Ratusan Etnik Rohingya Cuba Masuk Malaysia Sejak Enam Bulan Lalu

Akibat terdesak mendapatkan pekerjaan dan makanan, pelarian berkenaan sanggup membayar beribu-ribu dolar kepada para penyeludup untuk mengikuti perjalanan yang berisiko dari Myanmar.
Khas untuk BenarNews
2022.06.14
Anggota Tentera Laut dan pegawai-pegawai taman Thailand menawarkan makanan kepada puluhan etnik Rohingya yang ditemui terdampar di pulau Koh Dong di negara itu selepas mereka ditinggalkan penyeludup semasa dalam perjalanan ke Malaysia, 4 Jun 2022.
[AFP/Tentera Laut DiRaja Thailand]

Lebih 600 orang etnik Rohingya dari negeri Rakhine di barat Myanmar telah ditangkap sejak enam bulan lalu ketika cuba menyusup masuk ke Malaysia, menurut analisis Radio Free Asia, yang mendapati ia adalah tindakan beramai-ramai pelarian itu berikutan kurangnya pekerjaan dan makanan sehingga mereka sanggup mengikuti perjalanan yang berisiko dan ada kalanya membawa maut.

RFA, sekutu dalam talian BenarNews, mengumpulkan data tersebut daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai junta tentera di negeri Rakhine dan maklumat daripada media tempatan.

Seorang lelaki Muslim di pekan Maungdaw, yang tidak mahu namanya dinyatakan atas sebab keselamatan, berkata dia menjual semua hartanya untuk menghantar anak perempuannya ke Malaysia tetapi anaknya itu ditahan semasa dalam perjalanan tersebut.

"Keluarga kami bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuan kami dengan seorang lelaki yang berada di Malaysia," katanya kepada RFA. “Kami bertanya kepada lelaki itu sama ada dia akan membayar separuh daripada perbelanjaan perjalanan. Dia bersetuju, dan kerana kami tidak mempunyai 500,000 kyat [AS$270], kami menjual tanah dan rumah kami serta barangan lain untuk menampung kos perjalanannya. Kini, dia ditangkap, dan kami kehilangan segala-galanya. Hidup kami musnah.”

Anak perempuannya berada di atas bot bersama 228 yang lain kira-kira 17 batu barat laut Pulau Mayu berhampiran Sittwe semasa ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar. Lebih 100 penumpang etnik Rohingya dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Daerah Maungdaw pada 14 Dis kerana melanggar undang-undang imigresen. Kanak-kanak pula dibebaskan.

Pada Disember, seramai 270 Rohingya telah ditangkap kerana melanggar undang-undang imigresen. Seramai 24 etnik Rohingya telah ditahan pada Januari, seramai 135 orang pada Februari, 14 orang pada Mac, 35 orang pada April dan 124 pada Mei, yang kesemuanya berjumlah 602 orang.

Seorang etnik Rohingya di perbandaran Kyaukphyu berkata umat Islam meninggalkan Rakhine dan sanggup mengambil risiko ditangkap atau mati berikutan kurangnya pekerjaan di negeri itu dan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Malaysia menjadi destinasi pilihan kerana majoriti penduduknya beragama Islam.

"Adalah lebih mudah bagi penyeludup untuk mengeksploitasi kami," katanya. “Masalah semasa di Rakhine ialah orang ramai tidak dibenarkan bergerak bebas. Peluang pekerjaan juga sedikit untuk mencari rezeki. Kami tidak dapat keluar kerana kami tinggal di kem pelarian. Itulah sebabnya orang ramai sanggup mengambil risiko. Mereka fikir mereka akan berjaya jika dapat mengikuti perjalanan itu.”

Ramai juga yang terdorong berbuat demikian berikutan kekurangan makanan di kem-kem di mana etnik Rohingya terkurung di Myanmar, kata sumber etnik Rohingya.

Etnik Rohingya yang tinggal di perbandaran Maungdaw membayar jumlah wang yang amat banyak kepada penyeludup - jumlah yang besar iaitu kira-kira 9 juta kyat (AS $4,900), yang dibayar secara berperingkat di sepanjang laluan.

Di Ambang Bahaya

Walaupun terpaksa menanggung kos perjalanan, etnik Rohingya masih berdepan bahaya sepanjang perjalanan mereka itu, yang selalunya menggunakan bot usang di laut bergelora.

Pada 21 Mei, sekurang-kurangnya 25 etnik Rohingya daripada kira-kira 90 penumpang yang dalam perjalanan ke Malaysia, terbunuh apabila bot yang mereka naiki terbalik dan karam di Teluk Benggala semasa ribut di luar pantai wilayah Ayeyarwady. Pihak berkuasa Myanmar menangkap lebih 20 mangsa yang terselamat, termasuk penyeludup, di kawasan pantai pada hari berikutnya. Etnik Rohingya yang lain masih hilang.

Pihak berkuasa Thailand menahan 59 orang umat Islam dari Myanmar dan Bangladesh pada 4 Jun di Pulau Koh Taung di wilayah selatan Satun, selepas mereka diberitahu bahawa mereka telah tiba di Malaysia dan mahu beredar turun dari bot.

Tin Hlaing, seorang etnik Rohingya dari kampung Thekkebyin di perbandaran Sittwe, yang memperjuangkan isu pemerdagangan manusia, memberitahu RFA bahawa sesetengah etnik Rohingya itu didera oleh penyeludup mereka semasa dalam perjalanan tersebut.

“Sesetengah kanak-kanak dalam keadaan menyedihkan [kerana] penyeludup membelasah mereka dan menghantar video kepada keluarga mereka untuk menuntut bayaran baki 2 juta, 3 juta atau 5 juta kyat jika mereka mahu anak lelaki atau anak perempuan mereka hidup,” katanya.

"Ibu bapa mereka, yang juga tinggal di kem IDP, tidak mempunyai wang untuk membayar mereka," katanya. “Apa yang mereka lakukan ialah menjual bilik atau kupon catuan makanan mereka. Akhirnya, mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan tiada makanan. Mereka terpaksa berbuat demikian supaya anak-anak mereka tidak mati. Kami melihat tragedi sebegitu di sini.”

RFA tidak dapat menghubungi jurucakap rejim tentera di negeri Rakhine atau di ibu negara Myanmar Naypyidaw untuk mendapatkan ulasan.

Aktivis Nay San Lwin, pengasas bersama Free Rohingya Coalition, menyatakan bahawa tindakan umat Islam, yang cuba melarikan diri dari Myanmar, dilakukan secara salah akibat pencabulan hak asasi mereka.

"Jika anda boleh bekerja dan hidup bebas di kawasan anda, jika ada kestabilan dan keamanan, tiada siapa yang akan berhijrah," katanya. “Di seluruh Myanmar, orang ramai boleh melakukan perjalanan dengan bebas melalui darat atau air, tetapi hanya etnik Rohingya yang tidak dibenarkan berbuat demikian. Etnik Rohingya tidak dibenarkan mengguna laluan air di tempat kelahiran mereka sendiri.

"Mereka tidak mempunyai hak untuk menjalani kehidupan yang normal," katanya. “Pelucutan hak asasi, seperti hak bebas bergerak, adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia.”

Gesaan campur tangan segera

Etnik Rohingya ditempatkan di kem IDP di perbandaran Sittwe, Pauktaw dan Kyaukphyu susulan keganasan agama di antara Muslim dan Buddha pada 2012 dan 2013.

Pada 2017, tentera Myanmar menjalankan operasi pembersihan kejam di Rakhine yang memaksa lebih 740,000 etnik Rohingya, terutamanya di perbandaran Buthidaung dan Maungdaw, melarikan diri dengan merentasi sempadan dan memasuki Bangladesh, di mana mereka kini tinggal di kem-kem pelarian yang luas.

Amerika Syarikat pada Mac menyatakan bahawa operasi pembersihan itu merupakan tindakan pembunuhan beramai-ramai.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia pada Isnin mengeluarkan rayuan bertulis kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencari penyelesaian tetap kepada nasib etnik Rohingya.

“[Kami] memerlukan campur tangan dan keamanan segera dari dunia luar untuk mengubah nasib kami,” kata kumpulan itu. "Kami tidak boleh menangguhkan tindakan kami kerana ia hanya akan menyebabkan lebih ramai etnik Rohingya dan rakyat Myanmar mati."

Organisasi itu menggesa pemimpin dunia, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Kerjasama Islam, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk merayu kepada sesi tetap semasa Majlis Hak Asasi Manusia, yang berlangsung sehingga 8 Julai, untuk mencari penyelesaian muktamad kepada krisis Rohingya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.