Follow us

Malaysia Lancar Pasukan Tindakan Khas Keganasan

Staf BeritaBenar
2016-10-27
E-mel
Komen
Share
Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semasa sedang bertugas di atas sebuah bot di Melaka, 18 Jun 2014.
Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semasa sedang bertugas di atas sebuah bot di Melaka, 18 Jun 2014.
AFP

Malaysia pada Khamis melancarkan unit operasi bersepadu khas pertama yang tugasnya adalah untuk memberi tindak balas segera terhadap serangan pengganas serta menangkis ancaman itu, kata pegawai.

Para pegawai unit terdiri daripada polis, tentera, tentera laut dan penguatkuasa maritim Malaysia dari pelbagai pangkat telah dibentuk dalam mewujudkan Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF), yang akan menjadi satu barisan tindakbalas pertama sekiranya berlaku serangan keganasan, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan, menurut media tempatan.

Najib berkata pasukan itu terdiri daripada 17 pegawai dan 170 anggota, yang berpusat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, dan akan menjalankan tugas menangani ancaman daripada kumpulan Negara Islam (IS) atau kumpulan militan lain, lapor akhbar New Straits Times.

“NSOF bertindak sebagai pasukan bertindak pantas bagi membendung keganasan di peringkat awal. Unit Darat, Udara dan Maritim akan digerakkan sebagai kumpulan awal dan seterusnya akan menghadapi, menawan dan menghapuskan ancaman tersebut,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan seperti yang dilaporkan oleh agensi berita negara itu. Apabila bentuk ancaman telah dapat diatasi, NSOF akan menyerahkan semula operasi lanjutan kepada pasukan keselamatan berkaitan.

Najib memuji pembentukan pasukan bersepadu itu dan berkata ia akan mengukuhkan keselamatan negara.

"Kami tidak apologetik untuk apa-apa langkah-langkah yang diambil oleh pasukan keselamatan kita. Unit ini adalah berdasarkan kepada prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan perkongsian aset dan keupayaan, yang akan bertindak di bawah satu arahan, " kata Najib semasa melancarkan NSOF. "Tanpa keamanan dan keselamatan, semua tiada gunanya," katanya, menurut laporan Asia One.

Menurut laporan yang disiarkan oleh Channel NewsAsia pada Khamis, Pasukan Operasi Khas Nasional "hampir beroperasi sepenuhnya" dan ia berfungsi bagi menyokong Akta Majlis Keselamatan Negara yang kontroversi apabila ia laksanakan oleh kerajaan Najib, dua bulan lalu.

Undang-undang baru itu memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan keselamatan selama enam bulan pada satu masa - tertakluk kepada pembaharuan - dan ia membolehkan Majlis Keselamatan Negara  memberi kuasa berhenti, mencari dan menahan orang, antara tindakan-tindakan lain, menurut pakar  undang-undang.

Ancaman IS

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi ancaman dari IS yang berusaha merekrut belia tempatan untuk menjadi anggotanya melalui media sosial, serta ancaman daripada  anggota IS warga Malaysia yang kembali dari medan pertempuran di Timur Tengah, yang berkomplot untuk melancarkan serangan di negara sendiri.

"Setakat ini, seramai 250 rakyat Malaysia yang terlibat militan Daesh telah ditahan di dalam negara, seramai 32 telah meninggal dunia di Iraq dan Syria manakala lebih 60 orang masih berjuang untuk ideologi songsang ini," kata Najib seperti dilaporkan Bernama, yang merujuk kepada IS dengan nama lain.

Beliau berkata, IS menyebarkan ideologinya melalui media sosial sambil memberi tindak balas terhadap kes serangan di kelab malam Movida di Puchong pada Jun lepas, - serangan pertama yang IS mendakwa berjaya dilakukan di bumi Malaysia.

“Mujur tidak ada yang maut, hanya lapan yang cedera. Adakah kita yakin perkara ini tidak akan berlaku lagi. Dengan penubuhan NSOF ia akan mempertingkatkan kesiapsiagaan, dan kebolehan kita untuk membanteras sebarang insiden pada bila-bila masa," katanya.

Rakyat Malaysia ditahan di Filipina

Pengumuman tentang pasukan baru itu dibuat sehari selepas Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pihak berkuasa Filipina telah menahan seorang lelaki warga Malaysia di sebuah pelabuhan di bandar Maluso, di wilayah Basilan selatan Filipina.

Lelaki itu yang identitinya belum dikenalpasti, didakwa cuba melarikan diri dari pelabuhan itu untuk kembali ke Malaysia selepas dipercayai meninggalkan bahan letupan di pelabuhan tersebut.

Media tempatan Filipina melaporkan bahawa lelaki berkenaan kelihatan berada di sebuah kem yang dikendalikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Tipo-Tipo, Basilan. Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada lelaki itu melatih anggota Abu Sayyaf untuk membuat bom.

Lihat Laman Penuh