Putrajaya Saman Kerajaan Negeri Kelantan Berkaitan Isu Tanah Adat Orang Asli

Noah Lee & Zam Yusa
2019.01.18
Kuala Lumpur, Malaysia
orangasli.jpeg Sekumpulan orang asli (kanan) membuat sekatan manusia semasa membantah pembalakan di Gua Musang, Kelantan 28 September 2016.
[Ihsan Mustafa Along]

Kerajaan persekutuan Malaysia telah memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Kelantan dan lima entiti swasta berhubung pencerobohan dan pelanggaran hak ke atas tanah kaum pribumi Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata tindakan saman sivil difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu, menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan lima entiti swasta sebagai defendan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh saman itu difailkan. Ini merupakan tindakan sivil yang pertama seumpamanya di Malaysia, di mana kerajaan persekutuan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri yang di bawah pemerintahan parti pembangkang, Parti Islam Se-Malaysia [PAS], bagi membela hak Orang Asli yang tertindas.

Peguam Negara berkata tindakan saman itu diputuskan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Kabinet serta menunjukkan komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam memenuhi salah satu janji dalam manifestonya untuk melindungi Orang Asli.

"Kerajaan negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta. Syarikat-syarikat ini telah memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan dengan Gua Musang menggunakan jentera berat, mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang dan pokok getah.

"Tindakan mereka telah mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber pendapatan mereka, menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

"Dukacitanya, kerajaan Kelantan tidak pun berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan setelah menafikan Orang Asli tanah adat dan sumber pendapatan mereka.

"Sedar akan keperitan yang dialami oleh Orang Asli, Perdana Menteri dan Kabinet telah memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan untuk mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan terhadap Orang Asli. Tambahan pula, ini menepati janji dalam manifesto," kata Thomas dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Jumaat.

"(Kerajaan persekutuan) menuntut, antara lainnya, pengiktirafan di sisi undang-undang akan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial oleh pihak swasta.

"Usaha ini memanfaatkan Orang Asli. Tindakan undang-undang ini tidak membebankan Orang Asli."

Tambah Thomas, sudah tiba masanya untuk Malaysia bersama dengan negara lain di seluruh dunia untuk mengiktiraf hak asasi Orang Asli, yang diisytiharkan dan dikuatkuasa dalam kes-kes mahkamah seperti yang berlaku di Australia, Kanada dan India.

Sebelum ini, tindakan mahkamah berkaitan hak Orang Asli hanya diambil oleh pihak-pihak bukan kerajaan termasuk aktivis dan kumpulan yang memperjuangkan hak masyarakat terbabit, di samping tindakan yang diambil Orang Asli sendiri.

Langkah baik

Sementara itu, beberapa badan bukan kerajaan ketika dihubungi menyambut baik langkah yang diambil kerajaan.

Rachel Chhoa-Howard, seorang penyelidik di Amnesty International, berkata pengumuman Peguam Negara itu adalah satu langkah penting dalam melindungi hak Orang Asli di Malaysia sambil menegaskan bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat bagi membela masyarakat berkenaan.

"Kajian yang dibuat Amnesty International mendapati bahawa Orang Asli di Malaysia secara berterusan terseksa akibat pelbagai bentuk pelanggaran hak asasi manusia. Ini termasuk ketiadaan pengiktirafan tanah mereka secara formal dan juga ugutan dan keganasan apabila mereka bersuara.

"Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah seterusnya untuk melaksanakan reformasi bagi memastikan Orang Asli diberikan pengiktirafan yang setimpal serta diberi perlindungan di seluruh negara," katanya ketika dihubungi BeritaBenar.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli, Colin Nicholas turut menyambut baik tindakan kerajaan baru Pakatan Harapan yang tegas mematuhi mandat dan tugas fidusiari seperti yang dinyatakan dalam Akta Orang Asli.

“Hak Orang Asli merupakan isu persekutuan dan termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Tanah pula adalah isu kerajaan negeri. Mereka (kerajaan negeri) telah menggunakan alasan ini untuk melengahkan keadilan untuk Orang Asli.

“Saya berasa gembira apabila mendapat tahu bahawa kerajaan Malaysia mengikuti contoh negara lain seperti Australia dalam mengambil pendekatan ini.

“Jika kita melihat kejayaan dalam kes-kes ini di luar negara, saya rasa kerajaan persekutuan mempunyai peluang yang cerah untuk menang,” kata beliau.

Nicholas walaubagaimanapun sedar akan cabaran-cabaran masa depan dalam kes ini termasuklah mendapatkan bukti daripada Orang Asli yang boleh diterima oleh mahkamah seperti pekerjaan mereka dan juga sempadan tanah adat mereka.

"Tetapi Orang Asli Temiar sudahpun bekerja keras sejak beberapa bulan yang lepas untuk memastikan semua perkara ini diberikan perhatian,” kata Nicholas lagi.

Sebelum ini, kaum Orang Asli di Kelantan berhadapan dengan ancaman apabila tanah adat mereka dicerobohi oleh peneroka dan pembalak yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri Kelantan.

Beberapa usaha mereka yang terdahulu seperti menyediakan sekatan di laluan masuk  tanah adat turut menerima tentangan pihak berkuasa Kelantan seperti Jabatan Hutan Kelantan dan juga kerajaan negeri.

Menurut laman web Temiar.com Orang Asli Temiar dianggarkan berjumlah antara 14,000 hingga 20,000 di seluruh Malaysia.

Di Kelantan, masyarakat Orang Asli ramainya tertumpu di kawasan Gua Musang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.