Najib PM Pertama Malaysia Berdepan Undi Tidak Percaya
2015.10.19
Kemaskini pada 1.30 petang, ET - 2015-10-23
Najib Razak, anak kepada Perdana Menteri kedua Malaysia, Abdul Razak Hussein, kini berdepan dengan cabaran sebagai Perdana Menteri ke-enam Malaysia sejak April 2009, apabila Dewan Rakyat kembali bersidang pada Isnin dan berdepan dengan usul tidak percaya.
Permohonan pembangkang untuk membentangkan usul undi tidak percaya itu berikutan kontroversi derma politik berjumlah RM2.6 billion (US$700 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Selain isu tersebut, Najib juga dikaitkan dengan skandal hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencecah RM40 billion serta memecat timbalannya Muhyiddin Yassin dalam rombakan kabinet pada Julai lalu kerana bersuara lantang terhadap kontroversi melibatkan 1MDB.
Usul itu dikemukakan oleh ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hey Loy Sian dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia melalui pelbagai rintangan kerana dipertikaikan oleh pihak pembangkang sendiri, selain oleh peraturan mesyuarat Dewan Rakyat mengenai usul - menjadikan peluang untuk usul tersebut dibincangkan pada sesi kali ini agak tipis.
Walapun demikian. ia berjaya melepasi ujian pertama dan diletakkan ke dalam senarai ke-25.
Usul tidak percaya terhadap mana-mana Perdana Menteri tidak pernah berlaku di Dewan Rakyat sebelum ini.
Perdana Menteri ke-empat Mahathir Mohamad adalah antara pengkritik yang paling lantang dalam mendesak Najib untuk berundur, dan menyifatkan proses undi tidak percaya sebagai satu amalan demokrasi.
Mahathir menegaskan, walaupun Parlimen mungkin tidak mempunyai peruntukan bagi mengadakan undi tidak percaya tetapi terdapat peruntukan mengenai perkara itu di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Perlembagaan Persekutuan (Perkara 43 (4)) memperuntukkan, jika seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen, beliau perlu meletak jawatan," katanya menerusi catatan blognya chedet.cc pada 30 September lalu.
‘Perpaduan di persoalkan’
Di sebalik kritikan keras terhadap Najib dan desakan supaya dia berundur, gabungan pembangkang didakwa gagal menunjukkan kesepaduan dalam tindakan mereka apabila timbul perbalahan dalam Pakatan Harapan yang baru dibentuk itu mengenai siapa yang sepatutnya memfailkan usul tidak percaya tersebut.
Perbalahan tercetus apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mahukan Loy Sian menarik balik usul tersebut sambil menegaskan ia seharusnya difailkan oleh Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang.
Hee enggan tunduk kepada tekanan dari Lim atas alasan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukan ketua partinya, sekaligus memaksa pemimpin-pemimpin DAP dan PKR untuk ke meja rundingan.
Pada Isnin petang, Pakatan Harapan bersetuju supaya usul tidak percaya terhadap Najib difailkan oleh Wan Azizah, yang juga isteri kepada bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Azizah berkata, Hee perlu menarik kembali usul tidak percaya yang dibawanya dan harus memberi laluan kepada Pakatan Harapan untuk memfailkannya.
"Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, apabila usul tersebut difailkan maka kita perlu tunggu notis 14 hari untuk tahu ia diterima atau tidak," katanya kepada media di lobi Parlimen pada Isnin.
Wan Azizah berkata, Pakatan Harapan juga akan berunding dengan bekas rakannya dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, parti Pas untuk mendapatkan sokongan dari wakil parti Islam itu di dalam Dewan Rakyat.
Percanggahan berhubung siapa yang selayaknya membawa usul tidak percaya terhadap Najib itu membayangkan perbalahan pandangan di antara dua aliran di dalam PKR.
Kumpulan pertama ingin meneruskan usul tidak percaya terhadap Najib manakala kumpulan lain mahukan Najib kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 supaya lebih mudah gabungan Harapan Rakyat mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN) yang bertahan sebagai kerajaan pusat sejak kemerdekaan pada tahun 1957.
Ketika diminta mengulas tentang usul tidak percaya terhadapnya, Najib hanya tersenyum kepada pihak media tanpa memberi sebarang komen.
‘Permainan nombor’
Dalam pada itu, Dewan Rakyat juga buat pertama kalinya bersidang dengan perubahan ketara di sebelah pihak kerajaan apabila Muhyiddin tidak lagi duduk di sebelah Najib, seperti mana persidangan terakhir pada Julai lalu.
Muhyiddin, ahli Parlimen Pagoh, juga Timbalan Presiden parti UMNO (United Malays National Organisation) yang menjadi parti tulang belakang Barisan Nasional, berubah tempat ke bahagian 'backbencher' (penyokong kerajaan).
Turut berubah tempat adalah ahli Parlimen Semporna, Mohd Shafie Apdal, antara menteri yang digugurkan berikut rombakan Kabinet secara mengejut oleh Najib pada Julai lalu.
Mengulas mengenai usul tidak percaya yang dikemukakan oleh Hee, Shafie memberi jawapan ringkas kepada media: "Saya ingat itu kebebasan buat mana-mana pihak dalam Parlimen."
Ketika dikemukakan persoalan yang sama, Muhyiddin enggan mengulas tetapi menegaskan beliau tidak mempunyai masalah diberi kedudukan baru bersama penyokong kerajaan, seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan.
PKR, DAP dan Pas mempunyai 89 ahli Parlimen dan untuk memastikan usul itu diluluskan, mereka perlu bergantung kepada dari sekurang-kurangnya 20 ahli Parlimen daripada BN.
Tugas ini dilihat sebagai suatu misi sukar kerana dalam pada masa yang sama, PKR dan DAP perlu mendapat sokongan kuat dari Pas dan kesemua 21 ahli Parlimen dari parti itu untuk menyokong usul berkenaan selepas perbalahan besar DAP-Pas berhubung isu hukum hudud yang menyaksikan PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Harapan tanpa Pas.
Para pemerhari berpendapat Najib dijangka akan mengukuhkan kedudukannya di kalangan ahli Parlimen BN dengan memberikan peruntukan besar kepada kawasan luar bandar di semenanjung serta Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2016 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini.
‘Derma & 1MDB’
Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.
Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan dan mendapati dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah, tanpa menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang yang memasuki Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Media juga melaporkan bahawa dana 1MDB kini menjadi siasatan antarabangsa di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bulan lepas, The Wall Street Journal turut melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan tentang pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB, namun skop siasatannya tidak diketahui.
Pada 3 Okt lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.
Ketua Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz juga berkata, skandal berterusan 1MDB telah menjerut ekonomi Malaysia dan ia perlu diselesaikan dengan telus, sekiranya negara mahu menyaksikan pemulihan nilai matawang Ringgit. (US$1 bersamaan RM4.350)