Malaysia Tangkap 15 Orang Disyaki Penyokong IS

Hata Wahari
2016.03.24
Kuala Lumpur
160324-my-suspect620 Polis Malaysia membawa salah seorang daripada 15 suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam yang ditahan dalam operasi khas di tujuh negeri sejak Selasa.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia

Lima belas orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS) dan merancang serangan keganasan di Malaysia ditahan dalam serbuan di seluruh negara yang dijalankan selama tiga hari, kata polis pada Khamis.

Empat wanita adalah antara suspek, berusia antara 22 dan 49 tahun, yang ditahan termasuk seorang pegawai polis dan seorang mekanik kapal terbang, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar.

Kesemua 15 yang terlibat dalam aktiviti berkaitan keganasan itu turut berusaha untuk memperoleh bahan kimia bagi membuat bom, mengumpul dana untuk dihantar kepada satu kumpulan militan di selatan Filipina, dan mereka juga cuba membantu dua anggota militan asing memasuki negara lain di Asia Tenggara melalui Malaysia, Khalid berkata.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang kakitangan kerajaan, pekerja swasta, pendakwah, suri rumah dan pelajar," kata Khalid kepada BeritaBenar.

Kesemua 15 ditahan dalam serbuan di tujuh negeri sejak malam Selasa oleh pasukan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, kata Khalid.

Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mana serbuan dilakukan.

Operasi cawangan khas polis itu dibuat di tengah-tengah kemuncak amaran tahap tinggi di Malaysia pada hari sama IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan letupan bom pada hari Selasa, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lebih 270 orang lagi di Brussels, Belgium.

Penangkapan terkini di Malaysia itu membawa kepada seramai 177 orang berada dalam tahanan kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan IS.

Arahan Wanndy

Lewat malam Khamis, Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan mendakwa suspek "mengumpul dana di kalangan penyokong IS di Malaysia yang akan diberikan kepada rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan itu di Syria."

"Mereka juga terlibat dalam penggodaman beberapa laman web yang dimiliki oleh kerajaan dan juga mewujudkan hubungan kerja dengan kumpulan pengganas lain di Asia Tenggara," kata Khalid dalam kenyataan itu.

Suspek telah menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, seorang anak muda Malaysia yang menyertai IS di Syria, kata Khalid.

Pada Februari 2015, Wanndy dan rakan senegaranya Mohd Faris Anuar menjadi tajuk utama di Tanahair apabila mereka dilaporkan membuat rakaman pemotongan kepala seseorang banduan Syria, yang telah disiarkan dalam talian.

Pada November, Faris maut semasa berjuang bersama anggota IS tentera di wilayah Anbar, Iraq.

Sementara itu, pihak berkuasa di Malaysia menuduh Wanndy merekrut rakyat Malaysia secara aktif melalui media sosial untuk menyertai IS di Timur Tengah.

Menurut kenyataan Khalid, kesemua 15 suspek yang ditahan minggu ini juga terlibat dalam merekrut dan menghantar rakyat Malaysia ke Syria. Empat suspek wanita telah merancang untuk menyelinap keluar dari Malaysia untuk menyertai IS. Semua suspek ditahan kerana kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, katanya.

'Bukan spin politik'

Malaysia telah mengeluarkan amaran tahap tinggi sejak IS mendakwa melakukan serangan keganasan di Jakarta yang mengorbankan lapan orang, termasuk empat suspek pada Jan 14 - serangan pertama yang dilakukan oleh kumpulan militan di Asia Tenggara.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli parlimen, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen pada Khamis bahawa rakyat Malaysia perlu mengambil ancaman keganasan serius. Pada awal bulan ini, Zahid mengumumkan bahawa tahun lepas IS telah berikhtiar untuk menculik Perdana Menteri Najib Razak dan pegawai kanan lain.

Sehingga 14 Mac, 162 orang telah ditangkap di negara itu kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan IS, kata Zahid dalam jawapan bertulisnya itu pada Khamis.

"Saya telah beberapa kali membuat kenyataan mengenai bahayanya keganasan dan keselamatan negara. Ia bukan “spin politik” tetapi ia adalah hasil daripada risikan," kata Zahid dalam jawapannya itu.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri berkata bahawa lebih daripada 130 rakyat Malaysia telah pergi ke Iraq atau Syria untuk menyertai IS.

Tetapi pada 5 Mac, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) memetik Pengarah Bukit Aman Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata, seramai 47 rakyat Malaysia pada masa ini berada di kedua-dua buah negara itu dengan 18 lagi telah terbunuh semasa berjuang untuk IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.