Follow us

Menteri Myanmar Marah Duta Malaysia Berhubung Komen 'Pembunuhan Beramai-ramai”

2016-12-07
E-mel
Komen
Share
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Myanmar Kyaw Tin (kiri) bertemu dengan Duta Besar Malaysia Haniff Abd Rahman (kanan) di Naypyidaw untuk membincangkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia mengenai cara kerajaan itu menangani krisis di negeri Rakhine, 6 Disember 2016.
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Myanmar Kyaw Tin (kiri) bertemu dengan Duta Besar Malaysia Haniff Abd Rahman (kanan) di Naypyidaw untuk membincangkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia mengenai cara kerajaan itu menangani krisis di negeri Rakhine, 6 Disember 2016.
[Ihsan Kementerian Luar Myanmar]

Krisis di negeri Rakhine dan tuduhan mengenai pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Islam Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar  berubah menjadi  diplomatik saling tuduh menuduh di antara negara Asia Tenggara itu dan Malaysia, yang majoriti penduduknya adalah Islam.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengambil bahagian dalam perhimpunan pada 4 November di ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau mengutuk keganasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai "pembunuhan beramai-ramai" dan menggesa negara-negara Asia lain untuk meningkatkan tekanan terhadap Myanmar bagi menghentikan keganasan itu.

Langkah itu mendorong Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Myanmar Kyaw Tin memanggil Duta Besar Malaysia Haniff Abd Rahman bagi menyatakan rasa kesal negara itu berhubung kenyataan Najib terhadap kerajaannya dan menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.

"Menteri Negara juga menekankan tentang perlunya masyarakat antarabangsa  membantu Myanmar dalam usahanya mengekalkan keamanan, kestabilan dan keselamatan rakyat dan berkembang maju dalam membina hubungan yang lebih baik di antara kedua-dua kelompok masyarakat itu, dan bukannya membuat gesaan berdasarkan dakwaan tidak disahkan yang hanya akan menyebabkan masalah yang lebih besar berbanding mendapatkan  penyelesaian," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar  pada Rabu.

Kenyataan itu menarik perhatian kepada langkah kerajaan Myanmar melantik Suruhanjaya Penasihat Rakhine yang diketuai bekas Setiausaaha Agung PBB Kofi Annan dan  Suruhanjaya Siasatan peringkat negara bagi menilai keadaan di Rakhine.

'Kewartawanan hitam'

Etnik Rohingya di negara-negara majoriti Islam di Asia, termasuk Malaysia, telah mengadakan bantahan terhadap tindakan keras ke atas masyarakat Rohingya Myanmar di bahagian barat laut Rakhine oleh pihak polis dan tentera sempadan.

Pihak berkuasa itu, yang telah menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh berikutan serangan maut ke atas stesen pengawal sempadan pada 9 Okt, dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Rohingya yang tinggal di sana.

Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh dan kira-kira 30,000 menjadi pelarian ekoran tindakan keras tentera di negeri Rakhine. Lebih daripada 20,000 Rohingya telah melarikan diri dari kawasan itu ke negara jiran Bangladesh di mana mereka menuduh tentera Myanmar membunuh orang awam, merogol wanita dan kanak-kanak perempuan serta membakar rumah mereka.

Sementara itu, satu rencana pengarang dalam akhbar yang dikendalikan  kerajaan Myanmar, The Mirror, semalam mengkritik Najib dan perhimpunan 4 Nov bagi "kewartawanan hitam" - menggunakan emosi agama dan maklumat tidak boleh dipercayai untuk mengambil kesempatan daripada keadaan yang berlaku demi tujuan politik.

Sesetengah pihak di Myanmar percaya bahawa Najib Razak menggunakan isu Rohingya untuk mengalihkan dakwaan rasuah yang membelengguinya berhubung penglibatannya dalam mengambil berbilion-bilion dolar wang awam daripada dana pelaburan negara.

Rencana pengarang itu menggesa orang ramai supaya mengutuk perhimpunan tersebut kerana menyatakan apa yang dianggap sebagai maklumat yang tidak betul mengenai situasi di Rakhine.

Tiada lagi pekerja

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Myanmar pada Rabu berkata buat sementara waktu, pihaknya telah menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia.

"Buat sementara ini, Myanmar telah berhenti menghantar pekerjanya ke Malaysia mulai 6 Disember 2016 berikutan keadaan semasa di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan tanpa huraian lanjut, tetapi dipercayai merujuk kepada maklum balas kedua-dua negara berhubung tindakan keras tentera yang  dijalankan ke atas umat Islam Rohingya di Rakhine.

"Kami melakukannya kerana mahu melindungi rakyat kami yang mahu bekerja di Malaysia," kata Myo Aung, Setiausaha Tetap di Kementerian Buruh dan Imigresen.

Kerajaan negara itu bersetuju menghantar 500 hingga 700 pekerja setiap minggu untuk bekerja di Malaysia, dan kini terdapat lebih daripada 200,000 rakyat Myanmar  yang bekerja secara sah di negara itu, katanya.

Pada  Rabu, pegawai-pegawai dari Kementerian Sumber Manusia Malaysia enggan memberi komen kepada BeritaBenar, sebuah organisasi berita dalam talian gabungan Radio Free Asia, mengenai pengumuman Myanmar berhubung pekerja asing.

Bagaimanapun, Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, memberitahu akhbar The Sun Daily di negara itu  bahawa Malaysia akan terus menerima rakyat Myanmar yang mahu bekerja di sana, dan tidak ada perjanjian di antara kedua-dua negara mengenai bekalan tenaga kerja.

Dilaporkan  oleh Wai Mar Tun untuk Perkhidmatan Myanmar RFA dan BeritaBenar, perkhidmatan berita dalam talian gabungan RFA. Diterjemahkan oleh Khet Mar.

Lihat Laman Penuh