Anwar Ibrahim Kini Sah Sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat Selepas 19 Tahun Ditubuhkan

Hadi Azmi
2018.11.19
Kuala Lumpur, Malaysia
181119-MY-PKR-Anwar1000.jpg Presiden baru Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim dikelilingi anggota parti itu selepas tamatnya Kongres Nasional PKR di Shah Alam, Selangor, 19 November, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat [PKR], Anwar Ibrahim sah menjadi Presiden parti tersebut selepas menang tanpa bertanding dalam Pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018, selepas berdepan dengan pelbagai halangan untuk menyandang jawatan tersebut sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1999.

Anwar sebelum ini memegang jawatan ‘ketua umum’, satu jawatan yang diwujudkan khas apabila Jabatan Pertubuhan Malaysia menghalang Anwar daripada menyertai pemilihan parti dan bergiat dalam politik untuk tempoh lima tahun selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2007.

Ekoran daripada halangan terhadap Anwar, isterinya Wan Azizah Wan Ismail, yang kini menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, memimpin parti tersebut sebagai presidennya yang pertama sejak 4 April 1999.

Anwar akan berganding dengan Mohamed Azmin Ali, yang telah dipilih oleh perwakilan sebagai Timbalan Presiden parti itu selepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berjaya menewaskan mantan Naib Presiden, Rafizi Ramli.

Pengumuman barisan kepimpinan terbaru PKR itu diumumkan oleh Presiden Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Rashid Din semasa berlangsungnya Kongres Nasional PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

‘Tidak berhasrat jadi presiden’

Berucap dalam ucaptamanya sebagai Presiden PKR, Anwar berjanji di hadapan perwakilan parti untuk menjalankan amanah yang diberikan kepadanya sebaik mungkin.

“Saya tidak berhasrat menjadi presiden, menjadi Ketua Umum mudah, kedudukan tinggi, tanggungjawab kurang, tetapi ramai bertemu dengan saya dan meminta saya menjadi presiden… sebaik sahaja saya pikul tanggungjawab ini, percayalah saya akan pimpin dengan sebaiknya untuk mengangkat martabat parti,” kata Anwar.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menggesa ahli parti itu supaya berlapang dada dan menerima keputusan pemilihan parti yang berlangsung selama sembilan minggu sejak 22 September lalu.

“Tolong bulatkan tekad. Kalau ada lagi saki-baki rasa khianat, rasa dendam, rasa marah, rasa curiga, rasa cemburu, hentikan,” tegas Anwar.

Pemilihan tersebut yang pertama kali diadakan setelah kemenangan bersejarah Pakatan Harapn [PH] dalam PRU14 menyaksikan pertembungan dua tokoh besar parti di mana Azmin dicabar untuk mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR daripada bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi.

Walaupun tidak berada dalam kerajaan ekoran keputusan mahkamah yang menghalangnya untuk bertanding kerana didapati bersalah selepas mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 2012, Rafizi kekal popular dalam parti dengan memperoleh 61,845 undi untuk jawatan kedua tertinggi parti tersebut.

Walau bagaimanapun ia tidak cukup untuk menafikan Azmin daripada mempertahankan kerusinya dengan mengumpul 66,458 undi, 4,613 undi lebih berbanding pencabarnya itu.

Namun begitu, proses pemilihan tersebut tercemar dengan pelbagai insiden pergaduhan di antara penyokong kedua-dua tokoh tersebut termasuk insiden di Keningau, Sabah pada 3 November di mana Rafizi telah diserang oleh penyokong Azmin ketika melawat proses pengundian di situ.

Berbeza dengan parti politik lain di Malaysia, PKR mengamalkan konsep demokrasi secara langsung (direct democracy) di mana setiap ahli parti memilih kepimpinan parti terus secara individu berbanding dengan parti lain di mana jawatan-jawatan tertinggi parti dipilih secara kelompok oleh cawangan parti.

Lantaran itu timbul pula kontroversi di mana terdapat beberapa cawangan parti yang bilangan ahlinya didakwa melonjak secara drastik lantas menimbulkan kecurigaan tentang kesahihan ahli tersebut.

Antaranya di Julau, Sarawak yang mana dilaporkan bilangan ahli parti di cawangan tersebut telah bertambah dari 603 orang kepada 13,549 orang dalam jangka masa satu hari.

Selain daripada itu, terdapat juga laporan bahawa sistem komputer yang digunakan oleh parti tersebut untuk proses pengundian secara berkomputer telah digodam di beberapa lokasi mengakibatkan proses pengundian terpaksa ditunda.

Walau bagaimanapun, Azmin dan Rafizi akhirnya bersatu di pentas Kongres PKR pada Sabtu atas pelawaan wakil dari Perlis, Tengku Nazeri Tengku Adlin yang memohon agar kedua-dua tokoh tersebut menghentikan perbalahan di antara mereka.

"Menang sudah menang, Putrajaya sudah tawan, Anwar sudah keluar [penjara] dan sudah duduk semula dengan Wan Azizah… Jadi kami minta ‘team’ Rafizi dan ‘team’ Azmin pada hari ini untuk hentikanlah perbalahan, pemilihan sudah tamat,” kata Tengku Nazeri yang disambut tepukan gemuruh oleh dewan.

PKR memiliki 47 kerusi daripada 113 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan semasa  Piliharaya Umum ke 14 (PRU14) pada Mei lalu diikuti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan 42 kerusi.

‘Azmin bakal ganti Anwar’


Mengulas tentang Kongres tersebut, penasihat kanan bagi Asian Strategy and Leadership Institute, Oh Ei Sun berkata perkembangan dalaman parti itu penting kerana ia memberi isyarat siapa yang mungkin akan menggantikan Anwar sebagai perdana menteri.

“Sekarang kelihatan orang tersebut besar kemungkinan ialah Azmin Ali,” katanya kepada Berita Benar.

Menurut beliau Azmin kelihatan diberi kepercayaan besar mewakili negara bersama-sama Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada pelbagai mesyuarat di peringkat tertinggi berbanding Rafizi yang lebih dikenali di peringkat tempatan.

“PKR dari dahulu lagi banyak berpuak-puak, dan masing-masing berpengaruh dan punyai pengaruh tersendiri,” kata Oh.

Dia berkata, perkara itu besar kemungkinan berkekalan.

Dalam pada itu semasa bercakap buat kali terakhir sebagai presiden parti, Wan Azizah mengingatkan ahli PKR supaya mengingati asas perjuangan parti itu selaras dengan era baru parti tersebut yang kini telah menjadi parti gabungan terbesar dalam kerajaan Malaysia.

“Kita pejuang reformasi, harus berbeza dari rejim yang kita tentang dulu. Jangan sampai rakyat menempelak “ah...sama saja dengan yang dulu…” jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.