AS$273 Juta Nilai Barangan Yang Dirampas Dari Hartanah Berkaitan Najib Razak, Polis Malaysia

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.27
Kuala Lumpur, Malaysia
180627-MY-Najib620.jpg Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, Amar Singh Ishar Singh, menunjukkan gambar tertera 12,000 barang kemas yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak pada sidang berita di Kuala Lumpur, 27 Jun , 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Barang kemas, beg tangan berjenama, wang tunai dan barangan mewah lain yang dirampas dari beberapa kediaman yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, adalah bernilai sehingga AS$273 juta tetapi ia tidak termasuk berlian merah jambu yang jarang ditemui yang dianggarkan para pegawai Amerika Syarikat bernilai AS$27.3 juta, kata polis pada Rabu.

Polis Malaysia merampas barangan berkenaan dalam serbuan bulan lalu yang merupakan sebahagian daripada penyiasatan terhadap skandal kewangan 1MDB, dana pelaburan negara yang ditubuhkan Najib pada 2009 dengan berbilion ringgit didakwa diselewengkan daripada syarikat itu dan wang berkenaan melalui proses pengubahan, menurut penyiasat Amerika Syarikat.

"Jumlah keseluruhan semua barangan ini, yang harganya mencecah RM900 juta (AS$225 juta) hinggalah RM1.1 bilion (AS$273 juta)," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia Amar Singh Ishar Singh pada sidang berita di Kuala Lumpur.

Barangan itu termasuklah wang tunai berjumlah RM117 juta (AS$29 juta) dalam pelbagai mata wang, beg tangan mewah, sejumlah besar jam tangan berjenama buatan Switzerland dan 12,000 barang kemas, katanya.

Polis dan pakar mengambil masa selama 16 hari untuk menilai dan mengkategorikan kesemua barang kemas itu, kata Amar Singh, sambil beliau memperincikan nilai bagi setiap barangan itu, yang secara tidak langsung menampilkan maklumat mengejutkan tentang gaya hidup bekas perdana menteri tersebut.

"Barang kemas yang paling malah adalah seutas rantai emas kuning yang bertatahkan berlian putih bernilai RM6.4 juta (AS$1.6 juta)," kata Amar Singh.

Amar Singh, yang merujuk kepada katalog barangan yang dirampas pada sidang berita itu, langsung tidak menyebut tentang set kalung berlian merah jambu 22 karat yang jarang ditemui. Mengikut dokumen tuntutan sivil yang difailkan tahun lepas oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, kalung itu adalah antara barang kemas yang dibeli untuk isteri "Pegawai Malaysia 1" dengan menggunakan dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Set berlian itu bernilai AS$27.3 juta, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh oleh BeritaBenar.

Walaupun dokumen-dokumen dalam tuntutan sivil tidak menyatakan secara khusus nama perdana menteri Malaysia itu ketika itu, sumber-sumber kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini menyatakan bahawa "Pegawai Malaysia 1" adalah Najib dan isteri yang disebut dalam tuntutan mahkamah itu merujuk kepada Rosmah Mansor.

Amar Singh berkata, beg tangan mewah berjenama Hermes Birkins, yang merupakan antara 37 beg tangan mewah berjenama yang dirampas dalam serbuan itu, adalah bernilai RM51.3 juta (AS$13 juta) dan terdapat 423 jam tangan berjenama termasuk Rolex Daytona yang bernilai RM3.5 juta (AS$868,000) .

Beliau berkata, seramai 22 pegawai dari Bank Negara Malaysia mengambil masa tiga hari untuk mengira wang tunai dalam 26 mata wang yang dirampas polis selepas ia ditemukan dalam 35 beg semasa penggeledahan dan serbuan itu dilakukan pada 16 Mei.

Beliau turut menjelaskan bahawa penilaian barang kemas bernilai RM440 juta (AS$109.12 juta) itu adalah hanya untuk bahan-bahannya dan tidak termasuk kos lain seperti pertukangan dan reka bentuk, yang akan menokok sebanyak 50 peratus hingga 100 peratus kepada jumlah itu.

Menurutnya sebanyak 567 beg tangan berjenama yang dirampas dari unit kediaman yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences, sebuah bangunan kondominium mewah di Kuala Lumpur, adalah daripada jenama berharga seperti Hermès, Prada, Chanel dan Bijan.

'Yang paling mahal ialah beg tangan Hermes yang bernilai RM1.6 juta (AS$397,000)," katanya.

Keseluruhan proses pengiraan dan penilaian semua barangan yang dirampas itu mengambil masa lebih daripada sebulan dan melibatkan 150 orang pegawai, kata Amar Singh.

Najib, isteri akan dipanggil polis


Amar Singh juga memberitahu pemberita bahawa tidak lama lagi, polis akan memanggil Najib dan isterinya, Rosmah, untuk disoal siasat.

"Kami akan memanggil Najib Razak dan Rosmah Mansor tidak lama lagi tetapi saya tidak tahu bila masanya kerana kita juga perlu memanggil orang lain, seperti mereka yang didakwa sebagai pemberi hadiah yang dikatakan itu," katanya.

Najib, 64, kecundang di tangan pakatan pembangkang yang dapat menyingkirkan gabungan parti pemerintah pimpinannya pada pilihan raya umum 9 Mei.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berusaha untuk mendapatkan semula aset berjumlah AS$1.7 bilion yang didakwa disuntik oleh sekutu Najib daripada sejumlah AS$4.5 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB, yang ditubuhkan oleh Najib pada tahun 2009 kononnya untuk mempromosikan pembangunan ekonomi. Jabatan itu telah menggambarkan isu berhubung 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Najib menafikan sebarang salah laku berhubung dengan 1MDB. Sebelum ini, beliau berkata beg tangan mewah yang dirampas itu adalah hadiah kepada isterinya daripada menantunya Daniyar Nazarbayev, anak saudara Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

Dalam satu wawancara dengan Reuters pada 20 Jun, Najib berkata, beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang dimasukkan dalam akaun peribadinya adalah daripada 1MDB, dan sama ada wang dari dana itu akhirnya diubah bagi memperoleh aset-aset di seluruh dunia termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah kawasan utama.

"Saya bukanlah pihak yang berkaitan dengan kapal layar, lukisan itu. ... Saya tidak pernah melihat lukisan-lukisan tersebut,"kata Najib. "Saya tidak tahu tentang pembelian ini. Ia dilakukan tanpa pengetahuan saya. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.