Follow us

Mahkamah Malaysia Benarkan Lelaki Korea Utara di Ekstradisi ke AS

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-12-13
E-mel
Komen
Share
Kim Yu Song, kaunselor Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur (kiri) bercakap dengan Jagjit Singh, peguam kepada Mun Chol Myong, rakyat Korea Utara yang berdepan dengan ekstradisi ke Amerika Syarikat, di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 13 Disember, 2019
Kim Yu Song, kaunselor Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur (kiri) bercakap dengan Jagjit Singh, peguam kepada Mun Chol Myong, rakyat Korea Utara yang berdepan dengan ekstradisi ke Amerika Syarikat, di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 13 Disember, 2019
[AFP]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Jumaat memerintahkan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sekatan terhadap Pyongyang, tetapi peguamnya berjanji untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu walaupun berdepan dengan proses undang-undang yang panjang.

Mun Chol Myong, 54, yang tinggal di Malaysia bersama-sama keluarganya selama sedekad, terlibat dalam urusan perniagaan di China, dan telah berada dalam tahanan di Kuala Lumpur sejak ditahan piahk berkuasa Malaysia pada 13 Mei lalu,

Amerika Syarikat telah membuat permohonan terhadap Malaysia dengan meminta lelaki itu diekstradisi atas dakwaan melanggar sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Pyongyang kerana membekalkan barangan mewah ke negara asalnya sendiri.

“Berdasarkan pengakuan secara lisan dan tertulis, mahkamah berpuas hati dan akan membenarkan permintaan ekstradisi oleh pendakwaan," kata Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rohatul Akmar Abdullah sambil menambah. "Tertuduh (Mun) akan dihantar ke penjara sambil menunggu surat perintah daripada menteri untuk membawanya ke [Amerika Syarikat]."

Hakim itu juga memberi Mun dan pasukan peguambelanya 15 hari untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Peguam Mun, yang sebelum ini menyifatkan dakwaan Washington sebagai tidak berasas, berkata mereka akan memfailkan rayuan untuk menyekat ekstradisi terhadap anakguamannya itu.

"Kami boleh merayu keputusan di mahkamah yang lebih tinggi. Perjalanannya masih panjang. Proses ini mungkin mengambil masa beberapa tahun kerana keputusan hari ini hanya di Mahkamah Sesyen," kata peguam Mun, Jagjit Singh, kepada BeritaBenar.

Mun, yang memakai baju coklat dan selipar di ruang mahkamah, dilihat sedikit terkejut selepas salah seorang peguamnya memberitahunya mengenai keputusan mahkamah itu. Beliau memandang ke arah isterinya, Kang Son Bi, yang duduk di galeri awam di belakangnya, lalu menundukkan kepalanya. Pegawai Pejabat Kedutaan Korea Utara turut hadir semasa prosiding itu.

Semasa beliau mahu dibawa kembali ke penjara, Mun dilihat meminta peguamnya, Singh, untuk  menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh keputusan mahkamah itu.

Malaysia telah meluluskan ekstradisi Mun, tetapi dia mencabar dakwaan itu di mahkamah. Dalam afidavitnya, Mun menafikan dakwaan FBI bahawa dia adalah "pemimpin kumpulan jenayah terancang antarabangsa yang terlibat dalam pembersihan hasil daripada penipuan bank."

Kes itu berkaitan dengan pekerjaan Mun pada 2014 sebagai pengurus pembangunan perniagaan dengan sebuah syarikat yang berpusat di Singapura, yang membekalkan barangan ke Korea Utara.

Pendakwa raya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa antara tahun 2014 dan 2017, Mun telah mencairkan dana melalui syarikat-syarikat hadapan dengan menggunakan dokumen palsu, dan dia menghantar "barangan terkawal" ke Korea Utara.

Mun, yang permintaan ikat jaminnya ditolak oleh hakim, sedang menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi pengubahan wang haram.

Sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Amerika Syarikat percaya bahawa Mun telah melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang bertujuan menghalang Korea Utara daripada memperoleh dana yang boleh disalurkan untuk program nuklear Pyongyang.

Pada Ogos, Singapura mendakwa tiga orang yang dikaitkan dengan SinSMS Pte. Ltd, sebuah firma di negara pulau itu yang bergabung dengan Dalian Sun Moon Star International Logistics Trading Co. yang berpangkalan di China, atas pertuduhan melanggar sekatan PBB. Mereka dituduh melakukannya dengan memudahkan penghantaran alkohol bernilai 600,000 dolar Singapura (A$432,384) ke Korea Utara.

Pertuduhan itu dibuat selepas Jabatan Perbendaharaan AS membuat pengumuman pada Ogos 2018 untuk menyekat dan menamakan syarikat, pelabuhan dan kapal yang memudahkan penghantaran haram serta memberikan aliran pendapatan kepada rejim Korea Utara, terutama entiti yang berpangkalan di China, Singapura dan Rusia.

Lihat Laman Penuh