Bekas PM Malaysia Najib failkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan
2022.09.07
Kuala Lumpur
Bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dipenjarakan telah meminta mahkamah tertinggi Malaysia menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan hukuman kes rasuahnya, dan mendakwa ia adalah salah laku keadilan, dengan seorang peguam memberitahu BenarNews semakan semula itu tidak dianggap rayuan dan hukuman penjara masih kekal.
Permohonan notis usul semakan oleh Najib dibuat melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang telah dilantik semula selepas digugurkan sebagai peguam utama dalam perbicaraan rayuan berhubung hukuman dan denda terhadap Ahli Parlimen Pekan itu pada Selasa
“Mahkamah Persekutuan hanya akan membenarkan semakan dalam kes-kes yang sangat jarang berlaku,” kata peguam Akberdin Abdul Kader kepada BenarNews, sambil menambah semakan semula tidak dianggap rayuan, sekaligus bermakna Najib terus kekal di penjara sementara mahkamah mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan permohonan yang difailkannya pada Selasa itu.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas telah mengekalkan sabitan Najib, 69, dalam kes berkaitan anak syarikat 1MDB (1Malaysia Development Berhad) iaitu SRC International dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, yang telah disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau secara haram telah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International.
Dalam pada itu, peguam Rahmat Hadzlan dari firma guaman Tetuan Shafee & Co semasa dihubungi BenarNews telah mengesahkan tentang permohonan notis itu dengan berkata “semakan tersebut difailkan kira-kira jam 4 petang pada 6 Sept.”
Menerusi permohonan berkenaan, Najib memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon rayuan supaya didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan.
Peguam Akberdin dalam penjelasan lebih lanjut berkata di bawah Seksyen 137 Akta Mahkamah Kehakiman, seseorang tertuduh yang kalah dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan boleh memohon untuk menyemak semula keputusan awal di hadapan panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.
“Ini atas alasan keputusan awal itu pada asasnya cacat atau tercemar disebabkan ketidakwajaran prosedur atau kegagalan untuk mematuhi proses yang sewajarnya,” katanya kepada BenarNews.
Najib, yang merupakan pemimpin kanan UMNO, telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, atas alasan ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB menerusi syarikat palsu kepada para pegawai yang korup dan sekutu mereka, menurut Jabatan Keadilan AS.
Skandal 1MDB telah menyebabkan UMNO kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 2018, yang pertama buat parti lama yang ulung serta tidak pernah tewas dalam sejarah pembentukan Malaysia selama 60 tahun.
Pada 21 Ogos, Najib melalui peguamnya memohon Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International berkenaan.
Peguam utama beliau pada masa itu, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan bahawa pihaknya memfailkan permohonan memohon supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir bekas perdana menteri tersebut.
Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati permohonan tersebut gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah sambil menegaskan bahawa permohonan berkenaan mesti menunjukkan kenyataan oleh pihak ketiga yang boleh menjejaskan penemuan mahkamah.
"Saya tidak nampak sebarang bahaya berat sebelah yang mencukupi untuk saya menarik diri," ujar Ketua Hakim itu.
Najib juga berkata yang beliau benar-benar percaya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya perlu disemak dan diketepikan dengan beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
"Saya benar-benar percaya dan dinasihatkan peguam bahawa keputusan ini perlu disemak kerana saya dinafikan kebebasan asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui prinsip perbicaraan adil," katanya melalui permohonan mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat pada Isnin mengesahkan yang Najib telahpun memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pengampunan diraja adalah satu-satunya cara Najib membebaskan diri selepas beliau menggunakan semua kaedah perundangan dan gagal dalam rayuan terakhirnya berhubung sabitan dalam kesnya itu.
Najib akan kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga Yang di-Pertuan Agong memutuskan petisyen pengampunan yang difailkan beliau, demikian menurut Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.