Kumpulan Orang Asli Kelantan Berazam Untuk Hentikan Pembalakan

Melati A. Jalil
2016.09.30
Kuala Lumpur
160930-my-jkoak-620.jpg Sekumpulan orang asli (kanan) membuat sekatan manusia semasa membantah pembalakan di Kelantan, 28 September 2016.
[Ihsan Mustafa Along]

Seorang jurucakap bagi masyarakat orang asli di Kelantan berikrar pada Jumaat untuk menyekat kegiatan pembalakan di kawasan hutan yang dilindungi sehingga pegawai kerajaan negeri itu  menghentikan pemberian lesen bagi membenarkan kerja pembalakan di kawasan itu.

Ahli-ahli Jaringan Kampong Orang Asli Kelantan (JKOAK) membuat sekatan pada Isnin di kawasan yang mereka dakwa sebagai tanah nenek moyang mereka, sehingga menyebabkan berlakunya ketegangan pada lewat Rabu, lantas mencetuskan konfrontasi dengan kakitangan syarikat pembalakan yang menyebabkan tembakan dilepaskan, menurut aktivis.

“Saya tidak boleh mengatakan berapa lama kami akan berada di sini tetapi saya dan kawan-kawan saya akan terus mengadakan sekatan selagi syarikat pembalakan tidak meninggalkan tempat ini, iaitu selagi kerja melapangkan kawasan hutan dan pembalakan tidak dihentikan," kata Setiausaha JKOAK Mustafa Along kepada BeritaBenar pada Jumaat.

"Kami mahu kerajaan negeri membuka mata mereka, mendengar aduan kami dan berhenti dan menarik balik semua lesen. Selagi ada pembalakan, sekatan kami akan berterusan. "

Menurut rakaman konfrontasi yang diterbitkan oleh akhbar tempatan The Star pada Rabu,  seorang lelaki kelihatan menggunakan mesin gergaji untuk meruntuhkan pagar buluh ketika beberapa orang aktivis berpaut kepadanya.

Manakala seorang lelaki juga telah melepaskan tembakan ke arah aktivis, menurut salah seorang daripada orang asli yang hanya dikenali sebagai Halim.

"Sebuah kenderaan dengan dua orang di dalamnya berhenti di hadapan kami, dan mengeluarkan sepucuk senapang dan kemudiaannya melepaskan tembakan. Kami tidak mempunyai peluang untuk mengambil gambar, kami hanya sempat berlari ke dalam hutan. Lelaki berkenaan turun dari kenderaan, dan memasukkan satu lagi pusingan peluru dan kemudiannya melepaskan lagi tembakan, " kata Halim dalam rakaman visual berkenaan.

Tiga lelaki orang asli dan aktivis ditahan dalam sebuah trak, menurut Mustafa Along. Beliau berkata, ketiga-tiga mereka telah membuat laporan polis di balai Polis Daerah Gua Musang, yang terletak kira-kira dua jam dari tempat konfrontasi itu.

Timbalan Ketua Polis Gua Musang Sow Sing berkata, kejadian pada Rabu itu akan disiasat pihaknya.

"Keadaan itu tidak seburuk seperti yang dilaporkan. Tiada sebarang tembakan dilepaskan, " katanya kepada BeritaBenar.

Tiada hubungan

Aktivis dan peguam bagi hak orang asli, Siti Kasim memberitahu BeritaBenar bahawa tiada maklum balas dan hubungan yang dibuat pejabat kerajaan negeri itu dengan aktivis orang asli sejak bantahan mereka dibuat.

Beliau mendakwa, bahawa kontrak yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kelantan telah menyatakan bahawa syarikat pembalakan perlu menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan masyarakat orang asli itu sendiri.

"Saya melihat satu klausa dalam salah satu kontrak pembalakan. Apa yang kerajaan negeri pasti ialah mereka telahpun melindungi diri mereka, jika sebarang masalah berlaku, terpulang kepada kontraktor untuk menyelesaikannya dengan Orang Asli berhubung apa jua masalah yang dihadapi di lapangan, " katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, penunjuk perasaan tidak menentang pembalakan tetapi mahu kerja-kerja dilakukan dengan cara yang betul tanpa "memusnahkan kawasan hutan dan gunung."

Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang bertanggungjawab dalam pembangunan wilayah, hal ehwal tanah dan portfolio sumber semula jadi negeri, tidak memberi respons kepada  permintaan BeritaBenar 'untuk mendapatkan komen’.

Seorang pegawai Badan Perhubungan Persatuan Cina Malaysia, negeri Kelantan pada Jumaat berkata beliau telah menyaksikan sendiri bagaimana pembalakan berleluasa di kawasan itu yang mengakibatkan hakisan tanah dan menyebabkan terputusnya hubungan jalan raya serta akses kepada Orang Asli untuk ke pekan dan mendapatkan sumber makanan.

“Sangat membingungkan bagaimana pembalak memperolehi lesen untuk menebang balak di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), di mana tanah itu kononnya bertujuan untuk dipulihara bagi perkhidmatan ekologi seperti perlindungan tadahan air dan penstabilan tanah," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Lua Choon Hann.

Pada Disember 2014, negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilanda banjir terburuk dalam dekad ini, menyebabkan lebih daripada 100,000 orang kehilangan tempat tinggal. Pada masa itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara menyalahkan aktiviti pembalakan yang berleluasa yang telah mengakibatkan banjir terburuk dan tanah runtuh, menurut media tempatan Malaysia.

Pada Khamis, Pengarah Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata, 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar hutan simpan kekal di Kelantan telah diduduki secara haram sejak 1980-an, menurut agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Tanah hutan yang dibersihkan secara haram itu telah digunakan untuk pertanian, termasuk pengeluaran minyak sawit, serta kawasan setinggan, katanya.

Tetapi pada Jumaat, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan bahawa hutan simpan kekal di Kelantan telah dibersihkan, menurut MalayMail Online. "Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan secara aktif memantau perkembangan isu ini," memetik beliau sebagai berkata.

Orang Asli terdiri daripada kira-kira 12 peratus daripada 31 juta rakyat Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.