Malaysia Mahu Sita Barangan Rampasan Najib

Hadi Azmi & Ali Nufael
2019.05.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190508-MY-Najib-1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak (kanan) berbual dengan seorang penyokongnya semasa waktu rehat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 7 Mei 2019.
[AP]

Kerajaan Malaysia mahu menyita secara sah wang tunai dan barangan bernilai 720 juta ringgit (AS$173 juta) yang dirampas pihak berkuasa dalam beberapa serbuan tahun lalu yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap skandal rasuah 1MBD, kata polis pada Rabu.

Pendakwa raya telah memfailkan notis usul mahkamah bagi mendapatkan perintah membenarkan kerajaan untuk secara sah menyita wang tunai, hartanah dan barangan seperti beg tangan mewah yang didakwa diperoleh dengan wang yang dicuri daripada dana negara, kata seorang pegawai kanan polis kepada BeritaBenar.

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan kebenaran untuk menyita ratusan barang itu secara sah, kata Khalil Azlan Chik, Ketua Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram Polis DiRaja Malaysia.

"Berdasarkan laporan yang diterima polis, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan usul dan afidavit sokongan kepada mahkamah pada Selasa," kata Khalil kepada BeritaBenar. "Jumlah nilai barangan tersebut dianggarkan 720 juta ringgit."

Barangan itu termasuk beberapa beg yang penuh dengan wang tunai dan kotak-kotak mengandungi barangan amat bernilai yang dirampas polis dalam serbuan tahun lepas di beberapa kediaman dan alamat di Kuala Lumpur yang berkaitan dengan bekas perdana menteri itu dan isterinya, Rosmah Mansor.

Agensi berita kerajaan, Bernama, melaporkan bahawa notis usul itu menamakan Najib sebagai responden pertama, diikuti oleh Rosmah, anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz dan anak-anaknya dengan Rosmah serta beberapa individu lain.

Khalil berkata tindakan memfailkan notis usul itu di mahkamah dibuat susulan serbuan pada Jun 2018 di beberapa kondominium mewah dan pejabat di mana pihak berkuasa merampas barangan mewah yang pada mulanya dianggarkan bernilai sehingga AS$273 juta.

"Langkah pertama, aset dibekukan, kemudian ia disita. Jadi, kini proses penyitaan dibuat melalui mahkamah," kata Khalil. "Ini bermakna, jika mahkamah menerima usul itu, semua barangan tersebut tidak lagi dimiliki secara sah oleh Najib dan Rosmah."

Serbuan polis itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kehilangan berbilion ringgit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana pelaburan negara yang diasaskan oleh Najib pada 2009 kononnya untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Pendakwa raya Amerika Syarikat berusaha mendapatkan semula aset berjulah AS$1.7 bilion yang didakwa diselewengkan oleh Najib dan rakan-rakannya dari dana negara itu.

Antara barang berharga yang dirampas polis dalam serbuan itu ialah 12,000 unit barang kemas, wang tunai pelbagai matawang berjumlah 117 juta ringggit (AS$29 juta), beg tangan mewah dan sejumlah besar jam tangan berjenama buatan Switzerland.

Pihak berkuasa tidak menemui berlian berwarna merah jambu seberat 22 karat yang bernilai AS$27.3 juta yang, menurut pendakwa raya AS, dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Maklumat berhubung tindakan memfailkan notis usul itu di mahkamah diketahui apabila sumber di dalam jabatan polis memaklumkannya pada Selasa kepada The Edge Markets, iaitu penerbitan yang memberi tumpuan kepada dunia perniagaan tempatan.

Najib, yang menghadapi 42 pertuduhan jenayah yang berkaitan dengan penyelewengan 1MDB, pada Rabu mengecam tindakan memfailkan notis usul itu di mahkamah dengan menyatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai alasan untuk menahan barang-barang yang dirampasnya.

"Tempoh rampasan itu akan luput 10 hari lagi pada 18 Mei, di mana selepas tarikh itu, mengikut undang-undang, semua barangan yang dirampas perlu dikembalikan jika pihak berkuasa gagal untuk membuktikan pembeliannya menggunakan dana haram dan tidak membuat pertuduhan terhadap pemilikan barangan terbabit," kata Najib dalam catatan Facebook.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap beberapa pertuduhan jenayah terhadapnya. Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum penjara selama berpuluh tahun dan didenda sehingga berjuta-juta dolar.

Peguam mahu cabar usul di mahkamah

Peguam Najib, Shafee Abdullah, pula berkata pihaknya akan mencabar tindakan kerajaan untuk melucutkan hak barangan itu.

"Saya fikir mereka (kerajaan) tidak boleh melakukannya. Saya rasa mereka tergesa-gesa melakukan segala-galanya, "kata beliau kepada pemberita.

Notis usul itu difailkan pada hari sama semasa pihak berkuasa mengumumkan bahawa Washington telah mula memulangkan kepada Malaysia aset rampasan bernilai hampir AS$200 juta yang  dikaitkan dengan 1MDB.

Kerajaan mempunyai kuasa untuk melucut hak barangan rampasan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, kata pakar undang-undang Amir Faliq kepada BeritaBenar.

"Pihak pendakwaan perlu memuaskan hati pihak mahkamah dengan memastikan bahawa kesemua barang rampasan adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

"Jika mahkamah berpuas hati, maka hanya barangan rampasan yang akan diperintah untuk dilucut hak."


Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.