Follow us

Barang Kemas, Wang Tunai, Beg Mewah Dirampas Dari Kediaman Berkaitan Najib

Hadi Azmi & N. Nantha
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-17
E-mel
Komen
Share
Anggota-anggota Polis memasukkan kotak-kotak hasil penggeledahan ke dalam sebuah trak selepas ia dibawa keluar dari sebuah bangunan kondominium mewah Kuala Lumpur, yang menempatkan unit kediaman bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, 18 Mei 2018.
Anggota-anggota Polis memasukkan kotak-kotak hasil penggeledahan ke dalam sebuah trak selepas ia dibawa keluar dari sebuah bangunan kondominium mewah Kuala Lumpur, yang menempatkan unit kediaman bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, 18 Mei 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Polis Malaysia membawa keluar barang kemas, beg tangan, wang tunai dan dokumen dari kediaman dan pejabat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak sebagai sebahagian daripada siasatan skandal kewangan berhubung dana 1MDB, kata seorang pegawai kanan Malaysia pada awal Jumaat (waktu tempatan).

Selepas aktiviti polis bermula lebih 24 jam sebelum itu dengan beberapa tukang kunci dibawa untuk memecahkan peti besi di dalam rumah Najib, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis DiRaja Malaysia  mengadakan sidang berita awal pagi di luar kawasan bangunan kondominium mewah di Kuala Lumpur di mana anggota-anggota polis merampas banyak kotak mengandungi pelbagai barangan berharga.

“Kami merampas 72 beg bagasi, bekas pelbagai saiz yang mengandungi barang kemas, jam tangan, wang tunai pelbagai mata wang dan barang berharga lain yang nilainya belum ditentukan," kata Amar Singh Ishar Singh, ketua jabatan itu kepada pemberita di  Pavilion Residences.

"Kami sedang menyiasat kes 1MDB dan penggeledahan yang dilakukan di semua enam premis sejak semalam adalah berkaitan dengan kes ini," katanya.

Penggeledahan itu bermula pada malam Rabu dengan satu daripadanya menyaksikan pegawai dan anggota polis serta beberapa kenderaan agensi itu memenuhi kediaman utama Najib, tidak lama selepas bekas perdana menteri itu pulang daripada menunaikan solat di sebuah masjid di Kuala Lumpur sempena awal Ramadan.

Tepat seminggu sebelum itu, Najib tumbang daripada tampuk kuasa selepas gabungan partinya yang memerintah kerajaan Malaysia selama 61 tahun, tewas buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum negara itu.

Beberapa hari kemudian, Najib dan isterinya dihalang oleh pihak berkuasa Imigresen daripada meninggalkan negara itu kerana pasangan itu dilaporkan sedang merancang untuk menaiki sebuah pesawat swasta ke Indonesia. Tidak lama selepas itu, beliau meletak jawatan sebagai ketua gabungan parti Barisan Nasional dan parti utamanya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

 

Penggeledahan yang bermula pada malam Rabu (waktu tempatan) dilakukan di enam lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya - pusat pentadbiran Malaysia. Ini termasuklah Pejabat Perdana Menteri dan bekas kediaman rasmi Najib sebagai perdana menteri.

"Empat yang lain adalah kediaman beliau," kata Amar Singh.

"Semasa pemeriksaan itu, kami turut merampas 284 kotak mengandungi beg berjenama. Antaranya ialah Hermes Birkins, " kata pegawai tinggi polis itu.

Semasa bertanding pada pilihan raya umum itu, Najib dibayangi oleh dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan negara yang diasaskan pada  2009, semasa beliau menjalani penggal pertama sebagai perdana menteri. Beliau menafikan dakwaan melakukan salah laku jenayah berhubung deposit wang hampir AS $700 juta yang berkaitan dengan 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya, dengan menyatakan bahawa wang itu disumbangkan oleh ahli keluarga diraja Arab Saudi.

180517-MY-najib-inside.JPG

Kereta-kereta polis dilihat berada di luar rumah bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, 17 Mei 2018. [S.Mahfuz/BeritaBenar]

Najib: Kunci hilang


Ketika ditanya sama ada tukang kunci dapat membuka peti besi di kediaman utama Najib, Amar Singh menjawab: "Kami masih mengusahakannya."

Menurut laporan berita Malaysia, beberapa tukang kunci tiba di kediaman itu pada awal petang Khamis selepas pihak berkuasa menemukan peti besi itu.

Ia adalah peti besi lama tetapi Najib, dalam satu kenyataan kepada media berkata, ia tidak pernah dibuka selama dua dekad kerana kuncinya telah tersalah letak.

Menurut seorang peguam yang mewakili bekas PM itu, polis mengambil masa enam jam untuk menggeledah rumah itu selepas mereka tiba pada petang Rabu.

Tiada dokumen yang dirampas, tetapi polis mengambil beberapa barang peribadi termasuk beg tangan dan hadiah, kata peguam Harpal Singh Gerwal kepada BeritaBenar.

Kemudian pada Khamis, selepas pihak berkuasa berada di premis itu selama 18 jam, dan ketika usaha menggerudi peti besi dilakukan di tingkat satu kediaman itu, peguam berkenaan merungut bahawa polis telah  mengganggu Najib dan keluarganya dan menyebabkan mereka berada dalam tertekan.

"Keluarganya sangat tertekan dan penat dengan bunyi bising serta tempoh panjang yang perlu mereka hadapi untuk semuanya," kata Gerwal kepada BeritaBenar.

"Kehadiran berterusan pegawai polis di kediaman beliau dan penggerudian peti besi lama itu menunjukkan gangguan yang tidak wajar terhadap pelanggan saya," katanya sambil memberitahu barang-barang yang dirampas dari rumah itu tidaklah begitu penting.

Pada sidang berita pada Khamis di Petaling Jaya, Perdana Menteri yang baru, Mahathir Mohamad, berkata penggeledahan itu dilakukan mengikut budi bicara Polis DiRaja Malaysia.

Semasa kempen pilihan raya umum itu di mana Mahathir, 92, mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, untuk menewaskan Barisan Nasional, Mahathir berjanji kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan semula berbilion-bilion dolar yang didakwa dicuri daripada 1MDB dan membawa mana-mana pegawai yang terlibat dalam skandal itu ke muka pengadilan.

"Polis mempunyai prosedur operasi standard mereka," kata Mahathir kepada wartawan. "Saya rasa polis mempunyai sebab yang cukup untuk melakukan serbuan. Saya tidak mempunyai maklumat, ini adalah hal polis. "

Pada Khamis, Pakatan Harapan didaftarkan secara rasminya sebagai sebuah pakatan parti-parti politik dan Majlis Penasihat Kerajaan, yang ditubuhkan oleh Mahathir, mengumumkan penubuhan jawatankuasa enam anggota yang akan meneliti perkara yang berkaitan dengan 1MDB.

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata, ia menyedari betapa pentingnya mempunyai jawatankuasa berasingan untuk mengkaji perkara yang berkaitan dengan 1MDB.

"Selagi dan sehingga isu 1MDB belum diselesaikan, akan ada persoalan yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Kerajaan dan institusinya," kata kenyataan itu.

Anak perempuan Anwar bidas tindakan polis

Ketika memimpin Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum itu, Mahathir membentuk pakatan dengan bekas musuhnya, Anwar Ibrahim, pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dibebaskan dari penjara pada Rabu selepas menjalani hukuman tiga tahun atas sabitan liwat, yang menurut pengkritik, bermotifkan politik.

Pada Khamis, kalangan pimpinan Pakatan Harapan mengkritik tindakan polis itu. Anak perempuan Anwar, Ahli Parlimen Nurul Izzah, mempersoalkan masa dan cara serbuan itu dilakukan di kediaman Najib.

Dalam akaun Twitternya, beliau berkata, "sebagai bekas mangsa serbuan awal pagi, saya mesti menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan tindakan menggeledah mana-mana kediaman pada waktu awal pagi yang tidak sesuai."

"Pilihan raya sudah berakhir dan sekarang adalah masanya untuk membina negara dan menilai tindakan kita," tambah Nurul Izzah.

Pada 2015, Nurul Izzah ditangkap di bawah Akta Hasutan dan ditahan reman semalaman dalam lokap polis berikutan komennya di Parlimen yang dianggap sebagai menghasut.

Dalam reaksi kepada catatan Nurrul Izzah, jurucakap sayap Pemuda UMNO mengeluarkan kenyataan yang menyuarakan penghargaan terhadap tindakan antara pimpinan utama gabungan pemerintah baru itu.

"Najib adalah bekas perdana menteri yang telah banyak menyumbang kepada negara sejak beliau menjadi ahli parlimen pada usia 23 tahun," kata Shahril Hamdan.

"Beliau tidak dituduh di mahkamah dan oleh itu, beliau harus diberikan layanan adil di bawah prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah."

Bukti cukup untuk mendakwa Najib: Anwar

Sementara itu, Anwar, yang baru dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, berkata pada Khamis bahawa beliau percaya bekas perdana menteri itu boleh ditangkap dan didakwa atas pertuduhan jenayah.

"Apakah saya percaya adanya bukti yang mencukupi untuk mendakwa Najib? Saya percaya. Berdasarkan nota-nota yang saya terima, ia sudah cukup kuat tetapi bolehkan saya arahkan beliau  didakwa? Tidak. Ia mesti mengikut semua proses kes prima facie," kata Anwar selepas menghadiri majlis doa selamat di kediamannya  di Bukit Segambut.

Dan, dalam pendedahan yang mengejutkan, Anwar memberitahu Reuters bahawa Najib telah menelefonnya dua kali ketika dalam  penjara pada malam pilihan raya bagi mendapatkan nasihatnya memandangkan tempoh Najib sebagai kuasa besar politik Malaysia semakin goyah.

"Apabila beliau menelefon pada malam pilihan raya, saya menasihati sebagai seorang kawan supaya beliau mengalah dan teruskan kehidupan," kata Anwar kepada agensi berita itu pada Khamis.

"Beliau banyak berdolak-dalik...beliau enggan mengalah awal," kata Anwar.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh