Lelaki Dalam Rakaman Akhbar UK Disyaki Terlibat Sindiket Jual Organ Manusia Ditahan

Nisha David
2020.08.13
Kuala Lumpur, Malaysia
200813-MY-Organ1000.jpg Seorang lelaki Bangladesh Belal Hossian, 35, yang menjadi mangsa pemerdagangan organ haram, menunjukkan bekas luka selepas menjalani pembedahan mengeluarkan buah pinggangnya secara haram di daerah Kalai, kira-kira 300 km barat laut Dhaka, 1 Ogos, 2015.
[AFP]

Seorang lelaki tempatan yang didakwa akhbar tabloid United Kingdom bergiat aktif dalam  kegiatan pemerdagangan organ buah pinggang dan hati manusia secara haram seperti disiarkan akhbar itu dalam satu rakaman telah ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Sarawak pada Khamis, demikian menurut pihak berkuasa.

Akhbar tabloid The Sun yang berpangkalan di United Kingdom mendakwa telah berjaya membongkarkan kegiatan lelaki tempatan yang dipercayai dari Sarawak dalam satu rakaman urusan jual beli organ yang disiarkan pada 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Hamid Bador bagaimanapun seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan negara itu berkata yang pihak berkuasa Malaysia meragui pendedahan yang dibuat akhbar berkenaan dan siasatan sedang dibuat bagi memastikan kebenarannya.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dev Kumar M M Sree berkata lelaki berusia 48 tahun, yang sedang dijejaki selepas laporan oleh akbar tabloid itu disiarkan telah ditahan polis sebaik saja datang menyerah diri di IPD Kuching pada kira-kira 1.45 petang.

"Lelaki itu tampil di IPD Kuching untuk menyerah dirinya selepas diburu polis sejak beberapa hari lalu. Beliau akan di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahan reman pagi Jumaat untuk disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran," katanya kepada BeritaBenar.

Mengikut peruntukan undang-undang itu, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta (AS$238,464) dan dilucuthak keuntungan hasil dari perlakuan jenayah berkenaan.

Dev berkata, pihak berkuasa Malaysia akan menghubungi wartawan portal antarabangsa bagi membantu siasatan terhadap suspek jika perlu.

“Siasatan kes ini masih di peringkat awal dan kami akan putuskan sama ada perlu berinteraksi dengan wartawan asing untuk mendapatkan maklumat lanjut selepas mengambil keterangan daripada suspek serta tindakan lain yang bersesuaian dan diperlukan,” tambah beliau semasa dihubungi BeritaBenar.

Kamera tersembunyi

Sementara itu, rakaman pendedahan oleh akhbar The Sun United Kingdom itu telah dibuat melalui kamera tersembunyi yang mendedahkan bagaimana lelaki Malaysia yang dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib, 48 mendakwa beliau boleh mengatur urusan transplan organ secara haram kepada warga Britain dengan kos sebanyak 85,000 Pound Sterling (RM465,000).

Dalam rakaman berdurasi 2 minit 43 saat itu dapat dilihat Shaifullizan sedang berbual dengan dua lelaki Inggeris yang dipercayai wartawan dan jurugambar yang menyamar sebagai pembeli dari United Kindgom dan bagaimana beliau menggunakan laman media sosial Facebook, yang dikenali sebagai 'Buy & Sell Kidney/Liver’ untuk bergiat aktif.

"Saya sudah menjual 45 buah pinggang menerusi Facebook, dan menggunakan platform itu untuk menarik perhatian mana-mana individu miskin di seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit terdesak, selain menjadi orang tengah mengatur jual beli bahagian tubuh manusia sejak 2010," dakwa lelaki tersebut dalam rakaman yang dipercayai dibuat di Sarawak.

Laporan yang didedahkan oleh akhbar dari UK itu juga menyiarkan mengenai bayaran yang dikenakan suspek termasuk rasuah yang perlu diberikan supaya pembedahan transplan boleh dibuat di sebuah klinik di Manila, Filipina.

Akhbar itu turut menyiarkan dakwaan lelaki tersebut mengenai hubungannya dengan perdagang organ antarabangsa yang terlibat dalam mengambil organ dari minoriti Muslim Uighur yang ditindas di China.

Sementara itu, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Wan Azizah Wan Ismail telah menafikan kewujudan sindiket penjualan organ yang dikaitkan dengan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

“Memang kita gerun apabila mendengar mengenai kegiatan penjualan organ tetapi kita sudah berbincang dan merujuk dengan KDN. Kita tidak ada kes sedemikian di negara ini.

“Bagaimanapun, jika ada kes pemerdagangan (organ), kita memandang serius kes terbabit dan ia memerlukan pemantauan yang lebih berkesan,” kata Wan Azizah yang turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 3 Julai, 2019.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung dakwaan masyarakat yang mengaitkan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dengan kegiatan penjualan organ dan pemerdagangan manusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Anonymous
Oct 03, 2020 11:34 AM

Adakah anda ingin membeli buah pinggang atau anda mahu menjual buah pinggang anda?
buah pinggang? Adakah awak
mencari peluang untuk menjual buah pinggang anda dengan wang
kerana kerosakan kewangan dan anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan
lakukan, kemudian hubungi kami hari ini dan kami akan memberikan kebaikan kepada anda
jumlah wang $ 400,000 dolar untuk Buah Pinggang anda. Nama saya DOCTOR MARTEN
saya seorang Nefrologi di MARTEN HOSPITAL. Hospital kami adalah
khusus dalam Pembedahan Ginjal dan kami juga menangani
pembelian dan pemindahan buah pinggang dengan wang sara hidup
penderma yang sepadan.
Kami terletak di India, Turki, Amerika Syarikat, Malaysia, Dubai
Sekiranya anda berminat menjual atau membeli buah pinggang, jangan
teragak-agak untuk menghubungi kami melalui e-mel.
E-mel: martenhospital@gmail.com

Selamat sejahtera

DR MARTEN