang.

Pihak berkuasa Bangladesh secara konsisten menafikan bahawa IS mempunyai operasi di negara mereka, di mana penulis sekular, mereka yang beragama minoriti, warga asing, intelektual dan aktivis telah dibunuh sejak tahun lepas selain di dalam serangan dengan parang oleh radikal Islam yang disyaki.

Serangan seperti itu telah meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu lalu dan, pada malam Isnin, empat wartawan Bangladesh cedera dalam serangan parang di sebuah kelab akhbar di daerah Feni, media tempatan melaporkan pada Selasa.

Pada bulan Mac, Singapura mengumumkan bahawa negara itu telah mempertingkatkan langkah keselamatan dalam memerangi keganasan bagi melindungi bandar raya itu daripada ancaman yang ditimbulkan oleh pengaruh IS yang semakin menular di Asia Tenggara.

"ISB menimbulkan kebimbangan keselamatan di Singapura kerana sokongan (puak radikal) terhadap IS dan kesediaan (mereka untuk) mengambil jalan keluar dengan menggunakan kekerasan di luar negara," kata MHA.

Di Dhaka pada Selasa, Ketua Polis Bangladesh mengakui bahawa lima warga Bangladesh telah diusir dari Singapura, tetapi tidak memberitahu bila mereka telah dihantar pulang.

"Mereka kini berada dalam tahanan cawangan detektif, dan kami akan menyoal siasat mereka secara meluas mengenai hubungan dengan kumpulan militan. Kami mendapat kerjasama Singapura mengenai isu-isu pencegahan keganasan," kata Polis Ketua A.K.M. Shahidul Haque kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.