Follow us

Mahkamah Tetapkan 3 April Tarikh Perbicaraan Kes Bekas PM Malaysia

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-28
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak berjabat tangan dengan penyokongnya semasa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 28 Mac, 2019.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak berjabat tangan dengan penyokongnya semasa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 28 Mac, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Setelah beberapa kali ditangguhkan, perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak ditetapkan pada 3 April ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus membolehkan beliau untuk mempertahankan diri secara rasmi terhadap pertuduhan melakukan penyelewengan dana negara, 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Perbicaraan kes Najib yang dinanti-nantikan itu pada mulanya dijadualkan bermula bulan lepas tetapi ditangguhkan dua kali selepas pasukan peguam bela beliau mengemukakan rayuan.

Mahkamah Tinggi pada Khamis mengeluarkan tarikh baru itu sehari selepas panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perbicaraan itu boleh diteruskan.

"Kami akan mengambilnya dari sini," kata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali semasa beliau  menetapkan tarikh perbicaraan itu, yang dijadula bermula pada 2 petang Rabu depan.

Najib, 65, pernah dianggap sebagai orang yang paling berpengaruh di Malaysia tetapi pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, yang diasaskannya pada 2009 sebagai enjin untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, turut menyumbang kepada kekalahan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajuinya sebelum ini pada pilihan raya umum tahun lepas, demikian kata penganalisis.

Pada perbicaraan itu, Najib menghadapi tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 42 juta ringgit [AS$10.3 juta] yang didakwa didepositkan ke akaun bank peribadinya oleh SRC International, anak syarikat 1MDB.

Jumlah itu lebih kecil berbanding dengan AS$4.5 bilion yang dipertikaikan oleh para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat [DOJ], yang menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk setakat ini", dengan dana kekayaan itu telah dimasukkan ke dalam akaun Najib, keluarga dan kawan-kawannya.

Sejak beliau didakwa di mahkamah pada Julai tahun lepas, dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan telah berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung isu 1MDB dan menegaskan yang beliau tidak pernah mencuri wang rakyat Malaysia.

Dalam satu temu bual dengan agensi berita Reuters pada Jun tahun lepas, Najib berkata beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah daripada 1MDB.

Pendakwa raya AS mendakwa dalam tuntutan sivil bahawa "tahap penipuan luar biasa" telah berlaku apabila pegawai-pegawai 1MDB dan rakan-rakan mereka akhirnya mengalihkan lebih daripada AS$730 juta ke akaun bank peribadi "Pegawai Malaysia 1," yang menurut sumber BeritaBenar adalah merujuk kepada Najib .

Jho Low dan Equanimity

Pada November tahun lepas, pihak berkuasa AS mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap pembiaya kewangan yang dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low dan bekas pegawai bank Goldman Sach Tim Leissner dan Roger Ng.

Leissner mengaku bersalah terhadap pertuduhan konspirasi melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang haram, serta bersetuju untuk melucut hak terhadap wang berjumlah AS$43.7 juta, kata para pegawai.

Ng pula telah ditangkap di Malaysia tetapi Jho Low masih menjadi buruan pihak berkuasa.

Jabatan Kehakiman AS juga mendakwa dalam tuntutannya bahawa Jho Low telah menggunakan wang yang dicuri itu untuk membeli berlian berbentuk jantung bernilai AS$1.29 juta dan loket berlian berharga AS$3.8 juta yang diberikannya kepada pelakon Miranda Kerr pada 2014.

Jabatan itu juga mendakwa bahawa Jho Low telah memberikan lukisan Picasso bernilai AS$3.2 juta kepada pelakon Leonardo DiCaprio yang memainkan peranan utama dalam filem "The Wolf of Wall Street," iaitu sebuah filem yang didakwa dibiayai dengan menggunakan dana 1MDB.

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia pada Khamis mengumumkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah 14.2 juta ringgit (AS$3.5 juta) untuk kapal layar mewah milik Jho Low yang disita Putrajaya tahun lalu.

Kapal layar Equanimity yang seluas 300 kaki itu, yang bernilai AS$250 juta, gagal dijual pada lelongan yang dibuat hampir tiga bulan selepas Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada Malaysia.

Pihak berkuasa Indonesia dan Amerika Syarikat menahan kapal layar itu, yang mengibarkan bendera Kepulauan Cayman, ketika ia berlabuh di luar pulau Bali di Indonesia pada Februari tahun lepas, setelah sebuah mahkamah Malaysia memberi kebenaran supaya ia dijual dua bulan lalu.

Pada 15 Jun, 2017, Amerika Syarikat memfailkan saman tuntutan sivil terhadap kapal itu dengan mendakwa Jho Low telah membelinya dengan harga AS$250 juta menggunakan wang yang "dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB.

Kapal layar itu, yang mempunyai pad helikopter, spa dan bilik untuk 22 tetamu, kini berlabuh di pulau  Langkawi. Jumlah 14.2 juta ringgit yang dibelanjakan itu adalah kos untuk penyelenggaraan, pembaikan, bahan api, yuran guaman, insurans dan kos proses jualan kapal layar tersebut, kata Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat pada Khamis.

Jho Low, yang tidak diketahui keberadaannya, telah berkali-kali menyatakan beliau tidak bersalah melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguamnya. Pendakwa raya menggambarkannya sebagai dalang utama dalam kecurian 1MDB, yang dilihat sebagai antara skandal kewangan terbesar di dunia.

Lihat Laman Penuh