Menteri Dalam Negeri pertahankan undang-undang kontroversi SOSMA
2022.12.13
Kuala Lumpur
Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Selasa mempertahankan satu undang-undang keselamatan yang kontroversi di mana ia memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menahan seseorang sehingga 28 hari tanpa bicara, walaupun parti politik diwakilinya sebelum ini telah mengundi menentang cubaan untuk memperbaharui peruntukan berkenaan pada Julai lalu.
Saifuddin Nasution Ismail yang baru dilantik ke jawatan berkenaan pada awal bulan ini berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau SOSMA, merupakan satu undang-undang yang digunakan untuk memastikan keselamatan dan melindungi rakyat negara itu.
“Jika seseorang itu diletakkan dibawah SOSMA, dia boleh melalui semua proses yang dibenarkan di bawah SOSMA, dan pada masa sekarang proses itu dipatuhi…
“Dan jika pada akhirnya dia didakwa setelah siasatan 28 hari dan mahkamah kemudiannya membebaskan, pihak polis patuh dengan keputusan-keputusan mahkamah itu.
“Tetapi asas tindakan SOSMA adalah asas kepada menjaga keselamatan dan ketenteraman awam kerana berasaskan kepada risikan dan bukti yang diperolehi itulah, ia mewajarkan satu tangkapan dibuat.
“Tidak semua tahanan SOSMA berakhir dengan berada dalam penjara sebab proses itu adalah proses yang dipatuhi seperti termaktub dalam Perlembagaan," kata Saifuddin kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata demikian semasa menjawab soalan wartawan apabila ditanya sama ada Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-15 pada November lepas mempunyai rancangan untuk mengkaji semula SOSMA.
SOSMA undang-undang penyediaan langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, di perkenalkan oleh kerajaan perdana menteri Najib Razak pada Jun 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat, yang lebih berbentuk kepada undang-undang pencegahan.
ISA telah dimansuhkan lebih 11 tahun lepas, adalah undang-undang yang dikritik ramai termasuk aktivis hak asasi manusia, peguam serta pemimpin Pakatan Harapan termasuk ada yang pernah ditahan dibawah undang-undang itu, yang dikatakan menzalimi tahanan.
Berdasarkan peruntukan mengikut Subseksyen 4(5), Akta SOSMA itu, telah dinyatakan bahawa "seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan masa tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada dua puluh lapan hari" bagi tujuan menjalankan siasatan.
Akta tersebut juga telah menetapkan bahawa peruntukan bagi Subseksyen 4(5) "hendaklah disemak" setiap lima tahun dan terhenti berkuatkuasa kecuali ia dilanjutkan melalui ketetapan yang dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Ketika sidang Dewan Rakyat pada bulan Julai lalu, parti-parti pembangkang termasuk gabungan Pakatan Harapan yang mana Saifuddin merupakan salah seorang pemimpinnya telah memberikan tentangan hebat terhadap usul dibawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional ketika itu untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta SOSMA selama lima tahun lagi.
Kenyataan mengecewakan
Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri itu telah menerima kritikan keras dari pelbagai kategori masyarakat termasuk ahli keluarga bekas tahanan SOSMA, peguam dan seorang bekas Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan.
Mahathir Rahman, abang kepada seorang bekas tahanan SOSMA berkata, kenyataan Saifuddin itu adalah sesuatu yang amat mengecewakan buat mereka yang menentang akta berkenaan dan menyifatkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan kini tidak mempunyai perbezaan dengan kerajaan terdahulu.
"Sebagai keluarga tahanan SOSMA, kami berasa sangat kecewa dengan YB Senator Parti Keadilan Rakyat kerana mengeluarkan kenyataan yang tak sensitif sebegini.
"Sia sia saja kami mengundi haritu, rupanya sama saja tak ambil peduli macam kerajaan terdahulu. Kami yang teraniaya dan terus dianiaya," menurut ciapan di laman sosial oleh Mahathir, yang juga adalah seorang aktivis dari kumpulan Desak Sampai Mansuh yang memperjuangkan agenda supaya undang-undang pencegahan seperti SOSMA dimansuhkan di Malaysia.
Maria Chin Abdullah, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR dan juga bekas tahanan SOSMA turut lantang menentang peruntukan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara. Maria pernah ditahan pada tahun 2016 tetapi dibebaskan selepas 11 hari dalam tahanan.
Menurut Maria, Saifuddin mempunyai pemahaman yang salah mengenai SOSMA.
Kata Maria, SOSMA membenarkan seseorang individu ditahan tanpa sebarang waran tangkap, sekaligus membuatkan mereka boleh ditahan selama 28 hari untuk siasatan tanpa dibawa ke mahkamah, selain boleh dinafikan daripada berjumpa peguam dan ahli keluarga sekiranya pegawai polis menganggap ia boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
"Jadi ia adalah sesuatu yang salah untuk menyatakan bahawa terdapat proses yang adil (di bawah SOSMA)," kata Maria.
Tambah bekas wakil rakyat itu, SOSMA juga membenarkan saksi memberikan keterangan terhadap seseorang saspek tanpa identiti mereka perlu didedahkan kepada orang yang dituduh dan peguam mereka. Ini menyukarkan seseorang yang dituduh untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan dan menjadikan perbicaraan tidak adil, kata beliau.
"Sementara ia dikatakan bahawa semua proses perundangan diikuti (dalam penggunaan SOSMA), Menteri (Saifuddin) tidak menyedari bahawa prosedur SOSMA menyebabkan dan menginstitusikan ketidakadilan.
"Saya tidak ragu-ragu mengenai keperluan untuk negara mengekang aktiviti pengganas, tetapi malangnya proses di bawah SOSMA menjejaskan hak asasi manusia. Ia juga digunakan bukan hanya untuk kes pengganas tetapi juga pernah digunakan terhadap pendatang asing tanpa dokumen, samseng malah terhadap lawan politik," tegas Maria.
Peguam Edmund Bon pula menyuarakan kebimbangan terhadap jawapan Saifuddin yang menggambarkan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk meneliti semula SOSMA.
"Saya berharap rakan-rakan beliau yang bijaksana di dalam Pakatan Harapan akan memberikan penerangan kepadanya mengenai perjuangan mereka semasa menjadi pembangkang,” kata peguam itu.
Persepsi berbeza
Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melihat kenyataan terbaru oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin itu berkemungkinan dibuat selepas beliau mendapat penerangan daripada polis dan melihatnya daripada perspektif berbeza.
"Melihatkan kenyataan tersebut dibuat selepas beliau bertemu dengan pegawai-pegawai tinggi polis, ia berkemungkinan bahawa beliau telah diberikan taklimat oleh polis mengenai keperluan untuk mengekalkan undang-undang tersebut," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.
"Tetapi, peruntukan dalam SOSMA adalah bertentangan dengan hak asasi manusia, walaupun selepas 28 hari seseorang saspek perlu didakwa di mahkamah atau dibebaskan," tambahnya.
Ahli akademik itu berkata beliau percaya bahawa pendirian terbaru dibuat Saifuddin tidak akan diterima dengan baik oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.
Mohd Mizan Mohammad Aslam, dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata isu sebenar mengenai SOSMA adalah tempoh tahanan selama 28 hari, dan ia merupakan sesuatu yang ditentang oleh pembangkang sebelum ini.
"Sekiranya tempoh tahanan boleh dikurangkan kepada 14 hari seperti apa diminta oleh pembangkang sebelum ini, ia tidak akan menjadi isu lagi. Ia akan menjadi seperti tahanan biasa di bawah undang-undang lain yang digunakan oleh polis," kata Mizan kepada BenarNews.
Sementara beliau percaya bahawa SOSMA diperlukan untuk mengekang elemen dan aktiviti subversif di Malaysia, Mizan berkata kenyataan Saifuddin adalah sesuatu yang dilihat bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan sebelum ini mengenai akta tersebut.
"Sedikit sebanyak, saya setuju perkara ini mungkin akan menyebabkan dilema antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, kerana kebanyakan daripada ahlinya yang kini berada di dalam Jemaah Menteri adalah mereka yang sebelum ini menentang SOSMA, tetapi kini mereka mempertahankannya pula.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut berkongsi pandangan serupa bahawa Saifuddin mungkin membuat kenyataan mempertahankan SOSMA selepas menerima nasihat daripada polis dan ketuanya.
Namun iannya tidak cukup besar untuk mengakibatkan tentangan dari dalam Pakatan Harapan sendiri.
Bekas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada awal tahun ini semasa berucap di Parlimen berkata sejak 2016 hingga Januari 2022, seramai 3,717 suspek telah ditahan dibawah SOSMA atas kesalahan berkaitan pembabitan mereka dalam aktiviti berunsurkan keganasan, penyeludupan manusia, jenayah terancang, dan kesalahan lain yang "kompleks".