Najib Razak Beri Keterangan Bela Diri Kali Pertama Pertuduhan Berkaitan 1MDB

Hadi Azmi & Noah Lee
2019.12.03
Kuala Lumpur, Malaysia
191203-MY-Najib-Court1000.jpeg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi keterangan pada perbicaraannya berhubung pertuduhan rasuah dalam kes berkaitan sebuah anak syarikat 1MDB, 3 Disember 2019. (S. Mahfuz/BeritaBenar)
Photo: Benar

Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberi keterangan pada Selasa bahawa seorang pembiaya kewangan yang kini menjadi buruan telah memperdayakan dirinya, ketika beliau memberi keterangan buat kali pertama dalam satu daripada perbicaraan rasuahnya yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB.

Pembiaya kewangan Low Taek Jho (yang lebih dikenali sebagai Jho Low) telah menggambarkan dirinya sebagai mempunyai pengaruh dengan kerajaan-kerajaan di Timur Tengah, kata Najib semasa pasukan pembelaan membentangkan kes mereka dalam perbicaraan itu di mahkamah. Beliau dituduh secara haram menerima berjuta-juta dolar daripada sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, yang merupakan dana pelaburan negara.

"Oleh itu, saya fikir pengaruh dan hubungannya akan membantu 1MDB mencapai matlamatnya serta menarik pelaburan," kata bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, ketika beliau membaca 70 muka surat daripada penyataannya yang setebal 243 muka surat.

Selepas Najib memberi keterangan pada Selasa, peguamnya menyifatkan beliau sebagai mangsa Jho Low, bekas rakan bersekutu Najib.

Bulan lalu, Hakim Nazlan Ghazali memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan bukti berwibawa bahawa Najib, 66, perlu menjawab tujuh pertuduhan terhadapnya yang berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau secara haram menerima sebanyak RM42 juta  (AS$10 juta) dari SRC International, yang pernah menjadi unit dalam 1MDB.

"Saya, dengan cara yang mutlak dan tegas, ingin menyatakan bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC, kecuali secara profesional sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dan demi kepentingan orang ramai," kata Najib kepada mahkamah.

Bekas perdana menteri Malaysia itu akan kembali ke kandang saksi pada Rabu untuk terus membaca pernyataan bertulisnya itu. Pihak pendakwaan akan dapat menyoal beliau pada prosiding mahkamah yang dijadualkan hujung bulan ini.

Peguam bela beliau Shafee Abdullah berkata anak guamnya mungkin  berdiam diri.

"Beliau memilih untuk berada di dalam kandang saksi bagi membolehkan dirinya disoal balas kerana kami menasihati beliau  bahawa tiada apa yang harus ditakuti," kata Shafee kepada wartawan di luar mahkamah.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Najib berdepan hukuman denda dan penjara sehingga 20 tahun bagi setiap daripada empat pertuduhan rasuah yang dihadapinya dan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 kononnya untuk merangsang pembangunan ekonomi, tetapi dana itu sebaliknya mengumpulkan hutang yang berjumlah berbilion-bilion dolar. Pada 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuduh "Pegawai 1 Malaysia - yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Najib - dan sekutu-sekutunya menyeleweng dan mengubah wang lebih daripada AS $4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripada wang yang berkaitan 1MDB di antara 2009 dan 2014.

Bekas perdana menteri itu, yang menghadapi sejumlah 42 pertuduhan jenayah, sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah lain dengan 25 pertuduhan menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan RM2.3 bilion ($551 juta) yang hilang daripada 1MDB. Beliau berdepan dengan perbicaraan tambahan bagi 10 lagi baki pertuduhan.

Peguam salahkan Jho Low


Semasa bercakap kepada pemberita selepas Najib memberi keterangan selama lima jam, Shafee menganggap anak guamnya itu sebagai mangsa.

"Ketua kumpulan itu sebenarnya adalah Jho Low," kata Shafee kepada wartawan.

"Inti pati pembelaan kami adalah semuanya dilakukan oleh Jho Low bersama-sama empat orang Arab - dua dari Arab Saudi dan dua lagi dari Abu Dhabi," katanya. "Keseluruhan pengurusan 1MDB dan SRC dibayar oleh Jho Low."

Shafee berkata Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dan menteri kewangan hingga 2018 setelah gabungan parti Barisan Nasional yang dipimpinnya tewas dalam pilihan raya umum, tidak menjangka beliau perlu memeriksa lejar kewangan untuk memastikan tiada yang tidak teratur.

"Beliau bekerja pada tahap makro, bukannya tahap mikro," kata Shafee sambil memberitahu bahawa Najib bertanggungjawab untuk menetapkan dasar.

Jho Low, yang melarikan diri dari Malaysia dan kini menjadi buruan, menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia dan di Amerika Syarikat bagi dakwaan peranannya dalam menyeleweng wang 1MDB menerusi hubungannya dengan Najib.

Pada Oktober lalu, Jabatan Kehakiman A.S. mengumumkan bahawa ia telah mencapai penyelesaian dengan Jho Low dan keluarganya yang mahu mengembalikan aset bernilai $700 juta (RM2.9 bilion) yang dibeli menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB. Seorang pegawai A.S. berkata dana itu adalah milik Malaysia.

Shafee pula didakwa pada 2018 dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan penipuan cukai bagi dua urus niaga yang berjumlah RM9.5 juta ($ 2.27 juta) antara September 2013 dan Februari 2014. Semasa beliau ditangkap, peguam itu menganggap pertuduhan berkenaan bermotifkan politik bagi menyingkirkannya dari pasukan perundangan Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.