Bekas Timbalan Presiden PAS Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah

Ali Nufael
2019.10.22
Kuala Lumpur, Malaysia
191022-MY-Nasharudin-Court1000.jpg Bekas Timbalan Presiden PAS dan juga Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Nasharuddin Mat Isa tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, 22 Oktober, 2019. [S.Mahfuz/BeritaBenar]
Photo: Benar

Bekas ahli tertinggi parti politik Islam PAS yang mengetuai yayasan yang asaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak didakwa dengan kesalahan pengubahan wang haram dan pecah amanah pada Selasa kerana menyalahgunakan wang yang dikhaskan untuk kebajikan bagi kepentingan diri sendiri.

Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Parti Islam Pan-Malaysia didakwa dengan 33 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dan pecah amanah menggunakan wang awam yang diperuntukkan untuk kerja amal bagi tujuan peribadi.

Beliau yang juga bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya melibatkan wang lebih empat juta ringgit (AS$954,996) di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Nasharudin berkot hitam serta berkemeja putih hadir ke mahkamah ditemani oleh isteri dan beberapa saudara terdekat, mengangguk tanda faham serta mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozilah.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, Nasharudin dikatakan telah melakukan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM302,000 (AS$72,102) antara November dan Disember 2018 dan didakwa dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Beliau didakwa memindahkan wang RM302,069 daripada dana yang diterima dari Kementerian Kewangan untuk GMMF ke akaun milik Wassatiyah Centre for Peace, sebuah yayasan yang beliau miliki.

Menurut kertas pertuduhan kesalahan itu dilakukan kira-kira empat bulan selepas pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad memutuskan supaya GMMF yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak itu ditutup.

Bagi 30 pertuduhan pecah amanah dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan pula, Nasharudin didakwa melakukan kesalahan itu antara 2015 dan 2018 di mana tiga daripadanya didakwa dilakukan semasa beliau memegang jawatan ketua pegawai eksekutif GMMF sementara 27 lagi atas kapasitinya sebagai pengerusi sebuah lagi yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Nassar yang jumlah keseluruhannya adalah RM4 juta (AS$1 juta).

Bekas ahli parlimen Bachok di Kelantan itu juga didakwa memindahkan RM20,000(AS$4,774)  daripada wang Yayasan Nassar ke dalam akaun bank miliknya sebagai bayaran gaji pengerusi untuk beberapa kali dari 2015 hingga 2018.

Pada Ogos 2016, beliau turut membayar sebuah syarikat catering RM50,000 (AS$11,937) sewaktu majlis perkahwinan anak lelakinya menggunakan wang milik yayasan tersebut.

Selain itu, Nasharudin juga membayar sebuah syarikat firma guaman sebanyak RM50,000 (AS$11,937) bagi bayaran duti setem kepada firma itu untuk tujuan membeli sebuah unit kedai di Bangi.

Timbalan Pendakwaraya, Mohd Zaki Mohd Salleh meminta mahkamah untuk memberikan jaminan sebanyak RM1 juta ringgit (AS$238,749) bagi kesemua kesalahan yang dilakukan.

Zaki kemudiannya berhujah bahawa nilai jaminan itu adalah setanding dengan jumlah wang yang dipercayai telah diseleweng.

"Sudah terdapat beberapa contoh Yang Arif seperti kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor dimana mahkamah mengenakan jaminan sebegitu tinggi kerana faktor faktor yang serius."

"Kami mengajurkan supaya mahkamah mengenakan RM500,000 untuk kesalahan dibawah AMLA dan RM500,000 untuk kesalahan dibawa kanun keseksaan," kata Zaki.

Walaubagaimanapun, peguam bela, Mat Yunus Shariff berkata bahawa anak guamnya tidak mampu membayar sebanyak itu kerana kesemua wang miliknya sudah dibekukan.

"Semua akaun miliknya dibekukan oleh SPRM. Beliau tidak mempunyai dana yang begitu besar untuk membayar jumlah jaminan."

"Anak guam saya bukanlah seorang yang berisiko dan telah memberikan sepenuh kerjasama sepanjang proses ini."

"Kami meminta RM150,000 sebagai jaminan yang munasabah," kata Mat Yunus.

Hakim Rozilah membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 (AS$19,099 bagi pertuduhan di bawah AMLA, manakala bagi pertuduhan pecah amanah, Nasharudin dibenarkan ikat jamin RM250,000 (US$59,687)dan perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

"Setelah menimbang penghujahan kedua-dua pihak mahkamah dengan ini memerintahkan tertuduh membayar RM80,000 dan RM250,000 untuk AMLA dan pecah amanah," kata hakim itu sambil menetapkan 28 November depan sebagai sebutan kes.

Nasharudin berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan dibawah AMLA.

Bagi tuduhan pecah amanah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 2015, Nasharudin dilantik mengetuai Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global menggantikan Saifuddin Abdullah yang pada ketika itu bertindak keluar daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Tujuan asal penubuhan yayasan itu adalah untuk memperjuangkan idea kesederhanaan melawan ekstremisme.

PAS-UMNO

Nasharudin juga antara tokoh PAS yang sebelum ini dikatakan cuba membawa masuk UMNO sebagai kerajaan campuran (unity government) ke dalam kerajaan negeri Selangor selepas pilihanraya 2008.

Namun beliau serta beberapa pemimpin PAS menafikan dakwaan ini.

Beliau dipecat oleh parti Islam itu selepas mengikuti lawatan bersama Najib ke Gaza pada 2013 dengan alasan kerap tidak hadir mesyuarat dan sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian parti.

Beliau adalah timbalan presiden PAS dari 2005 hingga 2011 dan tewas kepada Mohamad Sabu yang juga anggota PAS sebelum, Mohamad bertindak keluar daripada parti itu dan menubuhan Parti Amanah .

Sebelum didakwa di mahkamah pada Selasa, Nasharuddin terdahulu dipanggil untuk memberi keterangan dan kemudiannya ditahan oleh  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari sebelum kesnya dibawa ke mahkamah bagi melengkapkan proses siasatan terakhir.

Februari lalu, Nasharudin pernah dipanggil SPRM untuk siasatan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta(AS$21.4 juta) yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan semasa soal siasat itu, beliau memberitahu telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan penyata kewangan dan akaun bank milik peribadi dan GMMF yang pernah diterajuinya itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.