Perbicaraan Kes Najib Razak Pinda Laporan Audit 1MDB Tetap Bermula Isnin

Noah Lee
2019.11.13
Kuala Lumpur, Malaysia
191113-MY-Najib-Audit.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa tiba di perkarangan komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 11 Nov, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Perbicaraan ketiga melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak berkaitan syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan tetap bermula pada Isnin hadapan, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Ini adalah kali kedua Hakim Mohamed Zaini Mazlan tidak membenarkan permohonan untuk menunda perbicaraan terhadap Najib yang dituduh meminda laporan audit 1MDB.

Bekas perdana menteri itu dituduh bersama dengan ketua pegawai eksekutif syarikat 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bersubahat meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Hakim Mohamed Zaini berkata bahawa beliau merasa berat untuk memberikan sebarang penangguhan perbicaraan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini dengan memberi alasan kesukaran mencari tarikh baru perbicaraan.

"Saya merasa berat untuk memberikan penangguhan. Saya berpendapat bahawa jika saya mengosongkan tarikh-tarikh ini (yang telah ditetapkan untuk perbicaraan Najib), ia akan menyukarkan saya untuk mencari tarikh baru," kata Hakim itu.

Kali pertama Mohamed Zaini membuat keputusan penanguhan berhubung kes tersebut adalah pada Oktober lalu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim memohon penangguhan kes laporan audit itu kerana khuatir ianya akan bertembung dengan perbicaraan kes utama 1MDB yang sedang berjalan.

Mohamed Zaini pada April lepas, telah menetapkan tarikh berlangsungnya perbicaraan iaitu antara 18 dan 29 November, serta disambung pada 13 dan 17 Januari tahun hadapan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram telah memaklumkan pada mahkamah bahawa mereka berharap agar perbicaraan itu dapat ditunda kerana Najib sedang menghadapi beberapa perbicaraan dalam tempoh masa yang sama.

Selain perbicaraan kes 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, Sri Ram berkata Najib juga terikat dengan perbicaraan kes SRC International yang akan memasuki fasa seterusnya di mana ahli politik itu telah diarahkan untuk membela diri selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie dalam kes mereka.

SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia diambil alih secara terus oleh syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), iaitu syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut Sri Ram, pihak pendakwaan juga berkongsi saksi utama yang sama bagi kes 1MDB dan kes meminda laporan audit itu, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol adalah merupakan saksi pendakwaan yang kesembilan di dalam perbicaraan kes 1MDB yang telah bermula pada 27 Ogos lalu.

Sri Ram berkata Shahrol masih di dalam fasa memberikan keterangan bersumpah terhadap Najib di hadapan Hakim Collin, dan keterangan daripada beliau adalah penting bagi kes pihak pendakwaan dalam perbicaraan tersebut serta kes pindaan laporan audit.

"Saya tidak boleh meneruskan (kes ini) kerana saksi saya masih menjalani pemeriksaan balas (oleh peguambela Najib). Saya perlu selesaikan (keterangan Shahrol dahulu) kerana hanya beliau yang boleh menerangkan apa yang terjadi.

"Bukti daripadanya adalah amat penting dan kritikal untuk pihak pendakwaan," kata Sri Ram.

Selain itu, tambah Sri Ram yang juga merupakan seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Najib turut menghadapi satu lagi perbicaraan jenayah berkaitan enam pertuduhan pecah amanah bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Perbicaraan itu juga akan didengar oleh Hakim Mohd Nazlan dan telah ditetapkan untuk berjalan selama 48 hari bermula 6 Januari 2020, katanya.

Namun, menurut Sri Ram lagi, Hakim Mohd Nazlan sebelum ini telah memberikan indikasi bahawa beliau bersedia untuk mengosongkan tarikh-tarikh berkenaan untuk sesi bela diri Najib bagi kes SRC.

"Shafee juga telah memberikan petunjuk kepada saya dan Sitham serta peguam negara bahawa kes pembelaan Najib mungkin akan berlanjutan hingga bulan April (2020) bagi kes SRC," kata Sri Ram, merujuk kepada peguambela Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya kes SRC, V Sithambaram.

Pada Disember tahun lepas, Najib telah dituduh menggunakan jawatannya yang berkait 1MDB untuk menerima rasuah dalam bentuk perlindungan daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah terhadapnya dengan mengarahkan supaya pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara 22 dan 26 Februari 2016 di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Sementara itu, seorang lagi peguambela Najib, Muhammad Farhan Shafee, turut memaklumkan kepada Hakim Zaini mengenai kegusaran pihak mereka berkenaan tarikh perbicaraan dalam bulan November.

Katanya, mereka khuatir dengan jangkamasa yang begitu padat jika perbicaraan itu dimulakan, pihak pembelaan Najib tidak dapat membuat persediaan yang mencukupi untuk pembelaannya dalam kes SRC yang telah ditetapkan bermula pada 3 Disember ini.

Hakim itu kemudiannya berkata, "Saya berpendapat bahawa pihak pendakwaan boleh menawarkan saksi-saksi lain (sebelum Shahrol dipanggil). Saya cadangkan pendakwaan berbuat demikian.

"Sekiranya saksi lain telah habis dan tiba giliran untuk Shahrol, kita akan lihat perkara ini pada masa itu," kata Hakim Mohamed Zaini.

Mengenai kegusaran pihak pembelaan pula, hakim berkenaan memberitahu Muhammad Farhan supaya menunggu hasil pengurusan kes SRC di hadapan Hakim Nazlan pada Jumaat ini, bagi mendengar permohonan pembelaan dalam mendapatkan dokumen-dokumen untuk persiapan kes pembelaan mereka.

Hakim Mohamed Zaini berkata pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan jika pihak pembelaan Najib mendapati mereka memerlukan lebih masa.

Najib sedang berdepan dengan 42 pertuduhan jenayah terhadapnya, termasuk kes meminda laporan audit 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.