Najib dipenjara selepas sabitan, hukuman dalam kes berkaitan 1MDB kekal

Bekas pemimpin Malaysia itu dihukum penjara 12 tahun bagi kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Muzliza Mustafa & Iman Muttaqin Yusof
2022.08.23
Putrajaya
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Najib dipenjara selepas sabitan, hukuman dalam kes berkaitan 1MDB kekal Bekas Perdana Menteri Najib Razak kelihatan duduk di kerusi penumpang belakang kenderaan yang membawa beliau ke Penjara Kajang dari Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 23 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pada saat-saat akhir usaha untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada meringkuk dalam penjara selepas pelbagai drama berlaku semasa prosiding pendengaran, Mahkamah Persekutuan pada Selasa telah mengekalkan keputusan bersalah terhadap ahli politik itu berhubung kes rasuah melibatkan skandal kewangan 1MDB dengan  menghantarnya ke Penjara Kajang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menyaksikan kejatuhan tokoh politik Malaysia berusia 69 tahun itu yang menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang dihantar ke penjara di negara rantau Asia Tenggara.

Najib telah berjaya mengelak daripada meringkuk dalam penjara selama dua tahun dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020, kali pertama di Mahkamah Rayuan kemudian ke Mahkamah Persekutuan selain bebas dengan jaminan RM2 juta (AS$448,500).

Najib, yang berada di kandang tertuduh, kelihatan tenang ketika mendengar keputusan sebulat suara panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mendapati petisyen rayuan bekas Perdana Menteri itu “tidak mempunyai sebarang merit.”

“Dalam penghakiman kami, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul,” kata Tengku Maimun. Pembelaan telah “gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata panel itu.

Pembelaan “adalah amat tidak konsisten dan luar biasa sehingga gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan," menurut penghakiman panel itu. “Oleh itu, rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata Ketua Hakim Negara.

Terdahulu, peguam Najib cuba menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada mendengar kes itu atas alasan konflik kepentingan namun panel itu menolak permohonan tersebut kerana tidak melepasi ambang bagi “bahaya sebenar yang berlaku berat sebelah.”

Najib mendakwa suami Ketua Hakim Negara telah mengkritik beliau di Facebook pada 2018.

Selepas keputusan itu diumumkan, Najib kekal di dalam mahkamah selama kira-kira sejam untuk bertemu ahli keluarga dan rakan sebelum dibawa ke penjara dengan SUV hitam polis, yang dikawal ketat oleh konvoi pasukan keselamatan.

NAJIB_BENARNEWS_08(1).jpg

Bekas perdana menteri Najib Razak keluar dari kereta dan melambai kepada penyokongnya yang berada di luar bangunan Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di Putrajaya, 23 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau secara haram telah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International, anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.

Mahkamah turut mengenakan hukuman denda RM210 juta (AS$49.3 juta) ke atas Najib.

Najib, seorang pemimpin kanan UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atas alasan ia akan memanfaatkan rakyat Malaysia.

Lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB melalui syarikat palsu untuk merasuah para pegawai dan sekutu mereka, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Skandal 1MDB telah menyebabkan UMNO kalah pada pilihan raya umum 2018, yang pertama bagi parti gah itu yang tidak pernah kalah dalam sejarah 60 tahun negara.

Dalam tempoh beberapa minggu dan beberapa hari lepas sebelum keputusan bersejarah itu, Ketua Hakim Negara dan panel hakim tersebut menolak beberapa permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding yang sudah lama dinantikan itu, yang merupakan peluang terakhir Najib dari segi perundangan untuk mengelak daripada hukuman penjara.

Najib, anak lelaki Perdana Menteri kedua Malaysia iaitu Tun Abdul Razak aktif dalam politik sejak usia muda dan mendapat kejayaan besar yang pertama kira-kira 40 tahun lepas apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Pahang pada 1982 semasa berumur 29 tahun. Beliau menjadi Perdana Menteri keenam Malaysia pada 2009 dan menyandang jawatan itu sehingga 2018.

‘Saya tidak mendapat perbicaraan yang adil’

Sebelum mahkamah mengumumkan keputusan rayuan itu, Najib memaklumkan bahawa beliau merasakan tidak dilayan secara adil.

“Saya tidak pernah diberi peluang untuk memberikan penjelasan atau ditanya mengenai situasi yang membawa kita ke sini,” kata Najib ketika membacakan pernyataan beliau kepada mahkamah.

“Dikatakan bahawa tertuduh adalah orang paling penting dalam mahkamah jenayah namun saya berasa dianiaya dan saya rasa perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya. ...Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” katanya.

Terdahulu, keluarga dan sekutu politik Najib mengiringi beliau ke Mahkamah Persekutuan manakala beratus-ratus penyokongnya berhimpun di luar bangunan mahkamah dengan sesetengah daripada mereka melaungkan “Allahu Akbar” dan “Keadilan untuk Najib.”

Selepas keputusan rayuan itu diumumkan, ramai penyokong Najib dilihat menangis.

220823-MY-Najib-penyokong.jpeg

Penyokong Najib Razak berkumpul di luar bangunan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 23 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

“Keyakinan terhadap badan kehakiman akan meningkat”

Para pemerhati politik dan ahli politik pembangkang menyifatkan keputusan itu sebagai satu demonstrasi kebebasan badan kehakiman Malaysia meskipun seorang penganalisis berkata ini bukan satu pengakhiran bagi Najib.

“Kita tidak boleh menolak pengampunan diraja pada masa akan datang,” kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

“Keluarga Najib memegang jawatan sejak turun-temurun di Istana Pahang.”

Begitupun, keadilan telah berjaya ditegakkan “meskipun terpaksa berdepan pelbagai perkara sensitif yang serius dalam kes itu, kata Ramon V. Navaratnam, bekas Presiden Transparency International Malaysia.

“Adalah sesuatu yang wajar dan tepat kedaulatan undang-undang telah diperkukuh. Keyakinan terhadap badan kehakiman akan meningkat dan ekonomi akan mendapat momentumnya semula,” katanya kepada BenarNews.

“Ketua Hakim Negara telah mempamerkan aksi yang cemerlang.”

Pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan untuk semua rakyat Malaysia.

“Hari ini, keputusan Mahkamah Persekutuan juga adalah sayu kejayaan bagi sistem demokratik negara,” menurut Setiausaha Agung DAP Antony Loke dalam satu kenyataan.

“Individu paling berkuasa sekalipun iaitu Perdana Menteri, boleh ditumbangkan oleh rakyat dan berdepan penghakiman mahkamah. [Ini adalah] satu permulaan yang baharu buat Malaysia…”

Dari segi politik, ahli biasa UMNO akan mengalami sedikit kejutan buat sementara waktu, kata ahli akademik Tunku Mohar.

“Implikasi langsung politik ialah kejatuhan moral dalam kalangan penyokong Najib dan UMNO,” katanya.

“Bagaimanapun, kita boleh jangkajan satu naratif bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil yang akan digembar-gemburkan oleh mereka yang bersimpati dengan beliau.”

Sementara itu, Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata UMNO mungkin masih tercari-cari cara untuk memberikan reaksi terhadap keputusan itu.

“Adakah mereka akan terus menyokong Najib ….atau adakah mereka akan meninggalkan beliau, membiarkan beliau dalam kesengsaraan dan meneruskan perjuangan parti seperti biasa?” kata Oh kepada BenarNews.

“Saya rasa mereka belum mempunyai reaksi yang tetap.

Najib bukan satu-satunya ahli dalam keluarga beliau yang berdepan pertuduhan rasuah. Pada 1 Sept ini, keputusan kes rasuah isterinya Rosmah Mansor membabitkan projek solar bernilai berjuta-juta ringgit akan diumumkan.

Selain itu, rakan Najib iaitu Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah jenayah berkaitan yayasan milik keluarga dan skandal rasuah visa luar negara. Kes itu sedang dibicarakan.

Puak UMNO yang disokong oleh Ahmad Zahid menggesa agar pilihan raya kilat diadakan manakala Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menyandang jawatan nombor 3 dalam parti itu, telah menentang gesaan tersebut.

Keputusan pada Selasa mungkin menukar kesemua pendirian ini, kata penganalisis.

Dalam pada itu, Najib turut dibicarakan di mahkamah lain dan berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilon (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB. Beliau juga mungkin berdepan perbicaraan lain atas 10 lagi pertuduhan.

Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah dan Nisha David di Kuala Lumpur, Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.