Follow us

Bekas PM Malaysia Najib ‘Berperanan Penting’ dalam Kes Kecurian Dana 1MDB - Pendakwaan

Najib Razak dibicara dalam kes rasuah terbesar terhadap beliau.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-28
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba untuk menghadiri perbicaraan hari pertama kes 1MDB, di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Ogos, 2019.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba untuk menghadiri perbicaraan hari pertama kes 1MDB, di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Ogos, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak memainkan peranan "penting" dalam kecurian beratus-ratus juta dolar daripada dana 1MDB, hujah pihak pendakwaan semasa perbicaraan kes kedua dan terbesar pemimpin itu pada Rabu, yang berpunca daripada skandal kewangan itu.

Dalam perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib berdepan 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung kehilangan sejumlah 2.3 bilion ringgit (AS$681 juta) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Satu perancangan yang teliti telah dibuat. Ia dilakukan dalam empat fasa yang menyaksikan beberapa watak memainkan peranan. Bagaimanapun, tertuduh [Najib] adalah invidivu yang memainkan peranan penting. Objektif beliau adalah untuk mengayakan dirinya," kata Gopal Sri Ram yang mengetuai pihak pendakwaan kepada mahkamah dalam penyataan pembukaan setebal 16 muka surat.

Beliau berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib telah bersekongkol dengan ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan Low Taek Jho - lebih dikenali sebagai Jho Low- untuk mencuri wang daripada dana negara yang ditubuhkan Najib pada 2009, semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sebagai jentera untuk memacu pembangunan ekonomi negara. Najib juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pengarah 1MDB.

"Beliau menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi lembaga pengarah... untuk melakukan transaksi tidak normal dengan tergesa-gesa yang tidak wajar," kata Sri Ram. "Tujuan akhir tertuduh ialah mendapatkan kepuasan untuk dirinya sendiri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu. "

Secara keseluruhan Najib berdepan 42 pertuduhan dalam pelbagai kes jenayah terhadapnya, termasuk perbicaraan berasingan yang bermula awal tahun ini. Pemimpin berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu.

Gabungan parti pemerintah pimpinan Najib telah hilang kuasa semasa pilihan raya umum tahun lalu, di tengah-tengah desakan meluas agar beliau meletak jawatan susulan skandal 1MDB.

“Pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa tertuduh, melalui perkataan dan tingkah lakunya, dengan jelas menyatakan kepada pegawai 1MDB, lembaganya dan yang lain bahawa Jho Low adalah ‘alter ego’ [Najib]. Sebenarnya, Jho Low merupakan bayangan tertuduh (Najib),” kata Sri Ram sambil menambah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta yang menimbulkan "satu kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai satu entiti pada semua masa yang material. "

Low, pembiaya kewangan yang terkenal di seluruh dunia kerana gaya hidup mewah dan sikap suka berpesta dengan bintang Hollywood, menjadi sasaran beberapa siasatan jenayah dan tindakan undang-undang yang dilakukan  pegawai Amerika Syarikat [AS] berkaitan skandal 1MDB.

Keberadaan Jho Low tidak diketahui tetapi beliau secara konsisten telah menafikan sebarang penglibatan dalam skandal 1MDB menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah firma perhubungan awam yang mewakilinya. Jabatan Kehakiman Amerika telah menyifatkan kes 1MBD sebagai "skandal kleptokrasi terburuk pada zaman sekarang."

Menurut Sri Ram, selepas berita mengenai skandal itu terbongkar pada Julai 2015, Najib dan Jho Low cuba menutup jejak mereka dengan menghasilkan dokumen palsu yang menyatakan bahawa wang yang dicuri itu adalah sumbangan  seorang putera Arab.

"Antaranya adalah surat dan empat cek bank masing-masing berjumlah AS$25 juta yang dikatakan ditulis oleh seorang penderma Arab. Bagaimanapun kesemua cek itu tidak pernah ditunaikan," kata ketua pihak pendakwaan itu kepada mahkamah.

Najib sebelum ini mendakwa bahawa wang itu disumbangkan oleh Arab Saudi sebagai penghargaan terhadap amalan Malaysia dalam memperjuangkan Islam serta memerangi kumpulan militan Negara Islam. Dana itu, bagaimanapun, telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebelum IS dikenali di seluruh dunia apabila ia mengisytiharkan khalifahnya di Iraq dan Syria pada 2014.


Selepas perbicaraan pada Rabu, peguam utama Najib mencabar pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa anak guamnya itu  terlibat dalam pemalsuan bukti.

“Anak guam saya sejujurnya percaya bahawa ia (derma) datang daripada Raja Arab Saudi kerana beliau pernah bertemu dengan Raja Arab Saudi itu, yang sebelum itu telah menjanjikan 1 bilion dolar, dan wang tersebut sememangnya telah dimasukkan ke dalam akaun beliau,” kata peguam Muhammad Shafee Abdullah kepada media di luar mahkamah.

Muhammad Shafee, yang turut mewakili bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan kes SRC International yang baru saja berakhir, meletakkan kesalahan kepada Jho Low dengan mendakwa bahawa ahli perniagaan itu telah memanipulasi Najib serta mengelirukan bank-bank dan pihak berkuasa lain untuk kepentingan diri sendiri.

"Kami akan mengemukakan semua bukti ini. Jadi untuk mengatakan bahawa anak guam saya adalah alter ego [ Jho Low], saya ingin melihat mereka membuktikannya," kata Muhammad Shafee.

“Anda boleh nampak daripada perbicaraan kes SRC bahawa pihak pendakwaan terpaksa bergelut untuk mengaitkan kami dengan Jho Low,” tambah peguam itu lagi.

Perbicaraaan kes 1MDB bermula pada Rabu, sehari selepas pihak pendakwaan menutup kes mereka dalam perbicaraan pertama Najib yang berdepan tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB itu.

Perbicaraan 1MDB akan berterusan sehingga November dan dijangka sejumlah  60 saksi akan memberi keterangan.

Dalam perbicaraan kes SRC, kedua-dua pihak akan mengemukakan hujah secara lisan pada Oktober dan selepas itu, hakim dijangka memutuskan pada 11 Nov sama ada Najib perlu dipanggil untuk membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan.

190403-MY-najib-inside.jpg

Lihat Laman Penuh