Najib Minta Bantuan China Selamatkan 1MDB, Kata Bekas Pegawai Khas

Hadi Azmi & Noah Lee
2019.09.04
Kuala Lumpur, Malaysia
190904-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, tengah, tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2019.
(AP)

Seorang saksi utama pendakwaan memberitahu sebuah mahkamah di Kuala Lumpur bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak telah mengarahkan beliau untuk ke China dan menawarkan projek-projek infrastruktur sebagai pulangan untuk wang bagi menyelamatkan 1MDB, dana kewangan negara Malaysia yang bermasalah.

Amhari Efendi Nazaruddin, 43, memberi keterangan bahawa Najib telah mengarahkan beliau untuk bertemu dengan pegawai kanan Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC), yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China pada Jun 2016 untuk membincangkan projek-projek infrastruktur.

“Kerana arahan ini datangnya daripada Najib, saya terpaksa menurutinya,” kata Amhari ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan sejumlah 2.3 bilion ringgit (AS$681 juta) yang hilang daripada dana 1Malaysia Development Berhad, atau 1MDB, yang ditubuhkan beliau pada 2009 ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Najib menawarkan penglibatan perusahaan milik negara dalam projek-projek infrastruktur dan sekali gus menyelesaikan masalah hutang 1MDB dan SRC,” kata Amhari merujuk “talking points” yang diberikan kepada beliau untuk dikemukakan kepada suruhanjaya China itu.

“Ayat itu jelas membawa maksud bahawa Najib ingin menghantar mesej bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC dengan menyelamatkan hutang 1MDB,” kata Amhari yang membaca kenyataan saksi setebal 77 muka surat pada hari kedua beliau memberi keterangan.

“Meskipun saya menuruti dan menghormati arahan Najib, ia adalah masa yang paling sukar dalam kerjaya saya. Saya bimbang saya akan dilibatkan dalam rancangan Najib dan Jho Low untuk menutup kehilangan dana 1MDB,” katanya.

Beliau merujuk kepada pembiaya kewangan Malaysia yang kini dalam buruan Low Taek Jho, seorang lagi individu utama dalam skandal rasuah 1MDB yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Keterangan itu adalah yang pertama daripada seorang saksi kerajaan yang mendakwa kerajaan Najib mengadakan rundingan dengan para pegawai China bagi menyelesaikan isu hutang 1MDB sebagai pertukaran kepada pemberian kontrak bagi projek-projek infrastruktur di Malaysia. Ahmari, saksi kelapan pendakwaan, dijadualkan kembali ke mahkamah pada Khamis untuk berdepan pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan Najib.

Perbicaraan kedua Najib berkaitan skandal 1MDB bermula pada 28 Ogos. Sehari sebelum itu, pihak pendakwaan menutup perbicaraan kes bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana berjumlah 42 juta ringgit (AS$9.9 juta) daripada SRC International, yang merupakan anak syarikat 1MDB.

Pertemuan yang didakwa berlaku pada Jun 2016 itu membabitkan perbincangan mengenai enam projek infrastruktur berpotensi termasuk tiga - projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) – yang telah diluluskan oleh kerajaan Najib untuk pembinaan, menurut keterangan Amhari.

ECRL, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif One Belt One Road Beijing, adalah antara beberapa projek yang dibiayai China di Malaysia yang telah ditangguhkan beberapa bulan selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengambil alih kuasa selepas menerajui pembangkang dalam satu kemenangan mengejut pada pilihan raya umum Mei 2018.

Pada April, sebuah syarikat kejuruteraan China yang mendapat kontrak bagi projek itu bersetuju memotong kosnya kepada 44 bilion ringgit (AS$11 bilion) daripada harga asal 65.5 bilion ringgit (AS$16 bilion), yang menyebabkan kerajaan Mahathir bersetuju membenarkan projek itu diteruskan. Dua lagi projek telah ditangguhkan pada 2018 susulan kebimbangan mengenai kosnya.

Peranan yang didakwa dimainkan Jho Low

Amhari yang dilantik pada 2008 sebagai pegawai khas Najib yang bertanggungjawab bagi projek-projek sulit, memberi keterangan bahawa Jho Low hadir pada pertemuan di SASAC dan memainkan peranan utama dalam memberi taklimat kepada delegasi China.

“Jho Low kemudian mengambil alih dan meneruskan mesyuarat dalam bahasa Mandarin untuk menjelaskan perkara itu dengan lebih terperinci,” kata Amhari.

Saksi itu berkata beliau mendapat tahu bahawa Jho Low akan terlibat dalam mesyuarat itu apabila pembiaya kewangan tersebut memberikan “talking points” dan satu pelan tindakan kepadanya di venue beberapa minit sebelum mesyuarat bermula.

Mengulangi kenyataan ketua pihak pendakwaan, Amhari menyifatkan Najib dan Jho Low sebagai “alter ego” dan “mirror image” masing-masing.

Dalam keterangan bertulisnya, Amhari berkata Jho Low telah berkomunikasi dengan Najib sebelum pelantikan beliau pada 2008, menurut salinan yang dilihat oleh BeritaBenar.

“Saya mengatakan begini kerana Rosmah [isteri Najib] menghubungi Jho Low beberapa kali meskipun butiran perbualan tidak diketahui. Banyak kali Azlin Alias dan saya meneliti arahan daripada Jho Low dengan Najib.”

Ahmari berkata beliau dan Azlin telah menerima arahan daripada Jho Low dalam beberapa siri pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Azlin, yang berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit Najib, meninggal dunia dalam satu nahas helikopter pada April 2015.

“Jho Low senang didekati dan sentiasa tersenyum. Beliau akan berkata bahawa beliau telah menemui Najib sebelum pertemuan itu. Kami sentiasa melakukan apa yang disuruh kerana kami tidak mahu menentang Najib, dan kami bimbang mengenai kedudukan kami,” kata Amhari.

“Najib menyedari perkara ini dan bersetuju dengan arahan itu,” kata Amhari,

Beliau berkata Azlin telah menjelaskan sebab bekas perdana menteri itu tidak hadir. “Jho Low adalah orang kepercayaan Najib, yang merupakan sebab mengapa Najib tidak perlu hadir pada pertemuan itu.”

Najib berdepan sejumlah 42 pertuduhan jenayah termasuk perbicaraan membabitkan SRC International yang bermula awal tahun ini.

Pemimpin berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Jho Low, yang terkenal di seluruh dunia kerana gaya hidup mewah dan sikap suka berparti dengan bintang-bintang Hollywood, menjadi sasaran siasatan kes jenayah antarabangsa dan tindakan perundangan yang membabitkan 1MDB.

Beliau telah didakwa di Malaysia dengan tiga pertuduhan menerima wang dana itu dan lima pertuduhan memindahkan dana berjumlah 1 bilion ringgit ($261 juta) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, kata pegawai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.