Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Pulangkan Barangan Mewah Yang Dirampas Daripada Najib

Kerajaan gagal buktikan pembelian barangan terbabit mempunyai kaitan dengan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB, kata hakim.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.11.08
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Pulangkan Barangan Mewah Yang Dirampas Daripada Najib Amar Singh Ishar Singh (tengah) yang ketika itu adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia bersama beberapa pegawai polis memaparkan gambar barangan yang dirampas semasa serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak di Kuala Lumpur, 27 Jun 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Malaysia memerintahkan kerajaan pada Isnin memulangkan pelbagai barangan mewah seperti beg dan jam tangan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa siasatan berhubung skandal 1MDB pada 2018 manakala Jabatan Peguam Negara berkata ia akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Kerajaan, dalam usaha mengambil alih pemilikan ratusan kotak barangan kemas dan pelbagai barangan mewah lain yang dirampas semasa serbuan polis di beberapa kediaman yang dikaitkan dengan keluarga Najib di ibu negara, telah gagal membuktikan ia dibeli menggunakan wang yang dialih daripada dana 1Malaysia Development Berhad.

“Pemohon [kerajaan] hanya menyenaraikan aset yang dirampas serta nilainya dan membuat kesimpulan bahawa responden tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki barangan terbabit berdasarkan pendapatan mereka,” kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa membacakan penghakimannya yang merujuk kepada Najib, isteri dan anak-anak mereka.

“Adalah jelas bahawa pemohon membuat kesimpulan ini berdasarkan andaian. Ini tidak mencukupi kerana mereka perlu dibuktikan secara berwibawa kaitan langsung antara wang yang diperoleh secara haram dengan wang tunai yang ditemukan serta barangan yang dibeli.”

Keputusan terkini Mahkamah Tinggi itu adalah satu lagi tamparan terhadap usaha mendapatkan semula berjuta-juta dolar dana yang didakwa diseleweng oleh Najib, yang telah pun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram dalam kes berkaitan anak syarikat dana negara 1MDB.

Pada Mei lepas, seorang lagi hakim membuat keputusan menolak dakwaan kerajaan bahawa wang tunai yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Najib mempunyai hubungan dengan dana 1MDB yang diseleweng.

Pada Isnin juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan agar memulangkan sebuah banglo di Pulau Pinang bernilai AS$3.6 juta yang dirampas daripada Jho Low, pembiaya kewangan dalam buruan yang turut dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, serta wang tunai daripada tiga akaun banknya. Hakim berkata kerajaan juga gagal membuktikan kaitan antara aset itu dengan kes 1MDB.

Sementara itu, agensi berita nasional Malaysia iaitu Bernama melaporkan bahawa menurut Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Putrajaya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pihak pendakwaan Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014 dalam skandal kewangan yang membabitkan institusi kewangan asing dan tempatan serta pegawai atasan termasuk Najib.

Najib, pemimpin berpengaruh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, mengasaskan 1MDB, dana pembangunan negara pada 2009 sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau didakwa melakukan penyelewengan itu dalam tempoh sembilan tahun menjadi Perdana Menteri keenam Malaysia, kata pihak pendakwaan.

Jumlah aset yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Najib pada 2018 bernilai kira-kira AS$223 juta. Ia termasuk 12,000 unit barangan kemas, 284 buah beg tangan, 423 utas jam tangan dan 234 unit cermin mata hitam.

Turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM114 juta dalam 26 mata wang berbeza dan jumlah keseluruhan rampasan ialah antara RM900 juta (AS$216 juta) hingga RM1.1 bilion (AS$264 juta).

Bulan lepas, rakyat Malaysia menerima kejutan dan terperanjat apabila mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk ke Singapura bagi menyambut kelahiran cucunya walaupun beliau telah disabitkan dengan kesalahan rasuah berkaitan anak syarikat 1MDB pada 2020.

Bekas PM itu mengemukakan rayuan berhubung sabitan tersebut dan sedang dibicarakan bagi kes kedua yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Bagi kes ini, Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang lesap daripada 1MDB.

Isterinya, Rosmah Mansor - yang dikatakan adalah pemilik 248 beg tangan mewah kebanyakannya daripada jenama Hermès - juga dibenarkan ke Singapura sedangkan beliau berdepan perbicaraan kes rasuah berkaitan kelulusan projek tenaga solar membabitkan sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini merupakan perjalanan pertama Najib ke luar negara sejak pihak berkuasa bertindak merampas pasport dan melarang beliau meninggalkan Malaysia selepas UMNO, parti yang memerintah negara itu lebih 60 tahun, tumbang pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, UMNO kembali berkuasa sejak Ogos selepas dua kerajaan gabungan yang memerintah, satu dipilih manakala satu lagi tidak dipilih, tumbang secara berturut-turut.

Dalam catatan di laman Facebooknya yang popular, Najib meraikan kemenangan terbaharu itu dengan mendakwa ia telah membebaskan beliau daripada tuduhan yang menyifatkan beliau sebagai seorang pencuri.

“Kami menang lagi pagi tadi,” tulis bekas Perdana Menteri itu.

“Terbukti sekali lagi bahawa propaganda pihak sebelah sana bahawa Najib penyamun yang samun duit untuk beli cincin, barang mewah dan sebagainya adalah fitnah.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.