Ubahsuai Laporan Audit, Najib Razak Ditahan SPRM

Noah Lee & Hadi Azmi
2018.12.10
Kuala Lumpur, Malaysia
181210-MY-Najib1000.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba di komplek Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 17 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Abdul Razak pada Rabu ditahan selama beberapa jam dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah Malaysia [SPRM] berhubung dakwaan salahguna kuasa dalam laporan audit kerajaan mengenai syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad, demikian menurut sumber.

"Beliau (Najib) dipanggil untuk memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Ini berkaitan dengan kes laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB yang dikatakan telah diubahsuai," kata sumber SRPM kepada BeritaBenar.

Sumber itu memberitahu, Najib turut ditahan oleh pihak berkuasa anti rasuah negara pada Isnin berhubung dengan kes laporan audit, tetapi dibebaskan dengan jaminan beberapa jam kemudian.

Penahanan Najib selama beberapa jam disahkan oleh seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberitahu Berita Benar pada Isnin bahawa bekas perdana menteri itu ditahan selepas diminta hadir ke ibupejabat badan pencegahan rasuah di pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya untuk memberi keterangan pada jam 11 pagi.

Perkara yang sama juga disahkan oleh seorang jurucakap SPRM ketika dihubungi BeritaBenar.

Jurucakap berkenaan yang enggan dinamakan berkata Najib walaubagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan, pada kira-kira pukul 1.20 petang selepas penyiasat selesai merekodkan keterangannya.

Sumber agensi itu juga berkata bahawa Najib akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada Rabu. Mengikut akta terbabit, Seksyen 23 adalah berkait dengan kesalahan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan bagi mendapatkan keuntungan.

Bekas CEO 1MDB akan didakwa

Selain Najib, sumber itu memberitahu, turut akan didakwa adalah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda di bawah kesalahan yang sama.

"Arul Kanda dijangka akan ditahan SPRM pada esok (Selasa) sebelum dituduh bersama Najib pada Rabu," kata sumber itu.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada tokoh korporat itu akan ditahan semalaman atau turut diberikan jaminan seperti Najib.

Isu pemindaan laporan itu terbongkar selepas Ketua Audit Negara, Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan bahawa Najib dan beberapa orang lagi bertanggungjawab meminda kandungan laporan itu pada 2016.

Laporan itu dipinda, antara lain dibuat bagi mengeluarkan nama ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, daripada laporan itu.

"Seterusnya pada 26 Februari 2016, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri itu telah mengarahkan bekas Pengarah Audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar belit oleh pihak pembangkang," kata Madinah di dalam kenyataan itu.

Sumber memberitahu BeritaBenar bahawa kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 23 mengenai salahguna kuasa untuk mengaut keuntungan walaupun ia tidak membabitkan rasuah berbentuk wang ringgit atau barangan.

Katanya, ini kerana keuntungan dalam kes tersebut ialah bagi mengelakkan Najib daripada dikenakan tindakan undang-undang dengan mengeluarkan sesuatu maklumat penting dari laporan terbabit.

Jika disabitkan kesalahan, Najib berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan selama 20 tahun dan didenda sebanyak RM10,000 atau lima kali ganda dari jumlah keuntungan.

Najib sehingga kini sudah berdepan dengan 38 pendakwaan rasuah dan salahguna kuasa bersabit 1MDB dan anak syarikat firma pelaburan milik negara itu manakala isteri beliau Rosmah Mansor pula turut didakwa dengan 19 pertuduhan jenayah termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli perniagaan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho yang dikatakan rapat dengan Najib sebelum ini, pada 4 Disember lalu telah didakwa secara “absentia” atas kesalahan pengubalan wang haram bersama empat lagi individu.

Jho Low didakwa dengan lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Beliau didakwa menerima AS$1.03 bilion (RM4.13 bilion) daripada 1MDB menerusi syarikatnya, Good Star Ltd dan berdepan dengan dua lagi pertuduhan bersama Tan Kim Loong, 40, di bawah Akta yang sama melibatkan AS$1.26 juta (RM5.21 juta).

Tang Keng Chee, 53, yang merupakan pegawai 1MDB turut menghadapi tiga pertuduhan- dua di bawah Seksyen 4(1)(a) Amla kerana didakwa menerima AS$6.7 juta (RM27.7 juta) dan satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana memindahkan AS$700 juta (RM2.89 bilion) daripada 1MDB kepada Good Star Ltd.

Manakala seorang lagi pegawai 1MDB, Loo Ai Swan, 45, didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Amla kerana menerima AS$6 juta (RM24.8 juta).

Individu kelima, Geh Choh Heng, 47, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana didakwa memindahkan AS$125 juta (RM516.5 juta) daripada 1MDB kepada Good Star Ltd.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara September 2009 dan Julai 2014.

Selain dari SPRM, pihak Polis DiRaja Malaysia turut membuka kes bagi menyiasat penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa berkaitan 1MDB.

Kes berprofil tinggi ini merupakan salah satu isu yang diberikan keutamaan oleh kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan selepas ia memenangi PilihanRaya Umum yang ke 14 pada 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri Najib sehingga kini menafikan segala dakwaan yang dilontarkan terhadap beliau berkaitan 1MDB.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.