Duta Khas OIC Cadang Tiga Langkah Bantu Etnik Rohingya Di Myanmar

Hata Wahari
2017.01.13
Kuala Lumpur
170113-my-oic-syedhamid-620.jpg Presiden Pakistan Pervez Musharraf [pada masa itu] semasa majlis perasmian Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam [OIC] ke-34 di Islamabad, Pakistan,15 Mei 2007.
AFP

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar dijangka akan mencadangkan tiga langkah dalam usaha menamatkan krisis kemanusian yang membelenggui minoriti Rohingya Muslim Myanmar semasa mesyuarat menteri-menteri luar pertubuhan itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur Khamis depan.

Syed Hamid Albar wakil khas badan antara kerajaan terbesar dunia Islam ke Myanmar sejak tiga tahun lepas berkata, tiga peringkat tindakan diusulkan. Pertama iaitu memberhentikan jenayah penghapusan kaum yang membabitkan minoriti Rohingya, yang dipercayai berlaku sejak tahun 2012 dalam kejadian yang dikenali sebagai ‘Rakhine Negeri Rusuhan'.

“Membuka pejabat bagi OIC atau Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Myanmar untuk membolehkan pelbagai siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada berlakunya jenayah antarabangsa melibatkan pembunuhan kaum di Myanmar.

“Dan yang ketiga, OIC perlu memastikan minoriti Rohingya diberikan status warganegara oleh Myanmar kerana mengikut sejarah etnik itu merupakan penduduk asal wilayah Arakan," kata Syed Hamid, yang juga bekas Menteri Luar Malaysia, kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau menambah, Myanmar tidak seharusnya melihat tiga langkah tersebut, yang akan menjadi topik perbincangan semasa pertemuan itu, sebagai tindakan pemusuhan tetapi sebagai usaha untuk menyelesaikan konflik antarabangsa secara diplomasi.

“OIC sentiasa bertindak melalui saluran diplomasi dan saya percaya apa saja keputusan yang akan dicapai dalam mesyuarat itu nanti akan disampaikan kepada Myanmar secara diplomatik,” tegas beliau.

Syed Hamid menambah, mesyuarat tersebut akan membincangkan situasi terkini mengenai nasib etnik Rohingya  tanpa kerakyatan yang di anggap oleh pertubuhan itu sebagai etnik yang paling tertindas di dunia

Mesyuarat itu juga dijangka membincangkan mengenai masalah-masalah asas lain yang dihadapi oleh minoriti Rohingya seperti bekalan makanan dan perubatan  selain memberi tekanan terhadap Myanmar untuk menghentikan operasi ketenteraan di Arakan dan mengambil tindakan segera melindungi etnik berkenaan.

“Saya percaya OIC akan mengambil tindakan untuk memaksa Myanmar untuk mengambil tindakan di bawah piagam kemanusiaan PBB untuk melindungi setiap kumpulan minoriti yang bukan sahaja terdiri daripada orang Islam tetapi juga Kristian yang berada di negara tersebut dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mereka,” tambah beliau lagi.

Mesyuarat di Kuala Lumpur itu akan diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak, lapor Agence France-Presse yang memetik seorang pegawai Malaysia sebagai berkata awal minggu ini.

Pemimpin Malaysia itu, sejak beberapa minggu lepas, membangkitkan ketegangan dengan Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, dengan menyifatkan tindakan keras tentera negara di negeri Rakhine sebagai "pembunuhan beramai-ramai".

Menurut kenyataan OIC, mesyuarat di Kuala Lumpur itu, adalah susulan daripada mesyuarat tergempar kumpulan OIC di Geneva dan Brussels pada akhir Disember.

Peserta telah membincangkan tentang krisis Rohingya, di tengah-tengah laporan bahawa penduduk minoriti itu telah dibunuh dan rumah mereka dibakar semasa tindakan keras pihak ketenteraan berikutan pembunuhan sekumpulan pengawal sempadan Burma di perbandaran Maungdaw pada awal Oktober.

Tindakan keras terhadap Myanmar


Faisal Islam Muhammad Kassim, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM) mengalu-alukan usaha OIC, dan berharap tekanan akan dikenakan ke atas kerajaan Myanmar di mesyuarat itu.

“Saya benar-benar berharap OIC dapat memperjuangkan nasib etnik Rohingya dan turut akan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Myanmar,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Dalam pada itu, Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, pihak kedutaan tidak akan memberi komen mengenai mesyuarat OIC itu.

“Sila tulis surat kepada Kementerian Luar Myanmar. Anda boleh serahkan surat kepada kami dan kami boleh serahkan bagi pihak anda, ” kata jurucakap kedutaan itu kepada BeritaBenar.

PBB dalam laporannya berkata, adalah dianggarkan lebih 27,000 warga Rohingya melarikan diri daripada wilayah Rakhine dan berlindung di negara jiran Bangladesh selepas pihak tentera Myanmar melancarkan beberapa serangan maut sejak 9 Okt lepas.

Pihak Myanmar pula dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh, 17 anggota polis dan tentera dengan 76 lagi yang dipercayai ‘penyerang’ [termasuk enam yang dilaporkan mati semasa disoal siasat] terbunuh dalam kejadian serangan berkenaan.

Lebih 575 orang suspek telah ditahan kerana terlibat dalam serangan pada 9 Okt itu, selepas pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan keras.

Beberapa NGO yang memperjuangkan nasib etnik Rohingya, bagaimanapun mendakwa sekurang-kurangnya 400 orang warga yang teraniaya telah terbunuh dalam operasi ketenteraan, dengan wanita dirogol dan kampung-kampung dibakar.

Konflik kemanusiaan yang berlaku di Maungdaw sejak tiga bulan lepas itu, telah menyebabkan puluhan ribu pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan anggaran pelarian baru yang sampai di Bangladesh adalah seramai 50,000 orang, serta hampir 10,000 keluarga.

Anis Natasha turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.